17 April 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan

Mengapa pula alam sekitar di Pahang dan Pulau Pinang tidak diendahkan?

Usaha kerajaan mengubah jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) supaya lebih mesra alam sekitar demi memelihara Permatang Kuarza Klang Gates di Gombak, Selangor yang merupakan yang terpanjang dunia memang patut dialu-alukan.

Akan tetapi, MCA juga meminta kerajaan mengambil pendirian yang sama terhadap dasar-dasar dan projek-projek yang lain, seperti kelulusan perlombongan bauksit dan kilang Lynas di Pahang, serta Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang membabitkan projek Lebuhraya Pan Island (PIL1) yang baru diluluskan dan projek penambakan laut.

Ini amat ironik mengapa kerajaan sanggup meluluskan projek PIL1 yang akan melalui beberapa khazanah negeri seperti Bukit Bendera, Kuil Kek Lok Si dan Empangan Air Itam, lebih-lebih lagi apabila ramai pihak telah menyuarakan kebimbangan terhadap laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Di samping itu, penambakan laut yang dirancangkan di bawah projek PTMP juga dikhuatiri membawa kesan buruk kepada ekosistem maritim di perairan berkenaan, terutamanya kepada Middle Bank yang merupakan habitat utama hidupan marin terutama rumpai laut.

Begitu juga dengan perlombongan bauksit di Pahang, yang telah menyebabkan tapak perlombongan Bukit Goh kelihatan seperti “planet Marikh” disebabkan kawasan tanah merah terbiar yang meluas. Malah, berita kelulusan pengoperasian kilang nadir bumi Lynas Corporation Ltd (Lynas) juga menimbulkan kebimbangan penduduk-penduduk tempatan, terutamanya selepas pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan memainkan isu ini sekian lama mendakwa Lynas bakal menjejaskan kesihatan mereka.

Oleh itu, MCA menggesa kerajaan supaya tidak bersikap hipokrit dan berat sebelah, sebaliknya memastikan semua projek melalui prosedur operasi standard yang sama demi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat jelata dan melindungi alam sekitar.

-MCA online-