25 November 2019

Kenyataan Media Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Leong Kim Soon

Pengakuan pembatalan Lynas tiada dalam Manifesto PH – Bukti DAP telah menipu rakyat

Kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bahawa penutupan operasi kilang Lynas tidak terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan membuktikan bahawa kerajaan baharu tidak ada niat berbuat demikian sekaligus mendedahkan bahawa DAP serta ahli Parimennya dari Bentong, Wong Tack telah menipu rakyat selama ini.

Malah, permintaan Redzuan untuk semua ahli Parlimen kerajaan menghormati keputusan kerajaan dalam isu ini juga satu tamparan hebat kepada DAP dan membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin DAP tiada integriti kerana sanggup menipu pengundi dalam PRU14.

Sebelum ini DAP telah berulang kali berjanji menutup Lynas, malah Wong Tack sendiri juga mengancam untuk membakar kilang tersebut, namun sekarang Lynas diberi kelulusan kerajaan PH untuk meneruskan operasinya, dan sisanya kekal dalam negara ini. Malah, kerajaan PH juga bercadang memperuntukkan berpuluh juta ringgit untuk menerokai industri perlombongan nadir bumi di Perak.

Lebih mengejutkan lagi adalah Jabatan Tanah dan Galian juga dilaporkan sedang menjalankan kajian tanah pada masa ini. Selepas kajian ini dilakukan, kerajaan akan memperuntukan RM30 juta untuk menjalankan kajian yang sama di negeri-negeri lain. Ini kerana kerajaan PH telah megnatakan bahawa industri perlombongan nadir bumi bakal menjana pertumbuhan ekonomi negara kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi.

Ini bermaksud bahawa DAP yang selama ini mengatakan nadir bumi itu beracun kini telah bertukar pendirian menganggap ia selamat pula.

Demi meraih undi, DAP telah menjanjikan bintang dan bulan, namun selepas dipilih, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka. Akhirnya, rakyat kecewa tertipu.

Oleh itu, DAP digesa berhenti bermain politik dan mengakui kesalahan mereka, di samping meletak jawatan demi mengambil tanggungjawab atas penipuan dan kelemahan mereka.

-MCA online-