30 April 2021

Kenyataan media Jurucakap Pemuda MCA, Jacob Lee Yee Yuan pada sidang media

Kementerian Pendidikan perlu siasat gurauan rogol guru, lindungi pelajar perempuan daripada dibuli

Seorang pelajar perempuan, Ain Husniza Saiful Nizam telah mendedahkan di media sosial mengenai tindakan seorang guru lelaki di sekolahnya ketika membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan. Menurut Ain, guru tersebut telah mengatakan, ‘kalau nak rogol, rogollah yang berumur atas 18 tahun’.

Susulan itu, Ain turut diancam rogol oleh rakan lelaki di sekolahnya. Ini menunjukkan isu gangguan seksual ini semakin parah dan menuntut tindakan segera Kementerian Pendidikan untuk menghentikan kerosakan kepada seluruh sistem pendidikan kita dan untuk melindungi pelajar tersebut daripada terus diancam, dimaki dan dibuli.

Menurut laporan media, pihak polis mengesahkan Ain telah dua kali membuat laporan polis, meminta siasatan dijalankan terhadap guru serta pelajar lelaki terbabit. Dalam masa sama, pihak sekolah juga dikatakan sudah menghubungi Ain dan menghantar seorang guru kaunseling untuk menunjukkan keprihatinan, serta meminta maaf bagi pihak guru lelaki yang ‘tersalah buat jenaka’ itu.

Setelah pihak sekolah mengambil langkah menghubungi pelajar berkenaan, isu ini turut dilaporkan secara meluas. Maka Kementerian Pendidikan tidak harus terus membisu, sebaliknya perlu segera melakukan siasatan serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi menghalang sesiapa sahaja daripada mengeluarkan kata-kata yang menyinggung atau menghina golongan perempuan. Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana ia hanya akan menjadi semakin serius.

Malangnya setakat ini, kami belum melihat pihak sekolah mahupun Kementerian Pendidikan mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut, melainkan laporan akhbar bahawa guru kaunseling berkenaan mengata pelajar perempuan tersebut kononnya terlalu sensitif dan tersalah faham ‘lawak jenaka’ guru berkenaan.

Kami amat dukacita apabila tindakan guru tersebut dianggap sebagai jenaka. Rogol merupakan jenayah berat dan keji. Seseorang guru haruslah mendidik secara profesional serta menanam nilai murni pegangan hidup serta cara berinteraksi sesama manusia yang betul. Oleh itu, isu gangguan seksual atau rogol haruslah dipandang secara serius serta dikutuk dengan pendirian yang setegas mungkin, bukannya dibincangkan secara sambil lewa.

Sikap dan pemahaman yang salah ini, jika terus dibiarkan, ia akan menyukarkan usaha membendung, sebaliknya menggalakkan jenayah rogol.

Apabila pelajar perempuan tersebut turut dibuli dan diancam, ini menunjukkan gejala kurang sihat memang sudah sedia wujud dan akan bertambah buruk sekiranya pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan masih menutup sebelah mata.

Kami berpendapat, Kementerian Pendidikan mestilah menyiasat guru lelaki yang membuat jenaka rogol berkenaan, serta mengumumkan keputusan siasatan serta tindakan susulan yang telah diambil.

Kami berpendirian, isu ini perlu diselesaikan secepat mungkin melalui siasatan yang terperinci. Sekiranya didapati guru tersebut bersalah, dia harus dikenakan hukuman berat.

Kaedah pengajaran yang salah seperti ini tidak harus dipraktikkan oleh mana-mana guru di mana-mana sekolah. Masyarakat tidak dapat menerima sikap sambil lewa guru dalam membincangkan isu serius seperti rogol, atau memberikan ajaran salah kepada anak-anak sekolah.

Masyarakat Malaysia akan menerima impak buruk dalam jangka panjang sekiranya kepincangan sebegini tidak diperbetulkan dengan segera.

-MCA online-