27 Ogos 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan

Guan Eng wajar fokus memulihkan ekonomi negara, bukannya membuli Sarawak

MCA kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan yang dilihat masih mempolitikkan soal pendidikan, apabila menafikan dana untuk pembaikan sekolah-sekolah daif di negeri Sarawak, walaupun kerajaan negeri sudah membayar RM350 juta sepertimana yang disyaratkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng. 

Ia adalah tanggungjawab kerajaan pusat untuk membantu semua negeri, walaupun ia bukan ditadbir parti-parti Pakatan Harapan. Adakah Guan Eng perlu diingatkan mengenai pengambilalihan hutang negeri Pulau Pinang sebanyak RM655.24 juta pada tahun 2016 oleh kerajaan pusat ketika proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri? Keprihatinan kerajaan BN pada masa itulah yang membolehkan Guan Eng dengan bongkaknya mengumumkan hutang kerajaan negeri mencatat penurunan 80%.

Oleh itu, syarat Guan Eng yang memaksa kerajaan negeri Sarawak membayar balik hutang sebanyak RM1 bilion memang tidak patut. Lebih mengecewakan lagi, Guan Eng seolah-olah enggan mengagihkan dana walaupun sebanyak RM350 juta, iaitu bagi fasa pertama, telah pun dibayar balik, apabila beliau berkata kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg bahawa sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan terlebih dahulu. 

Berapa lama lagikah anak-anak Sarawak perlu menunggu sebelum dapat menerima peruntukan untuk kegunaan sekolah-sekolah daif? Guan Eng tidak patut menyalahgunakan kuasanya untuk membuli negeri-negeri lain.

Kami menggesa Guan Eng supaya berhenti bermain politik, dan lebih fokus menyelesaikan isu-isu kewangan dan ekonomi negara yang semakin merosot, seperti hutang negara yang meningkat ke 52.7% berbanding KDNK, pinjaman tinggi sehingga RM58.1 bilion dalam 6 bulan tahun ini, penyusutan nilai Ringgit kepada RM4.203 berbanding dolar AS, iaitu paras terendah sejak tahun 2017.

-MCA online-