Calon Parlimen Kota Melaka Choo Wei Sern (kanan), calon Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kesidang Datuk Ng Choon Koon (tengah) dan calon DUN Kota
Laksamana Melvin Chua Kew Wei selepas diumumkan sebagai calon Barisan
Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 di Seri Bendahara. - Foto BERNAMA

Calon paling muda Barisan Nasional (BN) Melaka daripada MCA, Choo Wei Sern, 31, menyifatkan usia dan kedudukannya sebagai anak tempatan memberi kelebihan kepadanya berdepan lawan di kerusi Parlimen Kota Melaka.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, usaha BN untuk merampas semula Kota Melaka dan menjayakan transformasi di kawasan itu lebih mudah direalisasikan dengan khidmat tenaga muda sepertinya.

Beliau berkata, walaupun masih muda, beliau sudah turun padang dan aktif menjalankan aktiviti dilaksanakan MCA di kawasan itu sejak 12 tahun yang lalu.

"Biar pun sebelum ini Parlimen Kota Melaka menjadi milik pembangkang, senario politik sekarang banyak berbeza. Apa pun saya akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kemenangan BN kali ini.

"Selain sokongan pengundi pelbagai usia, saya juga mengharapkan pengundi muda memberi kepercayaan kepada BN untuk mentadbir dan membawa perubahan di sini," katanya yang kini menetap di Taman Bertam Jaya, Ujong Pasir dan membesar di Kampung Lapan.

Beliau ditemui selepas majlis pengumuman calon BN Melaka oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron, di Seri Bendahara, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Saingan merebut kerusi Parlimen Kota Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Ia membabitkan calon DAP, Khoo Poay Tiong; bekas Pengerusi DAP Melaka yang kini menjadi wakil bebas, Goh Leong San dan Wei Sern.

Wei Sern yang juga EXCO Pemuda MCA pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Kelab Luar Negara MCA di United Kingdom.

Sementara itu, Idris berkata BN Melaka turut mempertaruhkan lima lagi calon muda lain yang berusia di bawah 45 tahun.

"Saya yakin pencalonan mereka adalah yang terbaik untuk BN dan kita mahu memastikan ramai orang muda berada dalam dunia politik dan bersama-sama mentadbir serta menguruskan negeri ini," katanya.

Antara calon muda yang disenaraikan ialah Datuk Lim Ban Hong, 41, (DUN Klebang); Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin, 42, (Parlimen Masjid Tanah); Datuk Eng Choon Khoon, 43, (DUN Kesidang); Melvin Chua Kei Wei, 40, (DUN Kota Laksamana) dan Lee Ching Leng, 37, (DUN Banda Hilir).

-Berita Harian-