DEMAM pilihan raya kecil nampaknya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Dalam keghairahan meramalkan tarikh sebenar pilihan raya umum ke-12 akan datang, diam tak diam, kita sudah pun mengharungi lima pilihan raya kecil.
Bermula dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang pada 28 Ogos 2004, kemudian disusuli pula pilihan raya DUN Pangkalan Pasir pada Disember 2005 sehinggalah ke pilihan raya DUN Batu Talam dan Machap tahun ini.
Awal bulan ini pula, Ijok menjadi destinasi kelima yang akan menyaksikan pilihan raya kecil berikutan kematian wakil rakyatnya yang juga anggota Exco Selangor, Datuk K. Sivalingam pada 4 April lepas akibat serangan sakit jantung.
Jika minggu lalu, Machap menjadi tumpuan utama para pemimpin kerajaan dan pembangkang kerana berlangsungnya pilihan raya kecil di sana, pekan Ijok di Kuala Selangor pula menerima tempiasnya, hari ini.
Tepat pukul 9 pagi ini, akan berlangsunglah proses penamaan calon untuk pilihan raya DUN Ijok. Saingan kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, K. Parthiban akan berentap dengan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta dua calon Bebas, K. Logandan dan Ali Mohamad.
Pada kertas, anak jati Kuala Selangor ini dilihat memiliki kelebihan berbanding Parthiban jika mengambil kira dari segi pengalaman dan kerjaya yang diceburinya sebelum ini.
Khalid pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) selama 15 tahun (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003.
Selain dua jawatan berprofil tinggi yang disandangnya, beliau juga pernah dipilih sebagai ahli kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan fellow di Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).
Begitu pun, kredibiliti dan kemampuan Parthiban juga tidak boleh dipandang remeh begitu sahaja. Dari segi pengalaman, Parthiban mungkin tidak setanding Khalid, namun mengambil kira faktor usia, Parthiban dilihat mempunyai kelebihan dari aspek ini. Sering kali, orang muda dilihat mempunyai idea yang menarik dan stail kepimpinan yang dinamik.
Dan inilah kepimpinan yang dimahukan oleh penduduk Ijok, seorang pemimpin muda yang mampu membawa perubahan bukan sahaja dari segi pembangunan sekitarnya bahkan juga mentaliti penduduk dalam menghadapi cabaran globalisasi.
Penglibatan aktif Pathiban sebagai Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor, Presiden Majlis Gabungan Persatuan-Persatuan Belia Daerah Kuala Selangor, Pengerusi Rukun Tetangga Raja Musa dan Setiausaha Persatuan Pelajar Sri Bakti di samping kemampuannya bertutur fasih dalam bahasa Melayu membuktikan beliau mampu menggalas harapan yang disandarkan oleh penduduk Ijok kepadanya. Selain itu, kelebihan juga memihak kepada Parthiban kerana memiliki jentera pilihan raya yang efektif ditambah pula dengan sokongan utuh parti komponen BN yang lain.
Bagaimanapun, fokus utama pada prosiding pagi ini di Ijok sudah tentulah kepada perjalanan proses penamaan calon itu sendiri. Semuanya gara-gara kerana dua penyokong DAP dari Seremban yang didakwa dipukul oleh sekumpulan penyokong MIC kerana mengejek nama Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu di luar pusat penamaan calon di Kompleks Japerun Bukit Bulat, Machap, baru-baru ini.
Sesungguhnya, insiden pergaduhan berkenaan cukup mengaibkan kerana ia membabitkan penyokong parti kerajaan dan pembangkang. Soal siapa yang bersalah dalam insiden ini bukanlah isu pokoknya tetapi mengapa ia terjadi? Kini, tertanya-tanya di fikiran semua, apakah motif di sebalik serangan tersebut? Adakah dilakukan kerana provokasi dari pihak satu lagi?
Persoalannya, apakah insiden sedemikian rupa akan berulang lagi di Ijok? Mampukah kumpulan penyokong dari kedua-dua belah pihak mengawal perasaan dan tidak mencetuskan insiden yang tidak diingini?
Barangkali, saranan yang diberikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar insiden pergaduhan yang berlaku di Machap baru-baru ini tidak meletus lagi di Ijok, wajar dijadikan iktibar. Ada sebabnya mengapa beliau memberikan nasihat itu.
Pilihan raya DUN yang akan berlangsung di Ijok pada 28 April ini, menurut Rashid hanyalah satu acara kecil dan oleh sebab itu, tidak perlu untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Kata Rashid, setiap penyokong tidak kira dari parti kerajaan mahupun pembangkang sepatutnya tahu mengawal diri mereka.
“Apa yang berlaku di Machap tempoh hari berpunca daripada kegagalan pihak-pihak tertentu untuk mengawal percakapan mereka. Amalan memaki hamun orang lain bukanlah budaya kita, itu sebenarnya budaya samseng,’’ katanya pada satu sidang akhbar selepas melancarkan kempen Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Umum maklum bahawa pergaduhan bukanlah sebahagian daripada amalan budaya masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran yang kita sanjungi selama ini.
Dan dalam konteks pilihan raya sekali pun, ia tidak akan mendapat tempat kerana sebarang pergaduhan hanya mencerminkan bahawa pilihan raya dibayangi dengan unsur intimidasi dan ugutan. Wujudnya intimidasi dan ugutan bermakna pilihan raya tidak dijalankan dalam suasana yang adil lagi terbuka.
Jika berlakunya pergaduhan, pihak manakah yang akan mendapat manfaatnya? Jawapannya sudah tentu, tiada ada. Yang ada hanyalah mereka yang mengalami kecederaan dan kecacatan pada anggota badannya. Tidak kurang juga, ada yang mungkin menaruh dendam terhadap pihak yang memukulnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih 1,000 anggota polis termasuk mereka dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan dikerahkan ke Ijok sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung. Tindakan mengerahkan lebih 1,000 anggota polis untuk bertugas di Ijok diumumkan sendiri oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Ismail Omar hujung minggu lalu.
Sempena berlangsungnya hari penamaan calon pagi ini, adalah diharapkan kumpulan penyokong dari kedua-dua pihak tidak akan mengambil pendekatan yang provokatif. Bertandinglah dalam semangat setiakawan dan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh SPR.
Untuk pilihan raya kecil kali ini, SPR akan menggunakan senarai daftar pemilih yang mengandungi seramai 12,272 pemilih dan daripada jumlah tersebut, seramai 12,233 merupakan pemilih awam sementara 39 orang lain ialah pemilih pos. Sebanyak 51.04 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, India; 28.16 peratus sementara Cina pula membentuk 20.6 peratus pengundi keseluruhan.
Pada pilihan raya umum 2004 yang lalu, mendiang Sivalingam berjaya mengetepikan saingan sengit dari calon Keadilan, Abdol Raman Moharam dengan kelebihan majoriti sebanyak 1,649 undi. – Markus Lim, MCA Online -