27 November 2019

Kenyataan Media Setiausaha Agung Pemuda MCA, Sdr Daniel Wa Wai How

Pembangunan industri nadir bumi di Perak bukti DAP sudah hilang integritinya

Jika sebelum PRU14 Pakatan Harapan lantang menolak industri nadir bumi dalam negara ini, hari ini mereka pula membuat pusingan U untuk menyokongnya.

Satu contoh adalah janji PH untuk menutup kilang Lynas di Pahang. Kempen mereka begitu ghairah sehingga Ahli Parlimen Bentong Wong Tack telah bersumpah untuk membakar kilang tersebut jika kerajaan terdahulu tidak menutup operasinya. Akan tetapi, sudah 52 minggu berlalu sejak PH menjadi kerajaan, dan kilang Lynas bukan sahaja masih belum ditutup, ia juga diberi lanjutan lesen operasinya, malah seorang menteri PH juga berkata bahawa penutupan kilang Lynas tidak ada di dalam Manifesto PH dan meminta semua supaya akur kepada keputusan kerajaan.

Contoh yang terbaru ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bersama-sama kerajaan negeri Perak telah menandatangani sebuah Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat China, Chinalco GXNF Rare Earth Development Co. Ltd, untuk menjalankan kerja-kerja eksplorasi sumber nadir bumi supaya perlombongan nadir bumi di negeri tersebut boleh dibangunkan dan dibuat secara sistematik.

Apakah pendirian exco-exco Perak dari parti DAP? Sebelum ini mereka kuat membantah perlombongan nadir bumi dengan alasan bahawa ia membahayakan dan menjejaskan kesihatan penduduk. Di manakah suara mereka sekarang? Justeru itu, pemeteraian MoU tersebut membuktikan bahawa DAP telah mengkhianati kepercayaan pengundi dan penyokong mereka. Kemana perginya integriti dan moral mereka yang sering dilaungkan?

-MCA online-