Skip to main content
Home
News Center
Membership
President's Desk
About MCA
Party's Agenda
MCA Youth
Wanita MCA
Website Links
Download Zone
Contact Us
  
Sitemap | Bookmark |
Go Search

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA MAJLIS PARLIMEN KE-12: UCAPAN PENYOKONG USUL MENJUNJUNG KASIH KE ATAS TITAH DIRAJA 

 
Email to Friend
 
 

 

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL kedua MAJLIS PARLIMEN KE-12

UCAPAN PENyokong USUL MENJUNJUNG KASIH KE ATAS TITAH DIRAJA

 

~ YB DATO’ Lee chee leong ~

Ahli Parlimen Kawasan Kampar

 

17 FEBRUARI 2009

 

Tuan Yang Dipertua, dengan ini saya, Dato’ Lee Chee Leong, Ahli Parlimen bagi kawasan Kampar, memohon untuk menyokong Usul Menjunjung Kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah kerana sudi berangkat menyampaikan Titah Ucapan di Persidangan Penggal Kedua Parlimen Kedua Belas pada hari semalam,  16 Februari 2009. Usul saya adalah seperti yang berikut:

 

Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, demikian bunyinya:

 

Ampun Tuanku,

 

Patik, Yang Dipertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Tuanku semasa membuka Penggal Pertama Parlimen Yang Kedua Belas.’’

 

Tuan Yang Dipertua,

Terlebih dahulu, izinkan saya mengambil kesempatan pada sidang Parlimen yang baru di dewan yang mulia ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di atas sumbangan dan jasa beliau kepada negara sepanjang beliau menerajui Malaysia selama lima tahun enam bulan.

 

Semua sedia maklum, hujung bulan depan negara kita akan menyaksikan proses peralihan kuasa apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bakal  mengambil alih pucuk kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri ke-6 negara.

 

Sehubungan itu, marilah kita sama-sama melafazkan kesyukuran kerana sekali lagi proses peralihan kuasa di dalam negara akan berlangsung dalam suasana yang tenteram dan terkawal – tidak seperti di negara-negara lain.

 

Proses peralihan kuasa yang tenteram ini membuktikan kepada dunia bahawa kepemimpinan negara tidak pernah mengabaikan mahupun menidakkan kestabilan politik untuk kepentingan peribadinya.  Malah, kestabilan politiklah yang menjadi tunjang utama kepada kemakmuran serta ksejahteraan yang dikecapi oleh Malaysia sejak sekian lama.

 

Kepada YAB Perdana Menteri, saya bagi pihak rakan-rakan dalam Parlimen ingin menyatakan rasa terhutang budi kami terhadap kepemimpinan Pak Lah kerana peka kepada suara hati rakyat yang mahu

 

melihat perubahan drastik bukan sahaja dalam sistem kehakiman negara bahkan juga gejala rasuah yang tidak berkesudahan serta kebebasan media yang didakwa sesetengah pihak sebagai tidak bebas.

 

Komitmen dan kesungguhan Pak Lah untuk mewujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC), memberikan kebebasan kepada civil society untuk bergerak serta melonggarkan kawalan ke atas media-media merupakan satu langkah yang cukup berani mengambil kira suasana politik negara ketika ini sudah banyak berubah.  

 

Usaha nekad SPRM baru-baru ini dalam menangkap individu-individu yang terbabit dalam rasuah tanpa memilih bulu, parti politik dan pangkat amatlah dialu-alukan dan ketegasan SPRM ini harus dijadikan peringatan kepada semua pihak bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan gejala rasuah. Gejala rasuah harus ditentang habis-habisan.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

 

Setiap yang bermula pasti akan berakhir dan dalam konteks peralihan kuasa kepemimpinan negara, ia tidak terkecuali. Kenaikan Datuk Seri Najib sebagai PM ke-6 berlangsung dalam suasana politik negara yang cukup tidak menentu dan antisipasi rakyat yang cukup tinggi. Rakyat ingin melihat sejauhmanakah keputusan PRU ke-12 kira-kira satu tahun lalu benar-benar telah menyedarkan BN terhadap keperluan untuk berubah atau masih berada di takuk lama.

 

Perubahan pucuk kepemimpinan negara sudah tentu diiringi dengan pelbagai antisipasi dan jangkaan yang tinggi. Bagi Datuk Najib sendiri, seluruh rakyat Malaysia kini akan menanti dengan penuh debar apakah dasar-dasar dan perubahan baru yang bakal diambil beliau.

 

Hakikatnya, BN kini tidak mempunyai kebebasan untuk membuat eksperimen terhadap sentimen rakyat. Rakyat sudah pun menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap BN menerusi PRU 12 dan amat mustahak buat BN untuk membuat perubahan segera itu agar sokongan pengundi tidak terus beralih kepada pembangkang.

 

 

Apa pun, kita percaya dan menaruh keyakinan tinggi apabila mengambil alih pucuk kepemimpinan negara nanti, Datuk Seri Najib dengan dibantu oleh barisan Kabinetnya akan menyahut aspirasi rakyat dengan tenang dan matang. Sebagai seorang pemimpin yang telah pun didedahkan dengan politik sejak dari usia muda lagi, kepemimpinan dan kemampuan Najib untuk memacu Malaysia ke era yang lebih cemerlang mampu menjadi kenyataan.

 

Tuan Yang Dipertua,

A)SENARIO POLITIK SEMASA NEGARA

 

Sejak akhir-akhir ini terutamanya selepas berakhirnya PRU 12, kita terus disajikan dengan pelbagai berita politik panas lagi menarik dari politkus-politikus negara. Ada yang melucukan dan tidak kurang juga yang mendukacitakan. 

