28 September 2017

Kenyataan Media Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda MCA

Pameran TVET terima sambutan hangat di sekolah

Kuala Lumpur 27 Sept – Pameran Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) yang dianjurkan Persatuan Belia Mulia Malaysia dan digerakkan Biro TVET Pemuda MCA, kini diadakan di sekolah. Pada 26 September (Selasa) yang lalu, pameran sulung di SMK Sinar Bintang telah menerima kunjungan hampir 1500 murid, satu sambutan yang amat memberangsangkan.

Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda MCA, Lau Chin Kok dalam satu kenyataan hari ini berkata, Pameran TVET tersebut bertujuan memperkenalkan TVET dengan harapan bahawa, melalui pendekatan interaktif, dapat menambah pengetahuan dan seterusnya meningkatkan minat pelajar-pelajar terhadap TVET. Selain daripada demonstrasi tempat kerja, pameran tersebut juga berinteraksi dengan para pengunjung melalui permainan dan sinopsis pembelajaran.

Katanya lagi, dengan sokongan Kementerian Pendidikan, pihak penganjur telah mengenalpasti 5 buah sekolah menengah sebagai lokasi pameran percubaan, dan SMK Sinar Bintang sebagai lokasi pertama telah mendapat maklum balas yang menggalakkan. Para peserta pameran semuanya terdiri daripada profesional dalam bidang masing-masing, termasuk kecantikan kuku dan penggayaan rambut, memasak, bakeri, elektrik, pertanian, perladangan dan sebagainya.

“Pameran akan terus diadakan di sekolah-sekolah dalam sebulan dua akan datang. Oleh itu mereka yang berminat untuk menyertai pameran atau mengetahui lebih lanjut, termasuk sekolah dan pihak yang berkaitan, bolehlah menghubungi pegawai-pegawai tugasan pameran, Andrew Tan di talian 016-2333579 atau Gan Pun Hoe di talian 012-3292175, untuk maklumat selanjutnya.”

Gambar:


Pameran TVET di SMK Sinar Bintang mendapat sambutan hangat, dihadiri hampir 1500 pelajar.

 

Pendekatan interaktif di Pameran TVET menarik perhatian dan minat para pelajar untuk keterangan lanjut.

-MCA online-