Datuk Dr Neo Yee Pan

Pada Selasa    28-06-2016 17:21:00

Datuk Dr Neo Yee Pan
Pemangku Presiden
Mac 1983 - November 1985

Datuk Dr Neo Yee Pan dilahirkan di Muar pada 1938. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Fiziks dari Universiti Malaya, Singapore dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fiziks dari Universiti Saskatchewan, Kanada.

Beliau berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang fiziks di Universiti Malaya dari 1968 hingga 1974.

Pada 11 Ogos 1973, beliau telah dipilih sebagai ahli Jawatankuasa Pusat MCA dan dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung MCA. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai ahli Parlimen untuk Muar dan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Sumber, Teknologi dan Penyelidikan.

Dari 1975 hingga 1979, beliau memegang jawatan Setiausaha Agung MCA. Pada 1975, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan pada 1978, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Semasa PRU 1978 di Julai, beliau dipilih semula sebagai ahli Parlimen Muar, dan pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA pada Ogos 1979, beliau dipilih sebagai Naib Presiden MCA.

Pada 15 September 1979, beliau dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Pada Oktober 28, beliau dianugerahkan DPMJ dari Sultan Johor yang membawa gelaran “Dato’”.

Semasa PRU 1982 pada 22 April, beliau dipilih semula sebagai ahli Parlimen Muar, dan sejurus itu, dilantik semula sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Pada 8 Februari 1983, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Johor.

Pada 25 Mac 1983, Tan Sri Lee San Choon telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden MCA, dan Yee Pan telah menjadi Pemangku Presiden. Beliau telah melantik Datuk Mak Hon Kam sebagai Timbalan Pemangku Presiden. Di samping itu, beliau menubuhkan 8 jawatankuasa baru untuk melaksanakan 8 projek utama, lalu menyisihkan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat yang lain yang pada ketika itu juga mengetuai biro-biro yang juga bertanggungjawab bagi projek-projek tersebut. Mereka termasuk Datuk Lee Kim Sai dan Datuk Wong Mook Leong.

Pertikainan ini mencapai kemuncaknya pada 19 Mac 1984 apabila Yee Pan menggunakan kuasanya sebagai presiden untuk mengusir Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Selangor, Wilayah Persekutuan dan seorang ahli Jawatankuasa Pusat. Pada hari sama, Datuk Hon Kam juga telah memecat 14 ahli-ahli kepimpinan MCA dari semua peringkat, termasuk Datuk Seri Dr Ling Liong Sik yang pada masa itu merupakan ahli Jawatankuasa Pusat merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Naib Presiden Tan Koon Swan, Ketua Pemuda MCA merangkap Naib Pengerusi Datuk Lee Kim Sai dan beberapa ahli lain.

Krisis tersebut telah bermula dengan dakwaan terdapat ahli-ahli parti hantu (phantom members), dan berlangsung selama 20 bulan sehingga Mesyuarat Luar Biasa pada 11 November 1985 telah memilih Tan Koon Swan sebagai presiden yang baru.