Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya membantu sebanyak 13,813 syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa bagi tempoh 2015-2019 menerusi 466 aktiviti promosi eksport dan program berkaitan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Senator Datuk Lim Ban Hong berkata dalam tempoh lima tahun itu, MATRADE turut mempromosi sejumlah 337 jenama Malaysia dalam pelbagai sektor yang dapat meluaskan pasaran di luar negara seperti Petronas, Royal Selangor, Secret Recipe, Marrybrown, Brahim’s, Adabi, Tanamera, Lewre, Khind dan Upin & Ipin.

Ini termasuk Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) yang melibatkan kerjasama MATRADE dengan firma perunding khidmat nasihat berkaitan hal ehwal eksport.

“MATRADE turut mengadakan Program Pembangunan Pengeksport untuk Bumiputera, Wanita dan Belia (BWY) iaitu syarikat dengan produk berpotensi untuk eksport akan diberi latihan dan pendedahan dalam aktiviti-aktiviti promosi eksport," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini, hari ini. 

Lim menjawab pertanyaan Senator Datuk Lee Tian Sing (BN-MCA) mengenai jumlah syarikat atau jenama tempatan yang dibawa MATRADE ke pasaran dunia sejak lima tahun lepas serta inisiatif bagi meningkatkan serta menggalakkan perniagaan tempatan menembusi pasaran global di masa depan.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata MATRADE turut memberi Geran Pembangunan Pasaran bagi membantu meringankan beban kewangan syarikat pengeksport pengusaha kecil dan sederhana Malaysia.

"Bagi tempoh 1 Jan-31 Ogos 2020, sejumlah RM16.42 juta bagi geran itu telah disalurkan kepada 1,072 syarikat,” katanya.

MATRADE juga telah mengambil langkah-langkah proaktif menerusi platfom digital bagi meningkatkan jumlah eksport negara termasuklah eBizMatch - sesi padanan perniagaan secara maya yang telah berjaya mengatur 628 sesi setakat 31 Ogos 2020.

Beliau berkata, sejumlah 423 pembeli asing berjaya dipadankan dengan 586 syarikat-syarikat Malaysia yang menjana potensi jualan berjumlah RM483.21 juta, katanya.

Lim berkata, pengeksport turut didorong menerusi aktiviti latihan pengeksport berasaskan kaedah webinar dengan sejumlah 119 sesi pada 1 Jan-31 Ogos 2020.

Menurutnya, ini hasil kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Asian Development Bank (ADB), Islamic Centre for Development of Trade (ICDT), The Star, eBay dan McKinsey & Co dengan topik seperti perkembangan terkini pasaran, strategi promosi perdagangan, rantaian bekalan dan impak pandemik COVID-19 terhadap kelangsungan perniagaan.

-- BERNAMA