 

Sepanjang 2008 yang lalu sahaja, arena politik negara tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Paling mendapat perhatian ialah keghairahan pakatan pembangkang di bawah kepemimpinan ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beria-ia untuk memancing ahli-ahli BN untuk melompat parti.

 

Selain usaha memancing ahli-ahli BN untuk lompat parti, budaya berdemonstrasi yang sebelum ini merupakan amalan asing di Malaysia, kini semakin menjadi-jadi. Demonstrasi besar-besaran oleh kumpulan Hindraf, Bersih, Jerit dan beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) bagi menuntut keadilan seolah-olah menunjukkan pucuk kepemimpinan negara gagal menangani masalah rakyat. Isu kebebasan media, ketelusan sistem kehakiman dan moraliti pemimpin turut dibangkitkan.

 

Kita sudah pun melangkah ke bulan Februari 2009 dan sebarang tanda-tanda pergolakan politik negara akan reda tidak kesampaian. Belum sampai sebulan berakhirnya Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, negara dikejutkan pula dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, semuanya gara-gara budaya melompat parti oleh tiga Ahli Dewan Undangan

 

Negerinya yang secara kebetulan diperkenalkan oleh ketua pembangkang tidak lama dahulu.

 

Tidak cukup dengan itu, negara akan bakal berhadapan dengan dua pilihan raya kecil satu di Bukit Gantang, Perak dan satu lagi di Bukit Selambau selepas seorang daripada ahli Parlimennya meninggal dunia sementara seorang lagi meletak jawatan atas sebab-sebab peribadi.

 

Perkembangan yang serba tidak menentu ini sekaligus membuktikan bahawa landskap politik negara ternyata sudah berubah selepas berakhirnya PRU ke-12. Hakikat bahawa kerajaan BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan lima buah negeri kepada PR, bererti pendekatan lama yang digunakan sebelum ini sudah tidak efektif lagi. Pendek kata, “it is not business as usual.’’

 

Ketidaktentuan politik negara yang dialami ketika ini tidak memanfaatkan mana-mana pihak. Gelagat pemimpin-pemimpin politik yang lebih suka beretorik daripada melaksanakan janji-janji yang dibuat pada PRU 12 membuatkan rakyat kini semakin rimas.

 

Kunjungi sahajalah ke kedai-kedai kopi, pasar pagi ataupun di jalanan, sentimen rakyat cukup negatif. Rakyat sebenarnya sudah bosan dengan retorik yang diberikan oleh pemimpin politik dan apa yang mereka mahukan ialah tindakan-tindakan konkrit bukannya janji-janji manis.

 

Justeru, kita melihat arus perubahan politik di Perak menjadi pentas terbaik untuk BN dalam menambat kembali hati para pengundi. Dengan komposisi penduduk Perak agak seimbang antara tiga kaum terbesar negara (kaum Melayu: 49.9%, Cina: 36.2%, India: 11.5% dan lain-lain: 0.9%), BN  memerlukan satu pendekatan baru atau new approach yang bijak. Seandainya pendekatan baru BN ini mampu menarik hati pengundi di Perak, maka ia akan menjadi pemangkin di kawasan-kawasan lain.

 

Keseimbangan dari segi komposisi kaum di Perak menunjukkan, BN tidak boleh memandang remeh terhadap sokongan pengundi dari semua kaum. PRU 12 menjadi saksi terbaik kepada BN bahawa disebabkan penangan sokongan oleh kaum Melayu, Cina dan India – BN hilang mandat di lima buah negeri selain hilang penguasaan undi majoriti dua pertiga di Parlimen.

 

Pendek kata, the old political game sudah berakhir. Itu sebabnya kita tidak boleh membuat penafsiran naïf bahawa trend sokongan sesebuah kaum terhadap parti politik tidak akan berubah. Pasca PRU 12 telah menyaksikan pengundi tidak teragak-agak untuk memilih wakil rakyat yang bukan dari kaum mereka.

 

Sebagai contohnya, terdapat segelintir pengundi Cina yang bersedia mengundi calon Pas ataupun pengundi Melayu yang mengundi calon DAP. Realiti sebenar politik Malaysia hari ini sudah berada di hadapan kita dan mahu tak mahu, kenyataan ini perlu dihadapi secara berani dan jujur.

 

Tuan Yang Dipertua,

Masyarakat Cina yang membentuk sebanyak 36% daripada keseluruhan penduduk Perak memainkan peranan yang cukup penting kepada kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini. Di Perak jugalah, terdapat banyak penempatan kampung-kampung baru rata-ratanya didiami oleh masyarakat Cina. Walaupun masyarakat Cina merupakan penduduk minoriti di sini, komitmen mereka kepada pembangunan Perak tidak pernah luntur.

 

Hasil-hasil tanaman yang diusahakan di kampung-kampung baru ini menjadi nadi utama kepada bekalan di pasar-pasar seluruh negara. Pembabitan mereka dalam sektor-sektor lain seperti perniagaan, perladangan dan peruncitan juga memberi aspek positif kepada pertumbuhan ekonomi Perak.

 

Masyarakat Cina secara umumnya tidak suka mempamerkan emosi mereka baik ketika mengundi mahupun dalam urusan harian mereka. Justeru aspirasi mereka kepada kerajaan yang memerintah sekarang cukup simple. Apa yang dimahukan mereka lebih tertumpu kepada aspek kesaksamaan terutamanya dari segi ekonomi, kesaksamaan dalam mendapat peluang pekerjaan, biasiswa dan tidak dilayan seperti pendatang.

 

Kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh segelintir pemimpin yang mendakwa sebagai komuniti Cina sebagai pendatang amat mengecewakan. Komen sedemikian tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi dalam sebuah negara berbilang kaum yang masing-masing mempunyai sensitivitinya tersendiri. 

