Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong meminta kerajaan berhenti menggunakan stereotaip “Cina kaya”.

“Tidak kiralah Melayu, Cina, India atau apa kaum sekali pun… setiap kaum mempunyai golongan miskin dan kaya.

“Kerajaan yang bersikap matang sepatutnya faham, adalah penting bagi semua rakyat dilayan secara adil,” kata ahli Parlimen Ayer Hitam dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, golongan yang memerlukan harus diberikan rangkaian lindungan sosial yang kukuh, tanpa mengira etnik.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 26 Jun, berkata dasar tindakan afirmatif bagi membantu Melayu akan diteruskan, untuk mengelak berlakunya konflik antara Melayu majoriti dan kumpulan etnik “lebih kaya” seperti Cina.

Beliau sebelum ini berkata kerajaan sudah mengurangkan ketaksamaan antara Melayu dan Cina, tetapi ada kawasan di mana Melayu sememangnya perlukan bantuan.

Wee berkata semasa penggal pertama Dr Mahathir sebagai perdana menteri sejak 1981 sehingga 2003, beliau juga menggunakan dasar berdasarkan kaum yang sama.

“Perdana menteri tidak akan berhenti menggunakan stereotaip salah yang mengatakan ‘Cina ialah golongan kaya’ demi mewajarkan pengabaian kepentingan rakyat Malaysia kaum Cina.”

Wee berkata bila-bila sahaja Dr Mahathir berkata Cina kaya, beliau cuba memisahkan rakyat Malaysia.

Katanya, Dr Mahathir bermain dengan api apabila mengeluarkan komen seperti itu.

Wee berkata dakwaan Dr Mahathir untuk membanteras kemarahan antara kaum menerusi dasar pro Bumiputera sebenarnya menunjukkan hasil bertentangan.

“Jadilah munasabah dan fikir bagaimana dasar daripada ideologi aparteid boleh menyelesaikan sebarang ketidakpuasan hati yang berlaku dalam masyarakat berbilang kaum.”

Wee berkata Dr Mahathir secara tidak adil mendakwa pelajar Cina yang beliau baru sahaja bertemu di United Kingdom dapat melanjutkan pelajaran di sana kerana ibu bapa mereka mampu.

“Dan dengan mengatakan kebanyakan Cina menceburi bidang perniagaan, beliau seperti menegaskan lebih banyak biasiswa memang harus diberikan kepada Melayu.

“Kata-kata tidak berasas oleh perdana menteri ini mencetuskan bibit permusuhan terhadap masyarakat Cina,” katanya sambil menambah, Dr Mahathir harus berhenti mempergunakan Cina demi meneruskan ideologi perkaumannya.

“Kekayaan tidak ada kaitan dengan warna kulit, agama atau jantina.

“Jika kerajaan benar-benar mahu menyelesaikan kemiskinan, tindakan harus dilakukan untuk golongan miskin dan bukannya memutarbelitkan isu sosioekonomi menjadi topik berbaur perkauman.

“Kata-kata Dr Mahathir itu mungkin sengaja dikeluarkan untuk melihat reaksi orang ramai, untuk mengkaji sama ada model ekonomi politik yang diperkenalkannya 22 tahun lalu masih boleh dilaksana sekarang.

“Ini satu lagi indikasi kembalinya Mahathirisme, dan kegagalan membanteras politik kaum dalam Malaysia.”

Katanya, majoriti rakyat Malaysia kaum Cina pada 2018 termasuk dalam kelas pekerja, tidak banyak beza dengan kebanyakan Bumiputera yang juga makan gaji.

“Kebanyakan Cina ‘bergantung’ kepada kesederhanaan, kerja keras dan diri sendiri bagi mengumpul kekayaan.

“Lebih penting, Cina sangat menghargai pendidikan, mereka akan cuba berikan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka, tanpa mengira betapa sedikit wang mereka.”

-Free Malaysia Today-