SEBARANG cadangan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghadkan bilangan penyokong yang mengiringi calon ke pusat penamaan calon semasa hari penamaan calon adalah tidak praktikal dan bukanlah cara terbaik untuk mengatasi insiden membaling botol air dan batu seperti yang disaksikan pada hari penamaan calon di Ijok, pertengahan minggu lalu.
Ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Ketua Pemuda MCA, Dato’ Liow Tiong Lai berkata, usaha untuk mengawal pergerakan kumpulan penyokong dari kedua-dua parti bukan tugas mudah kerana jumlah penyokong yang ingin datang pada hari penamaan calon banyak bergantung kepada kehendak penyokong itu sendiri.
“Bagaimana kita boleh mengawal bilangan penyokong yang mahu datang untuk memberikan sokongan jika itu adalah kehendak mereka?
“Memanglah cadangan oleh SPR itu mampu memendekkan dan mempercepatkan proses penamaan calon, namun saya fikir ia bukan satu cadangan yang praktikal,’’ katanya di sini.
Tiong Lai berkata demikian sebagai mengulas kepada cadangan SPR agar bilangan penyokong yang boleh mengiringi calon pada hari penamaan calon dihadkan sebagai satu cara untuk mengelakkan insiden pergaduhan seperti yang berlaku di Ijok daripada berulang kembali.
Insiden melontar botol air dan batu di Ijok merupakan insiden pertembungan kedua membabitkan penyokong kumpulan parti pembangkang dan Barisan Nasional. Dalam insiden pertama pada pilihan raya kecil DUN Machap hampir dua minggu lalu, dua penyokong DAP cedera selepas didakwa dipukul oleh penyokong parti pemerintah.
Insiden pertembungan yang berlaku di Ijok, kata Tiong Lai, boleh dielakkan jika pihak SPR dapat mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi kumpulan penyokong dari kedua-dua pihak untuk berkumpul.
SPR, tegas beliau, sepatutnya melakukan pengasingan kawasan untuk kedua-dua penyokong berkumpul namun di Ijok, langkah ini tidak diambil.
“Tindakan melontar botol air dan batu oleh parti pembangkang jelas satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan ia patut dikutuk dengan sekeras-kerasnya.
“Dalam suasana demokrasi dan sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun, rakyat diberikan kebebasan untuk menyuarakan pendapat mereka, Justeru, tidak perlulah sampai nak bergaduh,’’ ujarnya lagi. – MCA Online -