 

 

Ke manakah hilangnya semangat persaudaraan dan kekeluargaan yang pernah ditunjukkan oleh para pejuang kemerdekaan negara dahulu seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan? Walaupun ketiga-tiga pemimpin ini datang dari latar belakang pendidikan, agama dan bangsa yang berbeza, namun ia tidak sekali pun menghalang mereka untuk berkawan dan berkorban untuk satu perjuangan yang murni.

 

Kecenderungan segelintir pemimpin untuk mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab serta membelakangkan mandat pengundi melalui tindakan rasuah dan membeli undi – mengundang persoalan. Tertanya-tanya dalam minda rakyat, apakah setiap pemimpin politik yang dipilih hanya mengutamakan kepentingan peribadinya dan tidak boleh dipercayai lagi?

 

Perbuatan oleh segelintir pemimpin politik yang melakukan sesuatu di luar batasan undang-undang atau atas nama kepentingan peribadi seolah-olah menggambarkan undi rakyat sudah tidak penting lagi.  

 

Bagi pemimpin politik sebegini, mereka merasakan bahawa undi yang diberikan oleh rakyat membolehkan mereka melakukan apa sahaja yang disukainya. Kerana mempunyai mentaliti sebegini, maka terjadilah insiden-insiden tidak menyenangkan seperti komen bocor oleh seorang ahli Parlimen BN, komen rasis terhadap rakyat berbilang kaum negara ini dan amalan rasuah yang tidak berkesudahan.   

 

Kepada mereka yang gagal memahami kuasa sebenar di sebalik satu rakyat, satu undi – bersedialah untuk ditolak pada pilihan raya umum akan datang. Para pemimpin politik negara perlu diingatkan untuk tidak memandang remeh terhadap kuasa undi rakyat. Tanpa penglibatan rakyat dalam proses pilihan raya, maka tidak akan terpilihlah seseorang pemimpin untuk mengetahui sesebuah organisasi atau pertubuhan.

 

Rakyat memilih seseorang pemimpin kerana merasakan pemimpin berkenaan mampu membawa perubahan dan menjana suasana yang lebih baik kepada kebajikan rakyat. Justeru, apabila hak tersebut telah ‘diperkosa’ dengan sewenang-wenangnya maka tidak hairan jika satu hari nanti, rakyat memutuskan untuk enggan mengundi. Keengganan untuk keluar mengundi

 

sesungguhnya bukanlah perkembangan sihat kepada sistem demokrasi negara. Yang rugi akhirnya hanyalah rakyat sendiri.

 

Tuan Yang Dipertua,

Kekalahan buruk BN pada PRU 12 yang menyaksikan BN gagal memperoleh undi majoriti dua pertiga di Parlimen buat pertama kalinya sejak 1969 selain kehilangan lima buah negeri kepada pembangkang, turut mengundang pelbagai persoalan terhadap sejauh mana BN mahu bertahan dalam iklim politik yang kian tidak menentu.

 

Pengundi muda sebagai contohnya bukan sahaja bersikap anti-establishment malah mereka menganggap BN sebagai sebuah gagasan yang korup, rasis dan tidak telus.

 

Keadaan ini diburukkan lagi dengan kecenderungan generasi muda untuk terpengaruh dengan dakyah-dakyah politik pembangkang yang nampaknya lebih memenuhi aspirasi mereka.

 

Kumpulan pengundi ini cenderung untuk menyokong parti-parti pembangkang kerana parti-parti berkenaan dilihat lebih berani bersuara dan bersedia memperjuangkan isu-isu tertentu tanpa rasa takut tidak seperti parti-parti komponen BN yang terikat dengan formaliti tertentu hingga parti komponen seperti MCA dilabel sebagai parti yang tidak bertaring.

 

Barangkali, imej serong inilah yang perlu diperbetulkan oleh BN. Kita perlu meyakinkan rakyat bahawa parti-parti komponen dalam BN sebenarnya bebas untuk bersuara dalam isu-isu membabitkan kepentingan rakyat, cumanya pendekatan yang digunakan adalah berbeza.

 

Satu mekanisme khas perlu diwujudkan bagi membolehkan parti-parti tadi menyuarakan pandangan, kritikan mahupun tohmahan dengan mengambil kira keperluan dan perasaan setiap kaum.

 

Dianggarkan menjelang PRU 13 akan datang, seramai enam juta pengundi muda yang layak mengundi. Pada PRU 12 yang lalu, tempias kuasa undi pengundi muda masih belum dirasai. Ini kerana, dua juta pengundi muda yang sudah mendaftar tidak turun membuang undi.

 

Tetapi dengan perkembangan teknologi ICT dan keghairahan generasi muda mendapatkan maklumat-maklumat dari laman blog yang mana kredibilitinya lebih baik, situasi pada PRU 13 sudah pasti berbeza.  

 

Kegagalan BN untuk mendekati pengundi-pengundi muda menggunakan pendekatan yang sesuai bukan sahaja akan menyebabkan BN terus kempunan dengan kepimpinan  pemimpin muda bahkan juga  akan menyebabkan BN terus dipimpin oleh pemimpin lama – pemikiran dan dinamisme lama yang hanya akan membantutkan ketahanan gagasan berkenaan. Kehadiran pemimpin muda tidak wajar dipandang serong sebaliknya disambut dengan hati yang terbuka.

 

Dinamisme, kepemimpinan yang bertenaga ditambah pula dengan idea-idea pemikiran baru pada pemimpin muda haruslah diasah dan dimanfaatkan sepenuhnya. Anggaplah kehadiran barisan kepemimpinan muda sebagai satu cabaran baru untuk memantapkan kelemahan yang wujud sebelum ini.

