Di Malaysia, Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn Bhd di Pasir Gudang adalah syarikat pengisar koko terbesar Malaysia dan keempat terbesar dunia, dengan kapasiti 250,000 tan setahun.

Ia pembekal utama kepada syarikat coklat dan industri makanan dan minuman tersohor dunia seperti Nestlé, Mars, Hershey's dan Cadbury.

Bagi memastikan bekalan koko dapat memenuhi permintaan pasaran, kerajaan sentiasa berusaha memperkasakan industri koko menerusi program integrasi tanaman sebagai hala tuju baharu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Sebelum ini, kerajaan menyasarkan 40,000 hektar kawasan tanah akan ditanam dengan koko sehingga berakhir 2020 dan mahu keluasan kawasan tanaman koko dipertingkatkan. 

 Sebelum kemunculan tanaman komoditi lain seperti getah dan sawit, kira-kira 400,000 hektar kawasan di negara ini ditanam dengan koko.

Kini, koko tanaman komoditi keempat terbesar Malaysia selepas sawit, getah dan kayu-kayan, mesti dipertahankan sumbangannya. 

 Sarawak negeri yang mempunyai kawasan tanaman koko terbesar dan menyumbang 9,557 hektar (46.5 peratus) berbanding Sabah (6,935 hektar atau 33.8 peratus) dan Semenanjung (4,051 hektar atau 19.7 peratus).

Industri koko negara mengalami transformasi, di mana sektor pengisaran biji koko berkembang pesat menjadikan Malaysia negara pengisar terbesar di Asia dan kelima terbesar dunia.

Aktiviti pengisaran koko peneraju utama dan penyumbang penting keseluruhan nilai tambah industri koko negara. Bagaimanapun, pertumbuhan pesat industri pengisaran koko tidak dapat diimbangi kapasiti pengeluaran biji koko tempatan.

Produk berasaskan koko Malaysia iaitu mentega koko, serbuk koko, pes koko, coklat dan cangkerang koko dieksport ke lebih 80 negara. Destinasi utama pasaran ialah Jepun, Amerika Syarikat (AS), Singapura, Kesatuan Eropah (EU), Australia dan China.

AS destinasi eksport mentega koko terbesar bagi Malaysia. Apa yang pasti, industri koko negara memerlukan lonjakan menerusi pendekatan lebih agresif.

Isunya sekarang, industri koko tempatan berdepan masalah kekurangan pengeluaran biji koko yang boleh menjejaskan pembangunan hiliran sektor komoditi itu, jika tiada langkah proaktif diambil.

Pada 2018 misalnya, Malaysia hanya mampu menghasilkan kira-kira 814 tan biji koko berbanding keperluan pengisar tempatan berjumlah 344,488 tan setahun. Pengeluaran biji koko kini dilihat semakin terjejas disebabkan pengurangan kawasan tanaman koko akibat persaingan guna tanah.

Keadaan ini menyebabkan Malaysia bergantung pada biji koko diimport dengan sejumlah 344,674 tan setahun.

Komoditi koko mula dibangunkan di Malaysia seawal 1770-an atau kira-kira 249 tahun lalu dan berkembang pesat, sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

Sejak 1989, keluasan penanaman koko di negara ini mula meningkat sehingga 415,000 hektar, seterusnya meletakkan Malaysia antara pengeluar koko terbesar dunia.

Bagaimanapun, mulai 2011 pengeluaran koko negara merudum sehingga 70 peratus menyaksikan keluasan penanaman merosot sehingga 20,543 hektar dengan pengeluaran hanya sekitar 5,000 tan setahun.

Usaha berterusan perlu bagi mengembalikan semula keluasan penanaman koko pada sasarannya seperti sebelum ini. Kemerosotan kawasan tanaman, pastinya menjejaskan pengeluaran dan merencatkan permintaan tinggi terhadap produk pertanian ini.

Justeru, Lembaga Koko Malaysia (LKM) mesti terus giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan bukan hanya untuk industri huluan, tetapi hiliran supaya nilai tambah produk koko dapat dipertingkatkan.

Banyak produk berasaskan koko diperkenalkan pengusaha tempatan. Antaranya kosmetik, minuman kesihatan, jus pulpa koko serta coklat buatan tangan yang unik dan bermutu tinggi.

Pelbagai insentif turut diberikan termasuk Program Pembangunan Tanaman Koko iaitu program lima tahun dengan insentif RM6,500 bagi setiap hektar.

Industri tanaman koko tempatan harus disemarakkan semula kerana harganya yang rendah pada peringkat huluan berbanding hiliran. Jurang itu harus dirapatkan untuk membantu pekebun kecil. Industri koko sebenarnya memberikan pendapatan lebih lumayan berbanding sawit berdasarkan harganya yang tinggi. Harga purata terkini biji koko sekitar RM8,500 hingga RM9,000 satu tan.

Pengenalan Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko berupaya meningkatkan keupayaan biji koko dan pendapatan pengusaha daripada kalangan penduduk setempat.

Kerajaan memberi peruntukan RM2.69 juta kepada 4,566 pekebun kecil koko di Malaysia dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) 2020.

Usaha juga dijalankan untuk memperkenal spesies koko daripada baka bermutu tinggi yang mempunyai rasa, aroma berkualiti dan unik.

Bagi memastikan permintaan terhadap koko sentiasa berterusan dalam zon pengukuhan, rancangan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia digerakkan.

Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 November 2020 diharap dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrokomoditi yang menjadi teras pembangunan ekonomi negara.

Belanjawan ini juga mesti diterjemahkan dengan mempertingkatkan hasil pengeluaran koko bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Sasaran itu mampu dicapai memandangkan permintaan dunia terhadap koko semakin meningkat.

Kadar penggunaan koko per kapita di negara luar, terutama Eropah mencapai 2.2 kilogram (kg), berbanding Malaysia, yang menggunakan hanya 0.6kg koko. Usaha mencari pasaran baharu sentiasa dilakukan melalui misi perdagangan ke luar negara dan mengadakan rundingan dua hala dengan negara berpotensi untuk pasaran komoditi.

Industri hiliran berasaskan koko mempunyai masa depan yang baik dan berdaya maju berikutan negeri ini antara pengeluar serbuk koko terbaik.

Industri koko negara, khususnya di Sarawak memerlukan hala tuju baharu dengan mengembangkan aktiviti hiliran komoditi itu dalam pengeluaran serbuk koko dan coklat.

Sebanyak RM21 juta diluluskan dalam Belanjawan 2021 untuk program penanaman koko baharu dan bantuan input pertanian. LKM mengorak langkah membina Pusat Pemprosesan Biji Koko dan Coklat (PPBKC) bernilai RM14 juta di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko LKM di Sarawak.

PPBKC sebahagian daripada komponen di bawah SARA Cocoa Cluster di Sarawak, program yang menjadi pemangkin pada peringkat huluan yang dilaksanakan mengikut konsep farm to table (ladang ke meja makan).

Melalui dana, kepakaran dan pengalaman yang ada, LKM melaksanakan program pembangunan pekebun kecil koko, termasuk insentif pemberian baja, bahan cantuman atau anak benih serta latihan kemahiran teknologi.

Negara mempunyai kelebihan dari segi teknologi, termasuk pengklonan dan mampu mengeluarkan hasil berkualiti tinggi berbanding negara lain. 

Oleh:

Dato' Sri Dr Wee Jeck Seng
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

-Berita Harian-