Kenyataan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek pada 19hb Ogos 2023 bahawa Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi membolehkan guru dan pelajar menghayati nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis merupakan sesuatu yang murni.

Namun, ia turut menimbulkan kekeliruan orang ramai khususnya masyarakat bukan Islam yang menuntut penjelasan Timbalan Menteri daripada DAP, YB Lim Hui Ying.

1. Adakah modul sekolah rendah boleh diwujudkan tanpa mengambil kira pendapat para guru dan ibu bapa?

2. Adakah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia diabaikan?

3. Tidakkah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 12 Hak berkenaan dengan pendidikan, Fasal 3 ada menyebut: “Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.”

Justeru, adalah lebih wajar KPM tumpukan usaha dalam menangani isu teras pendidikan kita. Untuk peringkat sekolah rendah, sukatan pelajaran yang terlalu susah dan padat menjadi bebanan kepada semua, termasuklah murid-murid, ibubapa, dan para guru. Selain itu, kita turut mengalami isu keciciran murid, beban tugas cikgu, kekurangan guru, kekurangan kelengkapan sekolah dan lain-lain isu yang masih belum selesai.

Pendidikan Malaysia merupakan hasil titik peluh para pendidik selama ini, maka janganlah kita abaikan suara warga pendidik dalam penggubalan dasar Pendidikan.

Sekiranya perkara ini telah pun dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah menteri, maka saya yakin masyarakat bukan Islam bukan sekadar menuntut penjelasan Lim Hui Ying, tetapi juga daripada Menteri-menteri DAP yang lain.

Cally Ting Zhao Song
Ketua Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA
24 Ogos 2023

- MCA Online