28 April 2021

Kompaun RM50,000 : Usah terlalu menekan rakyat yang kini menderita akibat kesukaran hidup

MCA melahirkan rasa sedih dan terkilan terhadap insiden yang menimpa peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu, Mohd Azizi Mohd Nor berusia 42 tahun dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38 tahun yang dikenakan kompaun RM50,000 baru-baru ini bagi kesalahan beroperasi melebihi had masa.

Memetik kenyataan Mohd Azizi sebagaimana yang dilaporkan media, beliau sudah pun menutup kedainya pada jam 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup. Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana beliau dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil sedikit masa. Jadi di sinilah perlu adanya budi bicara, bukannya menekan mereka secara zalim.

Tidak dinafikan bahawa ketegasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang adalah diperlukan khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19. Namun, di saat masyarakat amat menderita akibat kesukaran hidup pada ketika ini, maka MCA berpendapat bahawa budi bicara adalah langkah terbaik demi kebaikan bersama.

Benar, mungkin kompaun tersebut boleh dibuat rayuan, tetapi dalam masa sama ia memberikan tekanan serta menyusahkan rakyat untuk hadir ke pejabat kesihatan daerah bagi tujuan tersebut. Sewajarnya rakyat dibantu dan urusan mereka dipermudahkan, bukannya menyulitkan kehidupan mereka.

Lebih menyedihkan, peniaga tersebut yang juga bapa kepada lima (5) anak bersekolah serta menanggung tiga (3) anak saudara ini mengatakan, untuk meraih pendapatan RM100 setiap malam pun cukup sukar. Pernahkah pihak berkuasa menyedari dan memahami kesusahan peniaga-peniaga kecil seperti Mohd Azizi Mohd Nor?

MCA sentiasa menyokong usaha Kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19, namun kebajikan serta kepentingan rakyat juga sentiasa menjadi keutamaan MCA. Apa yang menimpa Mohd Azizi Mohd Nor tidak sepatutnya berlaku dan berulang pada masa akan datang. Ini seterusnya dapat mengelakkan Kerajaan daripada dilabel sebagai Kerajaan zalim yang bertindak tanpa budi bicara.

Mike Chong Yew Chuan
Jurucakap MCA

Video sidang media :
https://fb.watch/58Ci-Kh68e/

-MCA online-