Mendapat 4 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 menyaksikan parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA berjaya memecah tradisi buat pertama pertama kalinya.

Pengerusi MCA Sabah Lu Yen Tung berkata perkembangan itu sekaligus memberikan peluang kepada parti mereka membuktikan kreadibiliti memenangi hati rakyat pada PRN kali ini.

“Sebenarnya ini adalah kali pertama kita bertanding empat kerusi kerana pada pilihan raya yang terdahulu cuma dua kerusi,” katanya, ketika ditemui, di Mahkamah Anak Negeri Penampang.

Lu yang juga calon BN untuk DUN Kapayan berkata tiga lagi kerusi adalah Likas (Dr Chang Kee Ying), Elopura (Chan Boon Thian) dan Karamunting (Chew Kok Woh).

Sehubungan itu katanya, MCA optimis peluang untuk menang dengan kerjasama daripada komponen BN dan Perikatan Nasional, namun pada masa yang sama menyedari cabaran yang perlu dihadapi.

“Kita akan berusaha kerana memang bukan senang untuk mendapat sokongan daripada orang bandar, tetapi inilah peluang untuk rakyat Sabah menikmati kestabilan politik,” katanya.

Beliau percaya kestabilan politik amat penting malah Kerajaan Negeri mesti ada hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan pentadbiran kerajaan yang kukuh.

Mengulas mengenai misinya untuk Kapayan pula, calon BN itu mahu berusaha menjana ekonomi di kawasan terbabit termasuk merancakkan peluang pekerjaan.

“Kapayan dekat dengan Kota Kinabalu yang menjadi tumpuan pelancongan, jadi kelebihan perlu dimanfaatkan untuk menarik kehadiran pelancong luar negara ke sini.

“Misalnya melalui perkhidmatan makanan dan penginapan untuk pelancong,” katanya, semasa ditanya berhubung status Kapayan yang kurang diminati pelancong dari China.

Menyentuh peluangnya untuk memenangi kerusi DUN berkenaan juga, beliau mahu berusaha memenangi kepercayaan rakyat dan percaya peluang semua calon seimbang.

Selain Lu, turut bertanding di Kapayan adalah penyandang kerusi DUN terbabit iaitu Jannie Lasimbang (WARISAN Plus) dan Yong Wui Chung (Parti Liberal Demokratik).

Lawan lain, Chua Juan Shiuh (Parti Cinta Sabah), Dr Edwin @ Jack Bosi (Parti Bersatu Sabah), Stephen Jacob Jimbangan (Parti Gagasan Rakyat Sabah) dan Chew Shung Seng (Bebas).

-BN News online-