25 November 2019

Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng

Wujudnya konspirasi untuk mengambil alih TARUC?

Isu penafian peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) semakin hari semakin jelas adalah satu penindasan politik Menteri Kewangan yang bersubahat dengan Persatuan Alumni TARCian (TAA).

Sejak tahun lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengugut MCA untuk melepaskan TARUC atas alasan “memisahkan pendidikan daripada pengaruh parti politik”, dan pada masa tersebut, Presiden TAA Dato’ Yap Kuak Fong juga telah mengumumkan bahawa TAA sedia dan sudi mengambil alih urus tadbir dana TARUC. Kemudian, pada tahun ini pula, Guan Eng telah menyatakan bahawa pemberian RM30 juta setahun kepada TARUC akan diteruskan tetapi akan diberi kepada sebuah yayasan di bawah TAA untuk dijaga.

Nampaknya “pemisahan pendidikan daripada pengaruh parti politik” yang diperjuangkan Guan Eng ini hanya satu helah untuk DAP mengambil alih TARUC melalui kerjasamanya dengan TAA.

Selagi Lim Guan Eng memegang jawatan Setiausaha Agung DAP dan Menteri Kewangan, ia jelas bahawa “pemisahan pendidikan daripada politik” tidak akan dilaksanakan, dan MCA khuatir wujudnya satu konspirasi di antara TAA dengan Guan Eng untuk mengambil alih TARUC.

Isu ini juga “dipanaskan” lagi apabila DAP memfitnah MCA menyalahgunakan dana TARUC, malah mendakwa TARUC telah mengaut keuntungan besar dan tidak patut menerima peruntukan daripada kerajaan. Akan tetapi, fitnah tersebut bercanggah dengan keputusan Guan Eng untuk memberi dana RM 30 juta tersebut kepada TAA.

MCA percaya bahawa rakyat tidak akan tertipu dengan helah ini. Sejak penubuhannya, TARUC telah menghasilkan lebih daripada 200,000 graduan yang telah menyumbang kepada negara, dan tindakan segelintir pihak yang sanggup bersubahat dengan tipu helah DAP amat mengecewakan.

-MCA online-