Persidangan Video Khas Sayap Wanita ICAPP: Pemerkasaan Wanita semasa dan selepas COVID-19

Ucapan Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie

(Masa: 4 minit)

24 Februari 2021

 

Sesi 2: Keganasan berasaskan gender – Menghalang dan Menangani Keganasan Rumah Tangga terhadap Wanita

YB Cho Byung-jae, Moderator dan Setiausaha Agung ICAPP

YB Jose de Venecia, Jr., Pengasas ICAPP dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tetap ICAPP

YB Sujata Koirala, Pengerusi Bersama Sayap Wanita ICAPP

Panel kehormat, para tetamu, peserta, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, selamat sejahtera.

1. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ICAPP kerana menganjurkan persidangan mengenai topik hari ini yang dianggap amat penting dan tepat pada masanya, yakni *isu ketidaksamaan sosial. Secara khususnya, ketidaksamaan gender dan peningkatan keganasan rumah tangga semasa COVID-19.

2. Sekadar di Malaysia sahaja,  sebanyak 1,986 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari bulan Mac hingga Ogos 2020. Ia merupakan peningkatan sebanyak 53 peratus bagi tempoh yang sama, sebelum pandemik. Yang lebih merisaukan ialah ,  sebanyak 7,959 kes penceraian turut dicatatkan dalam tempoh PKP yang sama. Ia merupakan peningkatan sebanyak 250 peratus berbanding tempoh yang “biasa”.

3. Demi membantu wanita yang memerlukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melancarkan hotline Talian Kasih 159998 , satu talian beroperasi 24 jam untuk membantu mangsa rogol dan keganasan rumah tangga,  atau mereka yang memerlukan  perkhidmatan kaunseling , perlindungan dan kebajikan.

4. Belanjawan 2021 yang bersifat bajet responsif gender, atau GRB turut memperuntukkan  sebanyak RM21 juta  untuk tujuan menubuhkan pusat sokongan sosial bagi membantu wanita dan keluarga yang memerlukan, termasuk menyediakan rumah perlindungan dan khidmat pakar .

Tuan-tuan dan puan-puan,

5. Parti politik memainkan peranan yang cukup penting dalam menangani keganasan rumah tangga yang semakin meningkat akibat pandemik ini. Namun isu ini kerap dipertanggungjawabkan kepada sayap wanita pertubuhan. Melihat perkembangan semasa,  saya berpendapat bahawa isu keganasan rumah tangga ini tidak seharusnya dilihat semata semata sebagai “isu wanita” lagi. Statistik   kes keganasan rumah tangga yang semakin meningkat adalah  buktinya. Sememangnya ,menangani keganasan rumah tangga bukanlah semudah kita merawat penyakit apendiks yang boleh dibedah ; Malah, tiada vaksin untuk mengubati masalah ini. Sebaliknya, ia adalah satu masalah kompleks yang berkait rapat dengan masyarakat kita, dan memberi kesan jangka masa panjang terhadap pembangunan negara. Oleh itu, saya menyeru kepada semua agar masalah keganasan rumah tangga ini diketengahkan sebagai isu utama negara setaraf seperti isu membasmi kemiskinan dan pendidikan .

6. Dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil, MCA telah menggalas tanggungjawab untuk memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa wanita yang teraniaya   sejak sekian lama. Inisiatif Wanita MCA menubuhkan Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita (LAWA), iaitu sebuah pusat sehenti pelbagai agensi perkhidmatan bersepadu dan komprehensif bertujuan membantu mangsa keganasan rumah tangga, serangan seksual, penderaan dan pengabaian kanak-kanak. LAWA juga menyediakan khidmat guaman dan kaunseling yang komprehensif secara percuma untuk mangsa wanita yang teraniaya dan kurang upaya , khususnya mereka yang tidak mampu dari segi kewangan untuk mengambil tindakan undang-undang.

7. MCA juga memainkan peranan penting dalam pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga Malaysia bagi memastikan pendekatan holistik dapat diambil ketika mengenakan tindakan undang-undang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Tatkala pandemik COVID-19 mengancam keselamatan dunia, kita juga harus memandang dari sudut positif dan mengambil iktibar daripadanya iaitu kita harus lebih meluangkan masa bersama keluarga, ibu bapa dan anak  .

9. Isu berkaitan keganasan rumah tangga telah menjadi tumpuan ramai seiring COVID-19 dan telah menarik perhatian pelbagai pihak termasuklah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan  ICAPP.  Ini tepat pada masanya kerana kita tidak boleh lagi menutup mata kerana isu ini tidak akan hilang begitu sahaja hanya kerana kita tidak ingin berbincang secara terbuka. Sebaliknya, ia adalah satu perjuangan panjang dan akan berterusan selagi manusia wujud di dunia ini.

10. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, kita semua haruslah berganding bahu demi memastikan perjuangan menangani keganasan rumah tangga akan menjadi fokus utama rangka pemulihan pasca pandemik, dan pada masa akan datang.

11. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya hari ini. Saya mendoakan agar anda semua sentiasa sihat dan selamat , di mana jua anda berada.

-MCA online-