Kenyataan Timbalan Presiden MCA Dato’ Dr Mah Hang Soon (25 Februari 2019)

Tunaikan janji dan mansuhkan tol sepenuhnya

Kerajaan Pakatan Harapan disaran berhenti memberi alasan atas kegagalan menepati janji memansuhkan tol dan berhenti menipu rakyat dengan hanya menghapuskan kadar tol pada waktu ‘luar puncak’ (off-peak) atau hanya mengenakan diskaun 30% pada waktu biasa.

Secara “kebetulannya”, pengumuman tersebut dibuat Jabatan Perdana Menteri semasa kempen PRK Semenyih sedang berlangsung, tetapi tidak mengumumkan jadual pelaksanaannya. Adakah kerajaan membuat pengumuman tersebut untuk menimbulkan spekulasi di kalangan rakyat tetapi akhirnya tidak akan menepati janji mereka?

Kerajaan diingatkan supaya jangan sekali-kali memperbodohkan rakyat. Janji dalam manifesto Pakatan Harapan adalah untuk memansuhkan tol secara keseluruhannya, bukannya sekadar menukarkan kadar tol untuk waktu berbeza. 

Pengecualian kadar tol dari puku 11.00 malam sehingga jam 5.00 pagi adalah waktu di mana kebanyakan orang masih tidur. Ini bukan cara yang baik untuk mengurangkan kesesakan jalan raya. Manakala, bagi tempoh 6 jam “peak hour”, kadar tol yang dikenakan adalah seperti biasa. Ia langsung tidak meringankan beban pengguna tersebut khususnya pada waktu kerja.

Isu ini berkaitan rapat dengan integriti kerajaan. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan BN terdahulu telah memansuhkan 11 stesen tol, tanpa perlu mengambil alih konsesi lebuhraya. Malah, BN juga berjaya membina 3 lagi lebuhraya yang tidak mengenakan bayaran tol, iaitu Lebuhraya Rawang Bypass sepanjang 9km, Lebuhraya Utama Tengah (Central Spine Road) sepanjang 325 km dari Kota Bharu ke Pahang, dan Lebuhraya Pan-Borneo sepanjang 5,424 km.   

Sebagai kerajaan baharu, Pakatan Harapan disaran belajar mengutamakan kebajikan rakyat, dan bukannya menganiayai kepercayaan dan mandat yang diberi kepada mereka oleh rakyat.

-MCA online-