Kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi tidak akan melibatkan pelajar bukan islam merupakan berita positif kepada komuniti bukan islam.

Diharapkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat mengeluarkan garis panduan kaedah pelaksanaan modul ini dalam masa yang terdekat.

Selepas garis panduan rasmi dikeluarkan, kami turut sarankan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying supaya menjalankan libat urus bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan.

Pengeluaran garis panduan rasmi dengan arahan yang jelas mampu meraih keyakinan rakyat terhadap kelancaran pelaksanaan modul ini. Ia juga bagi membolehkan warga pendidik, ibu bapa dan pelajar memahami proses pelaksanaan memandangkan modul 40 Hadis ini bertujuan sebagai panduan yang bermakna kepada pelajar Islam.

Satu lagi aspek yang ingin saya bangkitkan adalah berhubung kekurangan komunikasi berkesan oleh Menteri bukan Islam dalam Kabinet sehingga menjadi polemik terutama dalam kalangan penganut bukan Islam.

Episod modul penghayatan 40 Hadis ini perlu dijadikan sebagai pengajaran kepada barisan Menteri tentang kepentingan menyampaikan sesuatu berita yang mampu mencetus kebimbangan dikalangan masyarakat Islam dan bukan Islam; supaya kerajaan sentiasa menghasilkan dasar yang menyeluruh dan inklusif.

Melalui insiden ini juga diharapkan YAB Perdana Menteri dapat mengambil kira setiap input yang diperolehi, sekiranya ada kemungkinan berlaku sebarang rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Sebagai rakyat Malaysia yang bakal meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 dan Hari Malaysia tidak lama lagi, kita perlu sentiasa ingat bahawa perpaduan dan kebersamaan merupakan asas dan kunci ke arah pembangunan serta kemajuan berterusan negara kita.

Cally Ting Zhao Song
Ketua Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA
27 Ogos 2023

- MCA Online