 

Apa yang penting, ini bukanlah masanya untuk kita menanamkan perasaan syak-wasangka terhadap niat pemimpin muda apatah lagi bercakaran sesama sendiri terhadap isu-isu remeh.

 

Perpaduan haruslah menjadi matlamat utama dalam setiap pemimpin BN. Pada ketika BN masih lemah dan dalam proses pengukuhan, semangat perpaduan dan kekitaan menjadi tonggak utama yang mampu menggerakkan kita kepada perjuangan asal BN.

 

Sudah tiba masanya kita sebagai sebuah gagasan yang bersatu, BN perlu kembali kepada perjuangan asal iaitu menekankan kepada pendekatan yang bersifat community-centric. Pendekatan community-centric ini bermakna pendekatan yang mesra rakyat dan mengambil kira keperluan mereka.

 

Dalam era globalisasi yang tidak mengenal sempadan, rakyat tidak mudah untuk diperdayakan lagi. Era yang mana rakyat/pengundi boleh digula-gulakan dengan pelbagai janji manis sudah berakhir.

 

Rakyat kini lebih bijak menilai pihak mana yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka dan sekiranya pemimpin yang dipilih tadi gagal dalam tanggungjawabnya, kuasa untuk menolaknya tetap ada iaitu menerusi proses pilihan raya.

 

Tidak keterlaluan untuk kita mengatakan bahawa usaha memenang kembali hati pengundi boleh kita samakan seperti seorang jurujual meyakinkan pelanggan untuk membeli produk keluarannya.

 

Pengundi merupakan pelanggan utama yang perlu dipujuk dan diyakinkan oleh mana-mana parti politik. Kerana kuasa mengundi terletak di tangan mereka dan mampu mencorakkan hala tuju/ masa depan parti-parti politik, maka segala maklum balas yang diberikan harus diambil kira. Fakta ini harus diingati oleh semua pemimpin politik.

 

Justeru, jika terdapat pemimpin-pemimpin yang ditolak pada proses pilihan raya janganlah mudah melatah ataupun tertanya-tanya kenapa boleh tewas pada pilihan raya.

 

Yang berjaya menunaikan tanggungjawabnya dengan baik, calon itu akan dipilih manakala calon yang hanya mementingkan soal peribadi, maka dia tidak akan mendapat tempat dalam hati pengundi.

 

Lewat kebelakangan ini, kredibiliti media arus perdana begitu hebat dipertikaikan. Pihak berkepentingan mendakwa media-media perdana gagal memberikan liputan dan gambaran sebenar terhadap isu-isu tertentu. Malah media-media arus perdana didakwa sebagai alat propaganda kerajaan BN hinggakan kredibiliti media-media tersebut berada di hujung tanduk.

 

Pakatan pembangkang pula melemparkan tuduhan ke atas media-media perdana kerana tidak memberikan ruang atau airspace yang secukupnya kepada aktiviti parti mereka. Kesemua tuduhan yang dibuat oleh pembangkang terhadap media perdana memberi mesej tersirat terhadap peri mustahaknya media-media perdana mengambil pendekatan yang lebih kreatif dalam menarik audiens.

 

Citarasa audiens sekarang adalah berbeza jika dibandingkan dengan sedekad lalu. Audiens kini mahukan kelainan dari segi penyampaian maklumat, sumber yang diperoleh dan isi kandungan cerita yang disiarkan. Maka menyedari hakikat ini, kerajaan perlulah mengambil jalan mendekati media-media alternatif.

                                                                 

Kemunculan laman-laman blog yang tumbuh bagaikan cendawan, penggunaan youtube, facebook dan teknologi terkini seperti sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dan MMS tidak boleh diketepikan lagi malah mereka sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita.  

Mahu tak mahu, sudah sampai masanya pihak pemerintah mendekati pengamal-pengamal media tersebut dan membuat engagement secara cermat.  Sebarang cubaan untuk menafikan apatah lagi mengetepikan peranan mereka hanya akan berakhir dengan kekecewaan.

 

Capaian hits yang begitu tinggi dan kebebasan untuk memaparkan topik-topik kegemaran mereka menjadikan laman blog sebagai wadah utama untuk satu tempoh masa yang panjang.

 

Janganlah ulangi kesilapan dalam kempen PRU 12 apabila BN gagal memanfaatkan kemudahan media baru dalam menyampaikan informasi walhal sumber itulah yang menjadi tatapan ramai pembaca.

 

Pengamal media arus perdana tidak perlu gentar dengan kehadiran pesaing baru ini. Sebaliknya, jadikan kehadiran media alternatif sebagai batu loncatan untuk memperbaiki mutu, gaya dan isi kandungan cerita yang ingin disampaikan.

 

Kita tidak nafikan setiap suratkhabar dimiliki oleh parti-parti politik tertentu, masing-masing mempunyai agenda-agenda tertentu yang perlu ditunaikan tetapi apa salahnya penyampaian dan intipati cerita seboleh-bolehnya biarlah bersifat terbuka dan seimbang.

 

Lebih penting lagi, sajian berita yang disampaikan seharusnya mengajak pembaca untuk berfikir secara kritis dan bukannya mengajak pembaca untuk membentuk satu pendapat berat sebelah terhadap isu berbangkit.

 

 

Tuan Yang Dipertua,

B) KEGAWATAN EKONOMI - KEPERLUAN TANGANINYA DENGAN TUNTAS

 

Kegawatan ekonomi yang melanda dunia ketika ini tidak menampakkan tanda-tanda akan pulih. Kesannya sudah mula dirasai secara global. Amerika Syarikat, Britain dan Jerman baru-baru ini telah mengisytiharkan secara rasminya bahawa mereka dilanda kemelesetan ekonomi.

