Calon BN di kerusi Parlimen berkenaan, DATUK CHONG SIN WOON memberitahu wartawan Mingguan Malaysia, DIANA AZIS mengenai cabaran serta perjuangannya untuk mengubah wajah Seremban yang mempunyai enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya.


MINGGUAN: Apakah rasional penggunaan gelaran "Ah Chong"; dan sejauh mana ia berjaya memikat hati pengundi?

SIN WOON: Gelaran tersebut tidak dirancang namun saya lihat ia berkesan untuk memudahkan orang ramai mengingati saya. Dalam masa sama gelaran itu merentasi sempadan perkauman yang sememangnya sinonim dengan rakyat Malaysia apabila merujuk kepada individu berbangsa Cina.

Nama Ah Chong mengingatkan asal usul saya iaitu dari pekan lama Nilai, dan ia mengekalkan matlamat perjuangan saya, pedoman untuk kekalkan karakter. Oleh yang demikian penggunaan gelaran itu amat dekat di hati pengundi sekali gus merobohkan tembok pemisah antara status saya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dengan rakyat.

Dua penggal sebagai Senator dan memegang jawatan timbalan menteri, apakah yang telah Datuk buat untuk pengundi di Seremban?

SIN WOON: Sepanjang memegang jawatan sebagai Senator sejak April 2014, saya telah mengadakan pelbagai lawatan ke merata tempat untuk melihat dan mendengar keluhan rakyat mengenai taraf kehidupan mereka.

Pengalaman seperti itu penting untuk saya bawa masuk ke Dewan Negara dan semasa saya berbahas, kementerian yang berkaitan kena lakukan sesuatu.

Kuasa dan status jika digunakan dengan sebaik-baiknya, banyak perkara yang boleh dibawa. Sebagai contoh, sebuah sekolah di Batang Benar, Nilai mempunyai terlalu ramai murid sehingga menyebabkan sekolah berkenaan terlalu padat.

Oleh itu dalam perancangan pembangunan pendidikan, saya masukkan masalah itu dan telah dibincangkan. Kini, blok baharu sedang dibina bagi menyelesaikan masalah kepadatan murid di sekolah berkenaan. Jika individu itu mempunyai wadah penting, secara tidak langsung dia boleh bawa perubahan dan pembangunan ke kawasan diwakili.

Seremban bakal diisytiharkan sebagai bandar raya pada Januari tahun depan, adakah ia menjadi antara faktor utama yang perlu diambil kira oleh pengundi Seremban dalam membuat pilihan pada PRU-14?

SIN WOON: Jika dilihat, inisiatif ini sepenuhnya usaha kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai dan tiada kaitan dengan wakil rakyat pembangkang (Anthony Loke Siew Fook) yang menyandang kerusi Parlimen Seremban.

Malah saya percaya beliau sendiri tidak mengetahui perkara ini termasuk majlis prapelancarannya.

Rakyat boleh lihat perbezaan pembangunan di kawasan yang diwakili oleh individu yang memegang jawatan sebagai menteri atau timbalan menteri kerana mereka mempunyai wadah politik lebih luas dari segi dana dan peruntukan.

Sepatutnya soalan mengenai apakah perubahan yang telah dibawa daerah ini, sepatutnya dijawab oleh wakil rakyat pembangkang itu. Bagi saya pula, walaupun saya bukan wakil rakyat Seremban, telah banyak perubahan dibawa demi kesejahteraan rakyat di daerah ini.

Apa yang lebih penting adalah seorang wakil rakyat perlu ada idea dan rancangan untuk merancakkan pembangunan di Seremban dan kerajaan hanya boleh menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya, pentadbiran dan perkhidmatan.

Saya telah beritahu rancangan ini kepada rakyat di Seremban menerusi manifesto yang telah dilancarkan dan ia pelengkap kepada manifesto BN Pusat dan negeri.

Pemilihan sebagai calon BN di Parlimen Seremban ibarat sebagai ‘pengacau’ majoriti pembangkang, namun jika menang Datuk dilihat sebagai pemusnah tembok pembangkang. Komen Datuk?

SIN WOON: Tidak dinafikan Seremban merupakan kawasan hitam bagi BN namun perlu diingat, saya adalah anak jati daerah ini sekali gus komitmen perjuangan saya adalah tinggi kerana mahu membangunkan kampung sendiri.

Jika sebelum ini Seremban tiada dalam radar BN dan MCA, namun kini kawasan ini menjadi fokus kepada parti dan hari ini, masyarakat Cina sukar membuat keputusan untuk memilih antara Ah Chong atau Ah Loke (Anthony Loke) sekali gus secara moralnya telah memberi kemenangan besar buat saya.

Cuma saya mahu tingkatkan kemenangan moral itu kepada kemenangan undi di Seremban dan saya bukannya datang sia-sia kerana saya bawa bersama track record dan pembangunan yang dilakukan kepada Seremban serta rancangan untuk masa lima tahun akan datang.

Kita tahu bahawa BN akan kekal memerintah Negeri Sembilan dan negara, justeru kalau pilih wakil rakyat daripada parti pemerintah, mudah untuk kita melancarkan program atau rancangan yang telah disusun kerana akan mendapat sokongan Kerajaan Negeri dan Pusat.

Apakah impian Datuk buat Seremban?

SIN WOON: Seiring dengan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) yang berlangsung di Seremban, saya harapkan kawasan ini dikenali serata dunia sekali gus membuka peluang kepada rakyat negeri ini terutama tawaran pekerjaan profesional.

Saya percaya rakyat telah membuka mata untuk melihat pembangunan yang dibawa kerajaan negeri dan Pusat.

-Utusan Malaysia-