DAP tidak lagi mengamalkan slogan 'Malaysian Malaysia', dan juga komponen paling lemah dalam Pakatan Harapan, kata MCA.

MCA menyelar DAP yang berkata parti itu meminggirkan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu, dan mempersoalkan kerajaan Pulau Pinang kerana lebih banyak membantu Bumiputera daripada kumpulan lain.

“Selepas mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, dalam hanya 8 tahun, ketua menteri Pulau Pinang membelanjakan RM4.5 juta untuk hal ehwal Islam di negeri itu, tetapi memperuntukkan cuma RM7.7 juta yang diagihkan kepada semua agama lain,” kata Ketua Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen dalam kenyataannya.

Beliau turut mempersoalkan peruntukan RM8 juta oleh kerajaan Pulau Pinang kepada 20 buah sekolah aliran agama, di samping pemberian 90% kontrak kerajaan kepada Bumiputera.

“Dibandingkan era Dr Mahathir, Pulau Pinang di bawah DAP lebih banyak memperuntukkan kepada masyarakat Bumiputera,” kata Chai.

Chai berkata DAP merupakan komponen paling lemah dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), sambil menyifatkan slogan “Malaysian Malaysia” yang dibawanya “sudah terkubur”.

“Penyokong diperdaya oleh slogan ‘Malaysian Malaysia’ DAP. Amat jelas DAP sendiri tidak percaya atau mengamalkan slogan politiknya,” katanya.

Chai turut mempertikaikan jaminan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempertahankan hak Melayu di bawah kerajaan PH, dengan berkata ia menunjukkan parti berteras Melayu itu mempunyai “pengaruh paling besar dalam gabungan itu walaupun hanya diwakili seorang ahli Parlimen”.

Sebelum ini, beberapa pimpinan Umno menganggap DAP mengawal hala tuju PH walaupun pemimpinnya tidak dipilih dalam 3 jawatan tertinggi gabungan itu.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata DAP adalah parti dominan dalam gabungan itu, dan barisan kepimpinan yang diumumkan hanya untuk mengaburi pengundi Melayu.

“Namun dalam demokrasi, angka tidak menipu. DAP kekal parti paling dominan. Orang yang memimpin DAP untuk separuh abad lalu kini bersembunyi di belakang seorang yang pernah memenjarakannya,” katanya merujuk Dr Mahathir dan Lim Kit Siang.

-Free Malaysia Today-