 

          Statistik ekonomi dunia yang dikeluarkan  baru-baru ini mendapati, bahawa kadar pengangguran di AS telah meningkat dari 7.2% kepada 7.6% ataupun sebanyak 2.6 juta pekerja telah diberhentikan kerja sepanjang 2008, dan daripada jumlah tersebut, 1.9 juta pekerja telah diberhentikan dalam tempoh empat bulan lalu.

 

Di China pula, keadaan juga tidak banyak bezanya.  Kadar pertumbuhan ekonomi negara itu dijangka tumbuh lebih perlahan tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sehingga Januari 2009 yang lalu, kadar pengangguran di China telah meningkat sebanyak 5%.

 

Jumlah ini adalah bersamaan dengan 26 juta pekerja telah kehilangan sumber pekerjaan mereka. Kadar eksport China ke luar negara telah menunjukkan penurunan yang cukup mendadak iaitu sebanyak 43.1% dalam tempoh yang sama berbanding tahun sebelumnya.

 

          Sekalipun kesan daripada kemelesetan ekonomi global terhadap ekonomi negara tidaklah seburuk berbanding negara-negara lain, namun sudah terdapat tanda-tanda bahawa kemelut ekonomi akan berlarutan dan dijangka menjadi lebih buruk dalam tempoh terdekat.

         

          Perangkaan yang dikeluarkan oleh institusi kewangan dan akademik menganggarkan, kadar pengangguran negara akan meningkat kepada 6% tahun ini daripada 4.5% tahun sebelumnya. Ini bermakna, seramai 600,000 orang dijangka kehilangan kerja pada 2009.

 

Kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) juga dijangka merosot kepada 1.1% pada 2009 berbanding 4.9% pada November 2008. Beberapa syarikat konglomerat termuka dunia seperti Western Digital dan Intel telah mengumumkan penutupan kilang dan penempatan semula pekerja-pekerja mereka ke lokasi lain.

 

Semenjak krisis kemelesetan ekonomi global meletus pada suku keempat tahun lalu, pelbagai inisiatif telah diambil oleh kerajaan untuk meminimumkan impak kemelesetan ekonomi kepada Malaysia. Salah satu daripadanya ialah pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib semasa penggulungan bajet 2009.

 

Dalam pakej rangsangan ekonomi tersebut, strategi-strategi telah digariskan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Sebanyak RM 7 bilion telah diperuntukkan untuk disalur kepada pelbagai sektor ekonomi, terutamanya sektor pembinaan.

 

Bagaimanapun, selepas enam bulan pakej tersebut diumumkan, keberkesanannya masih diragui. Timbul laporan bahawa peruntukan yang dicadangkan kerajaan itu tidak sampai ke kumpulan sasar yang ditetapkan.

 

Krisis ekonomi dunia ternyata memberi kesan yang cukup perit kepada golongan yang berpendapatan rendah. Perangkaan terbaru Indeks Harga Pengguna (CPI) menunjukkan peningkatan mendadak.

 

Pada Mac 2008, CPI berada pada paras 2% tetapi angka itu meningkat kepada 8% pada tahun sama sebelum ia menurun sedikit ke paras 4.4% pada Disember 2008.   Pergerakan yang tidak menentu dalam indeks barangan gunaan harian telah mengakibatkan golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah kewangan yang teruk.

 

Di sini, saya ingin mengesyorkan agar kerajaan mempamerkan perincian dan informasi tentang pakej rangsangan ekonomi, pengagihan jumlah perbelanjaan serta impaknya terhadap ekonomi negara.

 

Pakej rangsangan ekonomi kedua yang bakal dibentangkan nanti, perlulah memberi banyak kuasa kepada PEMUDAH dalam memantau mekanisme sesebuah agensi kerajaan. Langkah ini penting bagi mengurangkan prosedur-prosedur yang membazirkan masa selain membendung masalah rasuah dalam agensi-agensi kerajaan.

Dengan berkurangnya kes-kes rasuah dalam agensi kerajaan hasil daripada tindakan PEMUDAH,  perkembangan tersebut mampu mewujudkan suasana berniaga yang kondusif, positif di samping menarik lebih ramai pelabur asing memasuki ke pasaran tempatan.

 

Bagi menjamin pakej rangsangan ekonomi kedua mendatangkan kesan yang semaksimumnya, saya ingin mengesyorkan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan. Antaranya; pakej rangsangan ekonomi perlu proaktif dalam menarik pelaburan asing yang berkualiti, mengutamakan program melatih semula pekerja yang telah dibuang serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

 

Mutakhir ini, Malaysia mempunyai lebih dua juta pekerja asing kebanyakannya bekerja dalam sektor perkilangan, pertanian dan sebagai pembantu rumah, Tetapi dari segi jangka panjang, kebergantungan keterlaluan kepada pekerja asing akan memudaratkan negara. Sepatutnya, kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja asing diisi oleh pekerja tempatan. Dalam apa sekalipun keadaannya, keutamaan harus diberikan kepada pekerja tempatan.

 

Bagi MCA juga, kita tidak ketinggalan dalam mengambil langkah proaktif bagi menghadapi krisis ekonomi dunia terburuk semenjak The Great Depression 1929. Untuk itu, MCA telah menggariskan satu pelan bertindak untuk dilaksanakan dalam tempoh krisis ini. Pelan bertindak yang dimaksudkan itu termasuklah:

(i)                Melancarkan kempen membeli barangan buatan Malaysia,

(ii)               Meningkatkan bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME),

(iii)         Kempen menarik pelaburan asing ke Malaysia.

 

Kempen membeli barangan buatan Malaysia bukan sahaja dapat membantu peniaga tempatan untuk mengekalkan perniagaan mereka, malahan pengguna dapat menjimatkan wang mereka kerana barangan buatan Malaysia terbukti lebih berkualiti dan harganya juga murah.

