Pembangunan infrastruktur dan kemenjadian belia secara holistik antara fokus utama Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kemajuan dan pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh rakyat bagi jangka panjang.

Memastikan perkara itu mampu dilaksanakan, Setiausaha MCA Bahagian Kuala Terengganu, Toh Seng Cheng nekad membawa perubahan positif kepada penduduk negeri itu khusus melalui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

Menurut Toh, banyak rancangan transformasi ingin dilaksanakan pihaknya khusus buat belia di negeri itu yang dilihat mampu meletakkan golongan itu pada tahap lebih tinggi seterusnya berjaya melonjakkan sektor ekonomi Terengganu.

“Saya melihat belia di Terengganu sebagai golongan yang mudah didekati dan mereka mempunyai idea kreatif untuk dilaksanakan dengan bantuan wakil rakyat yang sentiasa ada di samping penduduk.

“Selain berusaha menyelesaikan masalah dihadapi belia contohnya peluang pekerjaan di kampung, saya juga mahu melihat belia mampu bekerja dari kampung halaman mereka dalam sektor yang sama seperti di bandar.

“Di kampung juga belia mempunyai potensi untuk berjaya seperti di bandar asalkan peluang pekerjaan yang dicipta bertepatan dengan kehendak pasaran serta bakat yang dimiliki mampu disesuaikan dengan sektor ekonomi Terengganu,” katanya, di sini.

Toh juga komited dalam memperkasakan sektor pelancongan Terengganu yang mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi bukan saja oleh rakyat tempatan malah menjadi tumpuan pelancong luar.

“Terengganu sentiasa menjadi lokasi pilihan pelancong yang ingin merasai kehidupan kampung dan keindahan pantai yang mudah didapati walaupun di kawasan bandar.

“Biarpun kemajuan infrastruktur pengangkutan awam semakin berkembang, BN masih mampu mengekalkan elemen tradisional di Terengganu secara keseluruhannya,” katanya.

Toh turut meletakkan semua kaum di Terengganu dalam satu rumpun yang sama supaya semua pihak mampu menikmati manfaat yang diberikan kerajaan.

“Sekiranya Terengganu terus ditadbir dengan baik di bawah pemerintahan BN, rakyat bukan saja dapat menikmati manfaat daripada kekayaan negeri, malah tumpuan daripada industri luar juga akan diberikan kepada negeri itu.

“Penduduk Terengganu tidak perlu lagi bimbang mengenai taraf hidup mereka kerana BN tidak pernah putus dengan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup penduduk dan ini termasuk dalam manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Manifesto BN yang dilancarkan mencakupi segala keperluan rakyat pada masa kini tanpa mengenepikan keistimewaan kaum masing-masing. Bagi saya usaha yang dilakukan kerajaan untuk memastikan rakyat mampu berganjak ke kelas yang lebih tinggi perlu dipandang serius oleh rakyat,” katanya.

Toh berkata, persefahaman antara penduduk Terengganu menjadikan negeri itu unik kerana tiada penguasaan dalam aktiviti ekonomi oleh kaum tertentu, malah semua peluang perniagaan dan pekerjaan dijalankan secara sama rata.

“Saya gembira apabila semua kaum tidak kira Melayu, Cina dan India di Terengganu boleh bersatu dalam satu majlis atau aktiviti sukan biarpun mereka tidak pernah berjumpa. Semasa penganjuran Kuala Terengganu City Fun Run.

“Saya dapat lihat kekuatan rakyat Terengganu apabila semua dapat berkumpul tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Malah, di Terengganu dan negeri lain juga, sukan yang popular dalam kalangan kaum Cina seperti bola keranjang, sudah mula memperlihatkan pembabitan kaum Melayu dan India. Ini bukti jurang antara kaum dalam kalangan belia semakin menipis,” katanya.

Katanya, sejak 60 tahun lalu, BN tidak pernah membawa unsur negatif kepada rakyat malah semangat kerjasama untuk membawa Malaysia ke status negara maju semakin utuh dan akan diteruskan.

“Berbanding pihak yang mempunyai kepentingan, mereka cuba menanam rasa benci terhadap rakyat menerusi pelbagai taktik kotor antaranya penyebaran berita palsu. Perkara ini dikhuatiri boleh memusnahkan negara yang sedang membangun hanya disebabkan kepentingan individu.

“BN sudah berjaya membuktikan kemampuannya selama lebih 60 tahun dalam menjadikan Malaysia dikenali di peringkat dunia dan usaha ini akan terus diperkasakan sekiranya rakyat menyerahkan mandat kepada kerajaan pada PRU14 nanti,” katanya.

-Harian Metro-