30 November 2017

Kenyataan Media Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Dato’ Sri Ti Lian Ker mengenai Islamophobia

Malaysia dilanda oleh pelbagai fobia disebabkan prasangka, salah sangka dan salah faham terhadap nilai, budaya dan kepercayaan yang lain daripada kita.

Jurang antara kaum, budaya dan agama ini semakin tebal dan ketara apabila politikus mengeksploitasikan kesangsian, ketidaksenangan dan ketidakselesaan sensitiviti mereka.

Islamophobia wujud bukan sahaja dari kalangan bukan Islam tetapi dari umat Islam sendiri yang risau tentang eksploitasi agama Islam secara berterlaluan atau apabila golongan tertentu memberi intepretasi agama secara "narrow" dan "literal" menimbulkan kebimbangan mereka yang sayangkan dan ingin menegakkan ajaran  agama Islam yang tulen dan sebenarnya.

Malangnya golongan ini yang tidak mahu Islam diperalatkan akan pula dilabel sebagai ‘liberal’, songsang atau kafir walaupun padahalnya mereka berpendirian sederhana.

Kesemua ini adalah "action and reaction" ataupun tindakan dan tindakbalas dari penganut-penganut Islam sendiri.

Ini juga menimbulkan kebimbangan dan kesangsian masyarakat bukan Islam juga apabila ada golongan-golongan tertentu ingin memperkenalkan perlaksanaan undang-undang yang merangkumi penjenayahan dan sivil yang selama ini ditadbir secara ‘jurisprudence’ ataupun falsafah undang-undang yang dianggap sekular. Apabila ini berlaku, ramai lagi pengamal undang-undang sangsi dan phobia terhadap percubaan untuk mengubah sistem perundangan kita atas nama agama Islam.

Segala-gala ini telah menyumbang kepada kebimbangan dan kesangsian terhadap percubaan untuk menukar pentadbiran undang-undang dan nilai atas nama "syariah". Apabila ramai cuba mengutarakan cadangan mereka atas nama Islam dan ramai pula menolak, ini akan dilihat secara amnya sebagai penerimaan dan penolakan Islam secara bulat-bulat walhal hakikat sebenarnya adalah berbeda.

Dato’ Sri Ti Lian Ker
Ketua Biro Keharmonian Agama MCA
Jurucakap Publisiti MCA (Bahasa Inggeris/ Bahasa Melayu)

-MCA online-