 

Seperti mana yang semua sedia maklum, Industri kecil dan Sederhana (IKS) merupakan penjana utama ekonomi negara. Sehubungan itu, MCA ingin membantu kumpulan peniaga kecil dengan memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang terlibat.

 

MCA menyarankan kepada Bank Negara dan Bank-bank tempatan untuk mengambil langkah drastik dalam meluluskan dan membiayai peniaga peniaga yang berpotensi dalam IKS.

 

Pada masa yang sama,  MCA juga menyarankan bahawa dalam kegawatan ekonomi ini, kadar faedah yang dikenakan terhadap pinjaman kredit mikro dapat diturunkan daripada 18% setahun kepada 4 atau 5% setahun. 

 

Bantuan daripada Bank Negara dan bank-bank tempatan adalah amat diperlukan bagi membantu perniaga kecil dalam menghadapi masalah kekurangan modal pusingan.

 

MCA juga mengambil langkah proaktif dalam menarik kehadiran pelabur asing ke Malaysia. Pertengahan Januari lalu, delegasi MCA yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat telah mengadakan rombongan ke China.

 

Lawatan selama seminggu itu antara lain bertujuan untuk mencari peluang-peluang ekonomi selain memantapkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

 

Dalam pertemuan antara peniaga-peniaga tempatan dengan peniaga China, para peniaga China menyatakan minat mereka untuk melabur secara aktif dalam koridor ekonomi terutamanya di  Iskandar Malaysia.

 

 

 

 

Tuan Yang Dipertua,

Krisis ekonomi global yang mencabar ini menuntut pendekatan yang progresif.  Justeru, saranan tokoh perbankan terkemuka negara, Datuk Seri Nazir Razak baru-baru ini yang mengesyorkan beberapa strategi penting untuk menangani krisis ekonomi ini, wajar diberikan perhatian.

 

Dalam saranan itu, beliau yang juga Ketua Eksekutif CIMB mengesyorkan lima strategi utama yang dilihat mampu membantu kerajaan mengatasi impak krisis ekonomi global terhadap negara. Lima strategi yang dimaksudkan itu merangkumi:

 

i)             mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB),

ii)            memanfaatkan hubungan strategik dengan kuasa-kuasa ekonomi dunia iaitu China, India dan rantau Asia Barat,

iii)           menggalakkan semangat kerjasama antara ahli akademik, peniaga dan kakitangan awam dalam melaksanakan pembangunan nasional,

iv)           kerajaan beri perhatian kepada usaha pemilikan jenama dan keupayaan rangkaian pengagihan,

v)            menggalakkan warga Malaysia di luar negara untuk kembali bekerja di Malaysia khususnya dalam sektor pendidikan,

 

Tuan Yang Dipertua,

 

DEB telah dipraktikkan lebih 40 tahun lalu dan sepanjang pelaksanaannya, ramai penduduk yang telah menikmati manfaatnya. Namun ketidakpuasan hati terhadap DEB lebih tertumpu kepada cara pelaksanaannya.

 

Cara pelaksanaannya nampaknya telah disalahgunakan. Ada yang mendakwa DEB ini hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja. Yang kaya menjadi semakin kaya, yang miskin semakin miskin.

 

Dasar Ekonomi Baru haruslah ditinjau semula untuk mengutamakan keperluan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan merapatkan jurang taraf pendapatan, tanpa mengira kaum. Kemunculan Hindraf pada Ogos 2007, telah membuktikan hak asasi kaum India telah diabaikan.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Cabaran yang mendepani negara kita akibat krisis ekonomi global ini adalah cukup besar. Maka segala aktiviti politicking yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini perlulah dihentikan segera.

 

Para pemimpin dari kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Negeri perlulah memberikan tumpuan sepenuh mereka dalam memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan bersama.    Para pemimpin negara perlu menyedari bahawa tumpuan utama rakyat Malaysia sekarang ialah aspek ekonomi dan bukannya politik. 

 

Hakikat bahawa agenda ekonomi menjadi keutamaan ialah kerana tanpa sebuah ekonomi yang kukuh lagi berdaya-saing, kelangsungan/survival rakyat bakal tergugat. Apabila survival rakyat tergugat, ia boleh mengundang kepada permasalahan sosial yang lain.

 

Tuan Yang Dipertua,

C)  SISTEM PENYAMPAIAN KERAJAAN: MASALAH DAN

      HALATUJU

 

Berikutan dengan keputusan PRU 12 pada 8 Mac 2008 yang di luar jangkaan ramai pihak, BN perlu meneliti dan mengkaji semula beberapa isu penting yang dilihat sebagai punca kepada penolakan rakyat terhadapnya. Antara pemangkin utama kepada penolakan ini ialah kelemahan sistem penyampaian di semua peringkat baik di kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan.

 

Dengan adanya sebuah sistem penyampaian yang mantap, ia dapat memastikan kerajaan dapat berfungsi secara efektif lagi efisien. Banyak isu telah dibangkitkan semasa PRU 12 sebenarnya banyak berkait rapat dengan keadaan sistem penyampaian.

 

Isu yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

1.    Korupsi

          Rakyat mengalu-alukan inisiatif kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM) yang telah diluluskan pada 16 Disember 2008 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) 1982 yang berkuatkuasa secara rasminya pada 1 Januari 2009 yang lalu. Menerusi langkah itu, ia sepatutnya memberikan lebih banyak kuasa kepada SPRM untuk “menyiasat dan menghukum pihak yang terbabit.”

 

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu merupakan satu inisiatif murni oleh pihak kerajaan namun masih terdapat ruang pembaikian yang boleh dipertingkatkan.

