"Rakyat perlulah akur dan menghormati proses keputusan berkenaan kecuali jika keputusan yang dibuat itu di luar rangka perundangan dan di luar kepentingan rakyat.
"Rakyat perlu baik sangka, jangan banyak buruk sangka kerana ia akan menimbulkan banyak masalah padahal ia bukan masalah," katanya ketika menjadi ahli panel program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Program yang berlangsung selama sejam itu dikendalikan Sherkawi Jirim dan turut disertai bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.
Ti juga berkata walaupun mengalami pengurangan pendapatan akibat pandemik COVID-19, negara masih mampu memberikan pelbagai bantuan bukan hanya kepada golongan B40 malah untuk M40 serta komuniti perniagaan.
Kamalanathan pula berkata beliau yakin Malaysia akan berjaya mengatasi ancaman pandemik COVID-19 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau juga percaya Muhyiddin akan menunaikan kata-katanya untuk membubarkan parlimen bagi membuka laluan kepada penganjuran Pilihan Raya Umum selepas negara pulih daripada penularan pandemik itu.
"Tetapi buat masa ini, kita patut sokong usaha kerajaan untuk mengatasi COVID-19 terlebih dahulu. Selepas pandemik ini dapat diatasi dan hampir semua rakyat Malaysia telah divaksin, barulah kita boleh fikir mengenai pilihan raya," katanya.
-- BERNAMA