Calon baharu tetapi 'orang lama' menjadi pertaruhan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Iskandar Puteri bagi menentang calon pembangkang, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Datuk Jason Teoh Sew Hock, 49, yang juga Ketua Pemuda MCA Gelang Patah bertanding di 'kerusi panas' itu yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah.

Pada pengumuman itu, seramai 32 calon baharu bertanding di kerusi DUN dan lima lagi bertanding di kerusi Parlimen.

Ketika ditemui, Jason berkata, pemilihannya kali ini tidak akan disia-siakan bagi menakluki semula Iskandar Puteri, seterusnya membela nasib rakyat yang selama ini tidak diendahkan pembangkang.

"Kita tengok Kit Siang langsung tidak turun ke kawasan untuk selesaikan masalah rakyat sehingga rakyat akhirnya menderita.

"Jadi, saya harap kali ini rakyat memilih parti dan calon yang sememangnya boleh membantu mereka ketika susah. Saya yakin seratus peratus dapat mengalahkan beliau pada tarikh keramat, 9 Mei nanti," katanya.

Sementara itu, calon baharu wanita bagi kerusi Parlimen batu Bahat, Haliza Abdullah yang bertugas sebagai peguam menganggap pemilihan pucuk pimpinan BN adalah tepat.

Haliza yang juga Ketua Wanita Bahagian Batu Pahat berjanji akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap isu dan masalah rakyat di kawasan yang diberi tanggungjawab.

"Sudah tentu calon yang disaring melalui banyak proses dan bukan dilakukan begitu mudah. Jadi, saya yakin semua calon yang dipilih mempunyai kriteria yang layak sebagai pemimpin di sesuatu kawasan," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Bagi calon baharu BN di kerusi DUN Kota Iskandar yang sebelum ini dikenali Nusajaya, Muhammad Khairi A Malik, bukanlah nama baharu kerana sudah berkecimpung dalam dunia politik sejak 1991.

Muhammad Khairi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar, berkata, kepemimpinan BN sudah terdidik dengan amalan suka membantu, membela dan cakna terhadap apa juga keperluan rakyat.

Beliau berkata, BN tetap terus menyalurkan perkhidmatan demi kebajikan rakyat terbela.

"PRU-14 adalah ruang paling sesuai kepada rakyat untuk menentukan peneraju pentadbiran negeri yang lebih mudah mendampingi rakyat selepas ini," katanya.

Selain itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Ja'afar, turut diumumkan bertanding sebagai calon kerusi DUN Larkin yang sebelum ini disandang Datuk Adam Sumiru.

Yahya berkata, beliau akan meneruskan tradisi bagi DUN Larkin yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Tanjong Puteri dan dipertahankan oleh BN.

"Kita akan mempertahankan DUN Larkin kerana tradisinya kerusi DUN ini adalah kerusi UMNO dan kita harap dapat menang pada PRU-14," katanya.

-Berita Harian-