 

Bagi memastikan suruhanjaya itu dapat menjalankan fungsinya secara berkesan, seharusnya perlu ada mekanisme check and balance yang mencukupi bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawabnya tanpa campur tangan mana-mana pihak.

 

Oleh itu, saya mengesyorkan agar Jawatankuasa Khas untuk Rasuah di bawah Seksyen 15 dalam akta terbabit dipinda bagi memberikan kuasa untuk meminta laporan kes-kes daripada suruhanjaya terbabit dan/atau pihak pendakwaraya terhadap kes-kes yang mana siasatan telah dihentikan atau hukuman tidak dilaksanakan serta mempunyai kapasiti untuk meninjau kembali kes-kes tersebut bila dan mana keadaan memerlukan.

 

Di bawah seksyen 59 akta itu, Suruhanjaya itu tidak boleh menghukum suspek-suspek dengan kehadiran pihak pendakwa raya. Bagi memastikan SPRM mampu melaksanakan tugasnya dengan efektif, maka

 

saya mencadangkan agar SPRM diberi kuasa untuk menghukum suspek-suspek.

            Ketika ini, Ketua Pesuruhjaya di bawah Seksyen 7 akta berkenaan dilantik oleh Yang DiPertuan Agung berdasarkan kepada nasihat dari Perdana Menteri. Beliau akan menjawat jawatan tersebut atas budi bicara Agung namun tertakluk kepada nasihat oleh PM.

 

Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan supaya Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Agung berdasarkan kepada nasihat dari Kabinet bagi menjamin kebebasan SPRM. Dan calon-calon yang berpotensi boleh dipilih dari kalangan mereka yang berkhidmat di sektor awam atau swasta.

 

Malaysia ketika ini menghuni tangga ke-43 dari segi kedudukan Indeks Persepsi Rasuah 2007 dan dengan lulusnya Rang Undang-Undang SPRM 2008, adalah menjadi harapan saya kadar kes rasuah di semua sektor khususnya dalam perkhidmatan awam dapat dikurangkan sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan.

 

Tuan Yang Dipertua,

2.    Ketelusan

          Kurangnya ketelusan dalam sistem penyampaian kerajaan dan pelaksanaan dasar-dasar yang kurang konsisten telah mengundang ketidaktentuan dalam negara. Sistem penyampaian kerajaan masih tidak cukup untuk dianggap sebagai telus apabila masalah ini telah mendorong salah guna kuasa oleh para pegawai di pelbagai jabatan ketika menjalankan tugas mereka.       

 

          Lantaran itu, perkembangan tersebut telah mencetuskan suasana yang tidak mesra rakyat yang hanya membebankan rakyat serta mendorong rakyat merasa kecewa. Kekecewaan mereka ada asasnya kerana dasar-dasar yang diperkenalkan adalah baik namun apabila ke peringkat sistem dan pelaksanaannya, ia terhenti begitu sahaja. 

 

Tuan Yang Dipertua,

3.    Birokrasi

          Salah satu lagi masalah terbesar dalam sistem penyampaian kerajaan ialah kerenah birokrasi yang keterlaluan. Birokrasi atau dengan izin, “red tape” merupakan punca utama kepada kelewatan dan pembaziran kerana ia membawa kepada banyak prosedur/proses yang berulang-ulang yang pada akhirnya hanya akan meningkatkan kos untuk melakukan sesuatu.

                   

          Ketiadaan penyelarasan antara kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan termasuk di peringkat negeri dan tempatan telah  membuatkan rakyat marah dan kecewa. Masa dan sumber-sumber dibazirkan begitu sahaja semata-mata tiadanya kecekapan dalam melaksanakan dasar-dasar dan aktiviti yang ditetapkan.

 

          Jadi, saya ingin menggesa kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mewujudkan satu sistem yang pantas, efisien dan mesra yang mana rakyat boleh berinteraksi dengan kerajaan.

 

 Tuan Yang Dipertua,

 

4.    KETEPATAN MASA

          Ketepatan masa amat penting dalam sistem penyampaian kerajaan bagi memastikan keberkesanannya. Ketidakupayaan untuk menepati waktu untuk memproses sesuatu permohonan atau perkhidmatan kepada rakyat

hanya akan menyebabkan rakyat terus marah dan terus dilabel sebagai kurang cekap.

 

          Ketidakcekapan ini juga mendorong kepada pembaziran. Sebagai contohnya,  perubahan terbaru dalam sistem penyampaian kerajaan dalam memperbaharui paspot telah mencetuskan imej positif di mata rakyat.

         

          Oleh yang demikian, kerajaan mesti terus memberikan arahan yang jelas kepada kementerian, jabatan-jabatan kerajaan termasuk mereka di peringkat negeri dan tempatan untuk bekerja secara efektif.

 

Tuan Yang Dipertua,

5. JENAYAH DAN KESELAMATAN RAKYAT

Kadar jenayah yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.  Perangkaan terbaru yang dikeluarkan menunjukkan, indeks jenayah telah meningkat sebanyak 13.3% dari 2006 hingga 2007 sungguhpun usaha-usaha proaktif oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk membanterasnya.

 

Dijangkakan kadar jenayah ini akan terus meningkat tahun ini ekoran kemelut ekonomi dunia. Lantas, perkembangan tersebut telah mencetuskan ketakutan dan tertanya-tanya di fikiran rakyat, selamatkah lagi keselamatan mereka di tempat awam?

 

Usaha memerangi jenayah adalah tanggungjawab kita bersama dan oleh itu, saya ingin mencadangkan agar kerajaan melakukan perkara-perkara berikut:

i)             merekrut seramai 60,000 anggota polis menjelang 2012 dan mewujudkan pusat-pusat dan balai polis sejajar dengan peningkatan populasi di negara ini,

 

ii)            menimbangkan kemungkinan melantik rakyat awam untuk tugasan pentadbiran di  balai polis sekali gus membolehkan kakitangan polis melaksanakan tugas utama mereka,

 

iii)           memperuntukkan dana sebanyak RM75 juta untuk pembelian kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sarang jenayah seluruh negara,

 

iv)           mewujudkan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC) atau Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) bagi meningkatkan accountability di mata rakyat.

