Malaysia berhasrat mengambil bahagian dalam pendakwaan nasional atau sebagai pemerhati, sepanjang prosiding jenayah terhadap pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 di Mahkamah Belanda.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ia tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan pihak pendakwa raya Belanda dan lain-lain negara yang diwakili dalam Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT).

"Selain itu, Malaysia bersama-sama dengan negara yang diwakili dalam JIT juga bersetuju untuk memberikan sumbangan kewangan kepada pihak Belanda dalam melaksanakan pendakwaan nasional kelak, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang ingin mengetahui bagaimana kerajaan dapat membantu dalam penyiasatan, penangkapan dan pendakwaan terhadap mereka yang menembak jatuh MH17 di Mahkamah Belanda.

Berhubung bantuan Malaysia dalam aspek penyiasatan, Tiong Lai berkata, Malaysia membantu menjalankan siasatan ke atas pesawat dan rekod yang diperoleh daripada Malaysia Airlines (MAS) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Katanya, Malaysia turut menghantar pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan di lokasi bangkai pesawat ditemui untuk mencari serpihan bahagian pesawat dan lain-lain keterangan.

Mengenai bantuan Malaysia dalam fasa penangkapan kelak, katanya, Malaysia akan memberi bantuan dengan menggunakan kaedah kerjasama antarabangsa melalui ekstradisi atau bantuan undang-undang bersama.

Katanya, tindakan itu selari dengan undang-undang domestik yang sedia ada iaitu Akta Ekstradisi 1992 dan Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 jika ia boleh diguna pakai.

"Malaysia juga akan bersama-sama dengan negara lain dalam JIT untuk memberi tekanan politik bagi mendapatkan orang yang terbabit dalam penembakan jatuh pesawat MH17.

"Berhubung bantuan Malaysia dalam fasa pendakwaan kelak, Malaysia akan meneruskan kerjasama bersama-sama negara yang diwakili dalam JIT seperti mana yang dilaksanakan pada masa ini dalam kerja penyediaan mekanisma pendakwaan," katanya.

MH17, yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki di kawasan bergolak di timur Ukraine berhampiran sempadan Russia pada 17 Julai 2014.

-Barisan Nasional-