MCA sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk menyerahkan kepada Datuk Seri Najib Razak dan kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan isu perebutan kerusi antara parti komponen.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata beliau yakin perbincangan ‘tertutup’ kepemimpinan parti akan membolehkan semua parti komponen BN mencapai kata sepakat dan bekerjasama.

“(Isu) pembahagian kerusi kita tunggu keputusan muktamad Perdana Menteri (Najib). Cuma saya nak maklumkan, semua pembahagian kerusi akan dibincangkan secara dalaman,” katanya.

Beliau mengulas isu pertukaran kerusi antara MCA dengan UMNO, antaranya membabitkan kerusi panas ‘Parlimen Bandar Tun Razak’ pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Pajakan Tanah 99 tahun untuk pembinaan kompleks sukan Sekolah Menengah Persendirian (SMP) Chong Hwa, di sini, semalam.

Yang hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Tan Sri Lim Keng Cheng.

Mengenai senarai calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tiong Lai berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi yang dijangka dalam tempoh 10 hari hingga seminggu daripada hari penamaan calon, 28 April ini.

“Senarai calon (MCA) sudah diterima PM. Kita tunggu tarikh pengumuman calon,” katanya.

Ketika ditanya amanat PM dalam pertemuan tertutup bersama 13 pemimpin BN di kediaman rasmi PM di Seri Perdana kelmarin, Tiong Lai berkata, dalam pertemuan itu Najib menzahirkan penghargaan atas jasa, perkhidmatan dan kesetiaan Ahli Parlimen kepada parti dalam tempoh lima tahun pentadbiran Najib.

“Perdana Menteri memberi katakata semangat kepada Ahli Parlimen dan menghargai sumbangan kita. (Ini) untuk memastikan kita (pemimpin BN) deliver (berkhidmat cemerlang).

“Kita berjaya menunaikan janji lima tahun lalu, ( jadi) kita tengok (teliti) janji lima tahun akan datang untuk majukan negara ke tahap lebih tinggi.

“Kita yakin kata semangat itu untuk menyemarakkan khidmat Presiden MCA Ahli Parlimen semata-mata hanya kepada negara. Kita menghargai setiap Ahli Parlimen yang berjasa.

“BN yakin rakyat akan dapat bersama BN, menghebatkan negeri dan membuktikan semangat kita lebih kuat untuk menghadapi PRU,” katanya.

Wan Junaidi pula berkata, PM berkongsi tiga amanat iaitu untuk melahirkan rasa terima kasih atas prestasi mantap Ahli Parlimen ketika sidang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“PM turut beri penghargaan kepada Ahli Parlimen kerana menjalankan tugas dan perkhidmatan kepada semua kawasan dengan baik.

“PM juga berterima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi 13 parti komponen BN kepada kepemimpinan beliau. Kita satu keluarga, kena kerjasama,” katanya.

MIC muktamad senarai calon

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata parti itu sudah memuktamadkan senarai calon PRU-14.

“Ya (senarai calon muktamad), tetapi kita tunggu Perdana Menteri untuk memberikan tarikh untuk umumkan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perjalanan Sepanjang Lima Tahun Perkhidmatan Kesihatan di Malaysia di sini, semalam.

Subramaniam bagaimanapun tidak mengulas mengenai kedudukan MIC di kerusi Parlimen Cameron Highlands. Ia susulan kenyataan Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MYPPP), Tan Sri M Kayveas, kelmarin yang menolak tawaran BN untuk menjadi calon di Parlimen Segambut.

Parlimen Cameron Highlands yang menjadi kerusi tradisi MIC, kini turut diintai MYPPP.

Terdahulu, Subramaniam berkata, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan dalam memperkasa dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Terbaru, Kementerian Kesihatan bercadang untuk mewujudkan sistem ambulans komuniti yang boleh beroperasi seperti perkhidmatan Grab, yang dipercayai dapat memberi perkhidmatan lebih cepat dari segi waktu ketibaan di sesuatu lokasi kemalangan atau sebagainya untuk memberi bantuan.

“Kita sudah mulakan projek perintis di Klang, Selangor dan dijangka hasilnya akan diperolehi pada akhir tahun ini. Kita akan melihat kepada hasil projek perintis berkenaan sama ada sesuai atau sebaliknya untuk dilaksanakan,” katanya.

-Berita Harian-