  

Tuan Yang Dipertua,

           6.    PENDIDIKAN CINA

          Sememangnya, sekolah vernakular merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang dikuatkuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

 

Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah vernakular kini menghadapi masalah khasnya membabitkan kerja-kerja pemeliharaan bangunan sekolah dan kekurangan ruangan sekolah ekoran kekurangan dana yang diberikan.

 

Secara tidak langsung, ini mengakibatkan lembaga pengurus sekolah vernakular terpaksa memungut derma dengan menganjurkan kempen jogathon, hari kantin dan sebagainya daripada sektor persendirian dan para ibu bapa bagi menampung kos membaikpulih dan usaha memperbesar bangunan sekolah.

 

Sesungguhnya, kekurangan sumber kewangan daripada kerajaan amat membebankan sekolah-sekolah tadi. Oleh sebab itu, kami ingin menyeru kepada kerajaan supaya mempraktikkan pengagihan sumber-sumber kewangan kepada sekolah secara saksama tanpa mengira jenis sekolah, bangsa pelajar dan lokasi institusi terbabit.

 

          Kajian semula terhadap dasar ini amat diperlukan dalam usaha membantu hasrat kerajaan merealisasikan suasana pembelajaran yang lebih ideal lagi kondusif bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.

 

Sejajar dengan itu, kerajaan perlulah peka dan bertanggungjawab dalam memastikan peruntukan kewangan yang disediakan mencukupi kepada sekolah vernakular bagi menampung kos-kos pemeliharaan dan pembangunan sekolah.

 

Selain daripada masalah tadi, yang dialami, saban tahun terdapat juga laporan yang mendedahkan kes pemohon Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang memohon kursus pilihan mereka tetapi sebaliknya ditawarkan dengan kursus lain ataupun, lebih malang lagi ditolak langsung oleh pihak berkenaan walaupun memiliki keputusan dan pencapaian yang cemerlang.

 

          Bagi memastikan insiden sedemikian tidak berulang kembali, kami mendesak supaya sistem meritokrasi dilaksanakan dalam menentukan kemasukan pelajaran ke IPTA.

 

Hanya melalui sistem meritokrasilah, kami dapat menentukan sesiapa yang memperolehi tempat di IPTA adalah mereka yang benar-benar berkelayakan dan berkeupayaan.

 

Konsep kesamarataan ini yang tidak berpaksikan kepada mana-mana pihak akan melahirkan anak bangsa Malaysia yang berbakat tinggi demi pembangunan dan kemajuan negara.

 

Dalam pada itu, perdebatan mengenai penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matapelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) terus hangat diperkatakan oleh semua pihak sejak kebelakangan ini.

 

Bagi parti MCA sendiri, kami telah membuat ketetapan dalam isu tersebut. Di peringkat sekolah rendah, MCA mahukan agar bahasa ibunda digunakan. Pendirian ini diambil memandangkan kebanyakan pelajar di sekolah rendah masih menghadapi kesukaran memahami subjek Sains dan Matematik apabila diajar dalam BI ekoran kurangnya pendedahan terhadap bahasa antarabangsa itu.

 

 

Apa pun, MCA merasakan penggunaan Bahasa Inggeris boleh dimulakan di peringkat sekolah menengah atau peringkat yang lebih tinggi. Ini kerana kebanyakan terma-terma Sains dan Matematik dalam buku-buku akademik adalah dalam Bahasa Inggeris dan adalah mudah buat pelajar-pelajar untuk menyesuaikan diri dengan bahasa berkenaan.

 

Dengan pendedahan Bahasa Inggeris kepada para pelajar di peringkat ini, ia bukan sahaja memberikan kelebihan kepada para pelajar tempatan untuk bersaing dengan pelajar-pelajar antarabangsa bahkan juga memperkukuh asas penguasaan mereka apabila menjejakkan kaki ke menara gading nanti.

 

 

Kesimpulan

 

          Apapun, sebarang tanggapan serong pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan tidak serius dalam menangani masalah rakyat yang disebutkan tadi boleh ditangkis jika wujudnya kesungguhan politik dan kesediaan untuk berubah.

 

          Mengambil kira landskap politik negara, mahu tidak mahu BN perlu berubah bukan sahaja dari segi cara mereka melihat sesuatu krisis bahkan juga dari segi penafsiran dan cara-cara untuk mengatasinya. 

 

Kerajaan misalnya boleh memulakan agenda perubahan ini dengan melaksanakan pembaharuan dalam sistem berkerajaan . Menerusi agenda perubahan itu, kerajaan perlulah telus ketika menjalankan urusan perniagaan terutamanya yang melibatkan konsesi dan tender-tender yang dirunding. Selain itu, pemantauan juga perlu dilakukan ke atas dana-dana yang digunakan kerajaan bagi memastikan ia tidak disalahguna.

 

Justeru, marilah kita sama-sama berganding bahu membantu kerajaan dalam mengharungi detik-detik getir dalam suasana politik yang tidak menentu ini. Bak kata pepatah yang berbunyi: Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh.’’

 

Atas keyakinan itu, saya mohon menyokong.

-MCA online-

 

 

 

 

 

 

 

MALAYSIAN CHINESE ASSOCIATION HEADQUARTERS
8th Floor, Wisma MCA, 163, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia. Tel: (603)-21618044 Fax: (603)-21619772
Copyright @2007 Malaysian Chinese Association. All Rights Reserved.