Satu petisyen dilancarkan bagi mendapatkan sokongan rakyat di negara ini untuk membawa pulang rakyat Malaysia, Marina Jamaluddin, 39, yang kini sedang menjalani hukuman di penjara Nepal kerana menjadi keldai dadah.

Penganjur petisyen, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon berkata Marina ditahan pada pertengahan tahun 2015 dan kini sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun di negara itu.

“Saya menyeru kepada semua rakyat di negara ini supaya memberi sokongan dengan menandatangani petisyen ini untuk dihantar kepada Duta Besar Nepal ke Malaysia bagi tujuan memindahkan Marina ke penjara di sini.

Individu atau pun pertubuhan boleh memberikan sokongan dengan menandatangani petisyen tersebut yang turut diwujudkan dalam talian di laman sesawang www.change.org yang telah dilancarkan,” katanya pada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Marina ditahan pada pukul 7 malam, 6 April 2015 oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Nepal setelah didapati cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram.

Chong juga Timbalan Menteri Pendidikan serta calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Seremban berkata perkara berkenaan telah pun dibincangkan bersama Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed bagi membawa pulang Marina, sebelum Parlimen dibubarkan baru-baru ini.

“Kita berusaha sedaya upaya menggunakan apa cara sekali pun termasuk pertukaran banduan untuk membawa Marina pulang menjalani hukuman di negara ini,” katanya.

Sementara itu, bapa Marina, Jamaluddin Abd Malek, 65, amat berharap anaknya dapat dibawa pulang ke negara ini.

“Saya merayu pucuk pimpinan negara iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya dapat membantu membawa anak saya pulang ke negara ini,” katanya.

– Bernama