Siapa yang menyangka satu soalan tinjauan pendapat biasa yang dipaparkan dalam laman blog seorang pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) boleh mencetuskan kontroversi dan bual mulut media-media massa.
Soalan tinjauan pendapat yang berbunyi “Wajarkah MCA keluar dari BN” yang disiarkan dalam laman blog Presiden MCA, Dato’ Sri Ong Tee Keat sejak 27 Ogos 2008 lalu telah mencetus reaksi dan pandangan yang berbeza-beza dari pihak-pihak tertentu.
Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Karpal Singh memulakan perang mulut dengan menggesa Presiden MCA untuk akur dengan keputusan tinjauan pendapat tersebut sambil meminta MCA untuk keluar dari BN.
Selang beberapa hari kemudiannya, seorang pemimpin parti komponen pula menyifatkan tindakan Tee Keat menyiarkan soalan berkenaan sebagai satu strategi untuk mengugut BN dan mendapatkan milleage kepada MCA.
Sehari selepas itu, sebuah akhbar perdana berbahasa Melayu dalam ruangan pojoknya pula mempersoalkan niat sebenar parti MCA di sebalik penerbitan soalan tinjauan pendapat itu.
Di sebalik kesemua kritikan dan pandangan tadi, apa yang cukup menghairankan malah membuatkan saya sebagai seorang rakyat Malaysia biasa cukup tersentak ialah mengapakah ada pemimpin dan pihak berkepentingan cuba membuat andaian-andaian yang terlalu premature?
Siapa kata MCA akan keluar dari BN? Adakah suara sumbang ini datangnya dari para pemimpin parti sendiri? Jawapannya ialah TIDAK! Malah, barisan kepemimpinan tertinggi parti tidak pernah membincangkan langsung isu ini dalam mesyuarat mereka.
Sebaliknya, barisan kepemimpinan parti di bawah teraju Dato’ Sri Ong Tee Keat kini sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangkan kembali hati pengundi-pengundi Cina.
Sudah berkali-kali Presiden Parti menyeru kepada ahli-ahli dan pemimpinnya untuk terus memperkukuhkan perpaduan dalam memastikan BN terus kuat dalam berhadapan dengan musuh dari pembangkang.
Bagi MCA, tanggungjawab untuk membela nasib rakyat diteruskan seperti biasa tanpa mengira masa, tempat mahupun kulit warna. Ini dibuktikan menerusi arahan yang dikeluarkan oleh Presiden MCA baru-baru ini telah mewajibkan semua Menteri dan Timbalan Menteri MCA untuk turun ke padang dan meninjau sendiri permasalahan yang dihadapi rakyat.
Saranan Tee Keat itu mencerminkan komitmen dan keazaman Ahli Parlimen Pandan untuk memastikan bahawa rakyat yang menghadapi masalah mendapat pembelaan sewajarnya. Menerusi tindakan tersebut juga, ia diharap mampu mengubah persepsi umum kononnya pemimpin-pemimpin MCA terlalu elitis dan hanya turun padang menjelang musim pilihan raya.
Perlu kita ingat bahawa saranan kepada MCA untuk keluar dari BN bukannya datang dari pemimpin atau ahli parti tetapi oleh pemimpin DAP, Karpal Singh sendiri. Berpandukan kepada hakikat tersebut, adalah naïf untuk pemimpin yang dimaksudkan itu cuba mencabar Tee Keat hanya kerana soalan tinjauan pendapatnya.
Sememangnya, taktik provokasi merupakan sebahagian daripada cara yang digunakan pembangkang untuk mencetuskan reaksi dari pihak lawan. Maka kerana itu, apakah wajar untuk pemimpin komponen tadi terbawa-bawa dengan rentak permainan pembangkang? Reaksi negatif inilah yang ingin dilihat oleh pembangkang bagi mencetuskan huru-hara dalam BN. Maka, saya percaya kita jangan terpedaya dengan taktik mereka.
Apa yang dikatakan oleh Pengerusi DAP itu umumnya tidak lebih daripada cuba untuk mengalihkan perhatian media tempatan dan pihak musuh terhadap masalah dalaman yang melanda Pakatan Rakyat. Lebih setahun selepas PR diinstitusikan secara rasmi, sudah begitu banyak konflik dalaman yang menimpa pakatan itu.
Kini, bukan satu tetapi beberapa buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang dilanda masalah seperti soal integriti pemimpin dan korupsi. Krisis dalaman PR berterusan apabila hubungan antara Pas dan rakan-rakannya dalam PR mulai tegang gara-gara kerana isu kerajaan perpaduan.
Sewajarnya kita berfikiran terbuka dalam menilai isu yang dibangkitkan di sini. Jumlah responden yang mengambil bahagian dalam tinjauan pendapat hanyalah berjumlah 2,409 orang. Angka ini tidak boleh dijadikan sebagai satu indikator jelas bahawa masyarakat Cina secara keseluruhannya telah menolak MCA.
Malaysia mempunyai kira-kira 6 juta masyarakat Cina ketika ini (24%) dan penulis yakin bukan semua masyarakat Cina berkongsi sentimen serupa seperti yang ditunjukkan dalam tinjauan pendapat terbabit. Bagi merungkaikan kesahihan kritikan itu, kita perlu tahu siapakah golongan yang mengambil bahagian, usia mereka dan apakah idealisme mereka?
Sekadar melontarkan kritikan tanpa mengambil kira aspek-aspek tadi adalah kurang bijak dan tidak kena pada masanya. Aspek ini amat subjektif untuk dibahaskan. Dan jikalau benar bahawa golongan yang memgambil bahagian dalam tinjauan pendapat itu terdiri daripada generasi muda, maka ia adalah cabaran yang cukup besar yang perlu dipikul untuk membetulkan kembali trend negatif berkenaan.
