Sabah disasar mengalami pertumbuhan ekonomi lebih pesat menerusi usaha menaik taraf infrastruktur pengangkutan, khususnya kemudahan lapangan terbang dan pelabuhan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata antara yang diberi perhatian ialah cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) berikutan peningkatan berterusan penumpang.

Beliau berkata, jumlah penumpang menggunakan KKIA meningkat 13.4 peratus kepada 5.34 juta orang antara Januari hingga Ogos lalu dan diunjur terus meningkat.

"Setakat ini, KKIA boleh menampung sehingga sembilan juta penumpang. Pertumbuhan pesat penumpang di KKIA menunjukkan perkembangan yang positif dalam bidang pengangkutan di negeri ini.

"Lapangan Terbang Sandakan juga membantu dalam pertumbuhan ekonomi negeri apabila projek memanjangkan landasan sepanjang 500 meter daripada 2.1 kilometer siap kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen MCA Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Sabah, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM80 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan bagi membolehkan pesawat lebih besar mendarat.

Tiong Lai berkata, projek menaik taraf Pelabuhan Sepanggar dengan pelaburan kira-kira RM1 bilion bagi meningkatkan kecekapan dan keupayaan operasinya turut disasar memberi limpahan ekonomi berganda kepada Sabah.

"Setakat ini operasi kontena di pelabuhan berkenaan adalah 17 unit bagi setiap jam. Sepatutnya kadar itu boleh disamakan dengan pengendalian kontena di Pelabuhan Klang yang mencapai sehingga 26 unit setiap jam.

"Berikutan itu, kita perlu meningkatkan kecekapan bagi mengurangkan kos pengendalian pelabuhan supaya memberi nilai ekonomi lebih baik dalam industri pengangkutan di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, MCA sentiasa bersiap sedia dan bekerja keras menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Sabah khususnya bagi kawasan Luyang dan Kepayan yang diwakili parti itu sebelum ini.

-Berita Harian-