1 Mac 2021

Kenyataan media Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon

RoS lulus cadangan pindaan Perlembagaan MCA yang dibuat pada tahun 2019

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan cadangan-cadangan pindaan Perlembagaan MCA antaranya berkaitan penyertaan Ahli Bersekutu, penyelarasan tarikh pemilihan parti dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) dan lain-lain cadangan sepertimana yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA ke-66.

Berikut merupakan beberapa cadangan pindaan Perlembagaan MCA yang dibuat pada AGM tahun 2019 lalu dan telah mendapat kelulusan daripada RoS :

1. Menambah klausa dalam perlembagaan parti dengan membenarkan penyertaan ahli-ahli daripada bukan berbangsa Cina untuk menjadi Ahli Bersekutu;

2. Pemilihan parti perlu diadakan dalam masa enam (6) bulan selepas PRU, atau selepas 36 bulan dari  pemilihan parti terdahulu, bergantung kepada mana yang lebih lewat;

3. Berkenaan kuorum mesyuarat, setelah dipinda, perlembagaan parti menetapkan bahawa mana-mana mesyuarat yang ditangguhkan mestilah mempunyai kuorum minimum seramai 7 orang. Jika tidak, ia akan dianggap sebagai tidak sah.

Kesemua pindaan ini berkuatkuasa serta-merta. Ini juga bermakna, mulai sekarang MCA boleh menerima Ahli Bersekutu dalam kalangan masyarakat bukan Cina.

Sementara cadangan bagi menurunkan had umur minimum keahlian parti kepada 16 tahun pula, RoS memaklumkan bahawa ia sedang diteliti oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). Jawapan sama turut diberikan kepada pihak-pihak lain yang turut mengemukakan cadangan serupa.

-MCA online-