
Tan Sri Ong Ka Ting
Presiden MCA Ketujuh
Mei 2003 - Oktober 2008
Tan Sri Ong Ka Ting dilahirkan pada 15 November 1956 di Lenggong, Perak. Keluarga beliau dilanda kemiskinan apabila ayahnya meninggal dunia ketika beliau hanya berumur 8 tahun. Pada masa itu, beliau terpaksa menoreh getah dan menuai daum tembakau untuk menampung hidup.
Beliau telah belajar di SJKC Kota Tampan, dan guru-guru beliau telah mengingatinya sebagai seorang pelajar yang suka membantu dan bertanggungjawab.
Pada 1974, beliau telah menjadi Kapten Sekolah semasa belajar di SM Dato Ahmad, dan telah melanjutkan pelajarannya ke Kolej Tunku Abdul Rahman untuk mencapai Sijil Tinggi Pelajaran, dan akhirnya telah menamatkan pengajian tingginya di Universiti Malaya dalam jurusan Matematik dan Kimia pada 1980.
Kerjaya Tan Sri Ong Ka Ting:
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian serta Diploma Pendidikan, dan telah memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di SMJK Katholik, Petaling Jaya dari 1981 hingga 1984.
Pada 1986, kemahiran beliau telah diiktiraf apabila beliau dilantik menjadi Setiausaha Akhbar kepada Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan pada masa itu, Tun Dr Ling Liong Sik. Pada masa same, beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan sehingga 1990.
Setelah memenangi Pilihan Raya Umum 1990, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Kesihatan dari 26 Oktober 1990 hingga 24 Februari 1991. Kemudian, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Dalam Negeri dari 25 Februari 1991 hingga April 1995. Pada 3 Mei 1993, beliau dinaik pangkat kepada Timbalan Menteri KDN.
Pada 1999, beliau menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan dari Mei hingga Jun 2003, beliau juga telah menjadi pemangku Menteri Pengangkutan.
Semasa tempohnya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, beliau telah membuat beberapa perubahan. Bagi pemindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa, beliau telah menubuhkan garis panduan untuk memastikan bahawa sebuah projek pembangunan di kawasan Bandar akan merizabkan tanah untuk kegunaan rekreasi. Bagi menjaga kepentingan pembeli rumah, sebuah Tribunal Perumahan ditubuhkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian tanpa menyusahkan pembeli rumah dengan mewajibkan mereka hadir di mahkamah. Di bawah kepimpinan Ka Ting, kementerian juga telah mengkaji konsep “bina kemudian jual” untuk menghalang pemaju yang tidak bertanggungjawab dari tidak membekalkan rumah walaupun sudah dibayar. Semua perancang Bandar di seluruh negara juga telah diarahkan untuk menggabungkan konsep “Bandar selamat” ke dalam pembangunan bandar-bandar baru di mana kemudahan mencukupi akan disediakan, dan para pemaju mestilah membantu usaha kerajaan tempatan melalui pemasangan laluan pejalan kaki dan jalan raya, serta pagar dan lampu demi memastikan keselamatan persekitaran.
Penglibatan Tan Sri Ong Ka Ting di MCA:
Beliau menyertai MCA pada 1979, dan telah memegang beberapa jawatan, terutamanya di Pemuda MCA seperti Ketua Audit Pemuda MCA, ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA dan Ketua Pemuda MCA Johor.
Beliau telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pusat MCA pada 1 November 1990 dan 26 Jun 1993. Pada 1996, beliau telah dipilih sebagai Naib Presiden dan Ketua Biro Perundingan Persatuan-persatuan Cina. Dari Julai 1999 hingga Mei 2003, beliau berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Naib Presiden.
Pada 23 Mei 2003, beliau menjadi Presiden MCA.
Pada 8 Oktober 2004, beliau telah melancarkan kempen Pembelajaran Speanjang Hayat (Lifelong Learning) untuk menggalakkan rakyat belajar berterusan sama ada melalui akademik, kursus pendek, atau membelajari kemahiran baharu demi membangunkan dan meningkatkan daya saing diri sendiri.
Sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan, beliau telah menyelesaikan pertikaian dalaman parti. Di bawah kepimpinannya, Majlis Presiden juga telah meluluskan Garis Panduan untuk Pemegang Jawatan pada 4 Oktober 2005 yang telah mengehadkan tempoh perkhidmatan bagi pemimpin-pemimpin MCA di peringkat Parti, kerajaan negeri, dan kementerian.
Pada 18 Oktober 2008, beliau memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya memandangkan kejadian “tsunami politik” semasa Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008. Di bawah kepimpinannya, MCA telah melunaskan semua hutangnya pada 18 April 2008.
Pilihan Raya Umum dan Ahli Parlimen
Semasa Pilihan Raya Umum Oktober 1990, Tan Sri Ong Ka Ting telah menubuhkan hubungan baik dengan rakyat walaupun masih seorang muka baru di mana beliau telah memenangi kerusi Parlimen Pontian. Sejak itu, beliau telah mempertahankan kerusinya dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum April 1998 dan November 1999. Pada Mac 2004, beliau telah memenangi kerusi Parlimen Tanjong Piai dengan majority 23,615 undi.
Pada 8 Mac 2008, beliau telah bertanding di kerusi Parlimen Kulai, dan telah menang dengan majoriti 11,744 undi apabila beliau setelah memperoleh 32, 017 undi berbanding 20, 273 undi oleh DAP.
Anugerah
Pada 1997, beliau telah dianugerahkan Dato’ Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran “Dato” oleh Sultan Perak. Selain itu, beliau juga telah menerima anugerah Seri Paduka Mahkota Perak yang membawa geralan “Dato’ Seri” pada 2000.
Mengutamakan Perkhidmatan dan Kepentingan Pendidikan
Beliau amat prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Sejak zaman universitinya, beliau telah memberi kelas tuisyen untuk membantu bayar yuran pendidikannya. Beliau amat menekankan kepentingan pendidikan, malah beliau pernah meminta dua ahli-ahli perniagaan yang bergelaran Datuk untuk menderma kepada Sekolah Tinggi Persendirian Cina Pin Hwa semasa mereka sedang menjamu sarapan pagi.
Dalam ucapan sulung beliau sebagai Presiden MCA, beliau telah menekankan bahawa MCA akan selalu bersedia menangani isu-isu pendidikan seperti pembangunan pendidikan Cina sekolah rendah, kekurangan guru-guru dan pemgambilan universiti. Penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan pembangunan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) juga mencerminkan komitmen beliau untuk selalu menyediakan pendidikan yang berkemampuan dan berkualiti kepada rakyat.
Demi menggalakkan orang ramai untuk mencari ilmu bagi membangukan potensi diri sendiri, MCA di bawah kepimpinan Ka Ting telah melancarkan kempen Pembelajaran Sepanjang Hayat pada 8 Oktober 2004. Kempen ini bukan hanya terhad kepada masyarakat Cina, tet api bertujuan untuk memanfaatkan semua rakyat Malaysia.
Selain itu, beliau juga komited membangunkan taraf hidup penduduk-penduduk di 452 kampung-kampung baru di seluruh negara, dan telah menyediakan pelan tindakan yang menumpukan perhatian kepada taraf hidup dan persekitaran alam.
Aktiviti Kokurikulum:
Tan Sri Ong Ka Ting juga merupakan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA). Selain itu, beliau juga merupakan Penasihat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil dan Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM).
Keluarga:
Beliau berkahwin dengan Puan Sri Wendy Chong Siew Mei dan diberkati dengan 2 anak; Li En dan Xing Yang.