Hakikatnya, tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat Cina kepada MCA dan BN tidak harus diletakkan pada bahu MCA semata-mata. Sebaliknya, semua parti komponen BN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif.
Kita bergerak dalam sebuah gagasan besar yang berkongsi satu visi dan matlamat untuk membela nasib rakyat. Pendek kata, kita harus bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, memiliki command yang seragam dan gerakan yang tersusun, bukannya memisahkan peranan yang harus dimainkan oleh sesebuah parti.
Cuba ambil analogi berikut sebagai contohnya. Misalnya, salah seorang daripada anak dalam keluarga kita menghadapi masalah emosi dan memerlukan sokongan, adakah hanya kaum ibu sahaja yang harus dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah anaknya? Bukankah ayah yang berperanan sebagai ketua keluarga juga harus memainkan peranannya?
Dalam perkembangan yang sama, agak pelik juga mengapakah isu ini hanya ditimbulkan beberapa hari yang lalu sedangkan soalan tinjauan pendapat dalam laman blog Presiden MCA sudah dipaparkan hampir setahun lalu? Apakah pihak-pihak yang membuat kritikan kepadanya tidak sedar bahawa soalan tersebut sudah pun dipaparkan sebelum ini?
Bagaimanakah kita mentakrifkan maksud ugut seperti yang dinyatakan oleh seorang pemimpin BN yang mencabar Tee Keat tempoh hari? Kamus Dewan (Edisi Keempat) mentakrifkan ugut sebagai satu perbuatan untuk menakut-nakutkan atau mengancam seseorang/pihak agar melakukan sesuatu yang disuruhnya.
Persoalannya di sini, adakah tindakan memaparkan soalan tinjauan pendapat dalam laman blog juga merupakan satu kesalahan dan dilihat sebagai mengugut BN? Dari mana datangnya persepsi bahawa Tee Keat sebenarnya sedang mengugut BN? Berpandukan kepada definisi di atas, jelas tidak timbul bahawa Presiden MCA melakukan ugutan.
Lagipun, tinjauan pendapat yang dibuat selepas keputusan PRU 2008 merupakan platform terbaik bagi mengenal pasti sentimen majoriti mengenai isu-isu yang hangat dibincangkan ketika itu.
Pada hemat saya, jika sesebuah parti politik mahu terus ke depan dan relevan di mata rakyat, pandangan umum mengenai isu-isu berbangkit tidak harus diabaikan atau disapu ke bawah permaidani walaupun ada ketikanya isu yang dibangkitkan mungkin tidak popular atau kurang disenangi pihak-pihak tertentu.
Justeru, usaha menganjurkan tinjauan-tinjauan pendapat seharusnya dialu-alukan kerana menerusi sentimen-sentimen yang ditunjukkan dalam tinjauan itu akan dapat memberi gambaran sebenar malah maklum balas berharga kepada parti-parti politik seperti MCA dalam membantu pucuk kepemimpinan parti dalam proses pembuat keputusan mereka. Lebih penting lagi, ia boleh dijadikan iktibar untuk memperbaiki diri seterusnya memantapkan kedudukan parti itu dalam gagasan yang disertainya.
Berkenaan dengan dakwaan bahawa Tee Keat cuba menjadi juara kaum Cina baru-baru ini, beliau tidak pernah bercakap yang dirinya mahu menjadi jaguh kaumnya sendiri. Tetapi kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin komponen tadi. Itu adalah persepsi pemimpin berkenaan.
Sepanjang kerjaya politiknya, Presiden MCA tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya dalam membela nasib semua rakyat tanpa mengira kaum. Ini dapat dibuktikan menerusi sokongan yang diberikan oleh masyarakat berbilang kaum kepada beliau pada setiap kali beliau bertanding di kawasan Parlimennya, Ampang (dulu) dan Pandan (sekarang).
Apabila turun ke padang, beliau juga turut prihatin dengan kebajikan masyarakat Melayu dan India. Agenda membela nasib rakyat tanpa mengira kaum merupakan sesuatu yang dituntut bahkan ia adalah selaras dengan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.
Isu MCA keluar dari BN sebenarnya tidak berbangkit. YAB Perdana Menteri sendiri sudah mengatakan bahawa keputusan tinjauan pendapat dalam laman blog Presiden MCA itu adalah untuk tujuan akademik semata-mata. Malah Perdana Menteri yakin bahawa MCA akan kekal bersama dengan BN dalam mengharungi detik sukar dan senang.
Selama 52 tahun bersama dengan UMNO dan MIC, MCA tidak pernah meninggalkan rakan-rakan partinya lain dalam mengharungi cabaran-cabaran sukar. Sebaliknya, MCA terus kekal bersama dengan rakan-rakannya. Harus diingat MCA adalah pengasas bersama Parti Perikatan bersama-sama dengan UMNO dan MIC.
Oleh yang demikian, janganlah terlalu sensitif sebegini rupa terhadap soalan tinjauan pendapat yang dipaparkan dalam laman blog. Sudah tiba masanya para pemimpin dan rakyat kita berfikiran rasional lagi terbuka dalam menilai maksud sebenar tinjauan pendapat tadi.
Para pemimpin MCA tidak pernah mengatakan mereka akan keluar dari BN tetapi telah bertekad untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam BN untuk memastikan sokongan masyarakat Cina kembali kepada BN. Sudah tiba masanya politiking yang semakin jadi-jadi dihentikan segera dan tumpukan segala perhatian kepada agenda membela kebajikan rakyat.
BELIA TIONGHUA YANG PRIHATIN
Kuala Lumpur