Usahawan perlu teroka peluang ditawarkan China
Wee minta k'jaan jamin tidak 'bail-out' kereta nasional ke-3  

Kabinet setuju penubuhan NTSB - Liow

Pada Isnin    27-11-2017 10:30:00

Kabinet bersetuju dengan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (NTSB) yang akan bertindak sebagai badan penyiasatan bebas terhadap kemalangan melibatkan pelbagai mod pengangkutan.

Menafikan dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam penubuhan NTSB, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tindakan sewajarnya sudah diambil selepas cadangan untuk menubuhkan badan berkenaan dikemukakan pada tahun lepas.

Beliau berkata kementerian juga melibatkan penyertaan pelbagai agensi dalam sektor udara, laut, darat, pelabuhan dan perkhidmatan rel untuk menyelaraskan penubuhan NTSB itu.

"Selepas berusaha keras, Kabinet secara dasar, meluluskan penubuhan NTSB. Kita mendapat sokongan daripada kesemua agensi terlibat.

"Kini, kita sedang dalam usaha mewujudkan akta bagi merealisasikan penubuhan NTSB. Kita akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Penerbangan Awam, Biro Siasatan Kemalangan Udara dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat untuk merangka akta itu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

NTSB sebagai sebuah badan berkanun, akan menjalankan siasatan bebas kemalangan membabitkan kesemua mod pengangkutan, termasuk darat (jalan raya dan rel), maritim (termasuk pengangkutan sungai) dan udara.

Terdahulu, Liow melancarkan perlindungan insurans kargo marin dan kontena pertama di Asia, iCargo+, bagi pengimport dan syarikat pengangkut yang menggunakan laluan laut di Malaysia.

iCargo+ adalah insurans perlindungan marin hibrid bagi kargo dan kontena.

Liow berkata inisiatif oleh Quantum Ivory Sdn Bhd dengan membangunkan penyelesaian melalui i-Cargo+ adalah sesuatu yang sangat mengagumkan.

"Ini akan mengelak kemungkinan berlakunya pertikaian mengenai kos pembaikan kerosakan kontena, caj lewat dan caj penahanan yang menjadi isu berterusan selama bertahun-tahun dalam industri logistik," katanya.

-- Bernama-

Berita Berkatian

Gadai pengangkutan awam demi kereta nasional baharu - Dr Mahathir pentingkan agenda sendiri

Pemotongan kos LRT3 bukan satu penjimatan – Guan Eng disaran berhenti mengelirukan rakyat

70 peratus projek ECRL guna tenaga kerja, bahan tempatan

Penggunaan e-buku pendidikan pemandu sepenuhnya menjelang 2020

Kementerian Pengangkutan minta Selangor kerjasama untuk ECRL