MERUJUK kepada komen yang dibuat oleh saudara Wan Indra Putra Ahmad (dalam ruangan forum Utusan Malaysia dengan tajuknya; Persoal komen Presiden MCA isu undi Cina pada 4 Mei 2007), saya sebagai pemerhati politik dan pembaca Utusan Malaysia
ingin melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap pemikiran individu berkenaan yang saya fikir kurang memahami erti kata sebenar, formula perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini.
Kenyataan Wan Indra mempertikaikan niat Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang didakwa beliau mempunyai agenda tersembunyi perlu diperbetulkan dan diberi gambaran yang sebenarnya.
Bagi saya, kejujuran dan keikhlasan Ka Ting dalam mengakui terdapat perpindahan sokongan masyarakat Cina kepada parti pembangkang merupakan satu tindakan yang wajar diberikan pujian.
Jika Ka Ting tidak bercakap benar sekarang dan BN tidak berwaspada agar sokongan terhadap BN diperkuatkan sebelum pilihan raya umum nanti, Ka Ting akan didakwa mengabaikan tanggungjawab sebagai Presiden MCA yang mewakili masyarakat kaum Cina.
Saya yakin bukan semua pemimpin politik yang berani memberikan gambaran sebegini. Hanya golongan pemimpin yang benar-benar mementingkan kesejahteraan masyarakat Cina dan BN seperti Ka Ting yang berani tampil memberikan gambaran itu.
Komen Ka Ting yang mengatakan sokongan masyarakat Cina kepada BN menurun kerana disebabkan oleh kegagalan wakil rakyat BN terdahulu dalam berkhidmat untuk penduduk Ijok, ialah satu hakikat dan hakikat berkenaan tidak harus dibiarkan begitu sahaja seolah-olah tidak ada masalah yang berlaku. Kita tidak boleh membiarkan masalah itu menjadi terlalu besar hingga akhirnya ia memudaratkan komponen BN.
Adalah tidak benar jika saudara Wan Indra mengatakan Ka Ting seolah-olah cuba menjadi wira dan memindahkan masalah itu kepada pihak lain. Ka Ting hanya menyatakan apa yang benar dan apakah itu juga tidak betul ?
Jika diberi pilihan, Ka Ting boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak membangkitkan permasalahan berbangkit tetapi dalam hal ini, atas rasa tanggungjawab dan peka kepada BN, beliau akhirnya membangkitkan isu tersebut. Apakah dengan mengutarakan permasalahan itu juga boleh dikategorikan sebagai taktik untuk menjadi wira kepada masyarakat Cina?
Saudara Wan Indra juga kurang wajar ketika mendesak agar Ka Ting bertanggungjawab terhadap kelemahan yang dihadapi oleh MCA. Sebagai pemimpin tertinggi MCA, sememangnya menjadi tugas beliau untuk memastikan sokongan masyarakat Cina kepada BN terus terjamin.
Tidak ada mana-mana parti politik di dunia yang tidak ada cacat cela dan dalam hal ini, MCA juga tidak terkecuali. Jadi, janganlah terlalu cepat membuat kesimpulannya konon MCA telah gagal meraih sokongan pengundi Cina.
Masyarakat berbilang kaum di negara ini wajar menilai kenyataan sebegini dengan pemikiran yang kritis dan bukannya menerimanya bulat-bulat. Janganlah terjebak dalam permainan ‘ the blame game’ mengenai pihak mana yang harus bertanggungjawab terhadap isu-isu tertentu.
Walaupun sokongan pengundi Cina kepada BN merupakan hal MCA, tetapi itu tidak bermakna masalah tersebut harus diletakkan pada bahu MCA semata-mata.
Menjadi tanggungjawab semua komponen parti dalam BN untuk mengenal pasti faktor disebalik penurunan sokongan masyarakat Cina kepada kerajaan.
Ini kerana, sebarang penurunan undi Cina kepada kerajaan bakal memberikan kesan yang besar kepada kedudukan BN; bukan kepada MCA sahaja.
Pada masa yang sama, mana-mana wakil parti yang memberikan ucapan yang berbau hasutan dan khususnya melibatkan kaum lain, harus bertanggungjawab dengan apa yang dituturkan mereka.
Kita seharusnya peka dan menjaga sensitiviti serta keperluan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ia tidak boleh dibiarkan menjadi satu tabiat kerana ia boleh memberikan kesan negatif kepada perpaduan nasional.
MCA tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kaum Melayu dan UMNO dan inilah telah pun dinyatakan sendiri oleh Ka Ting pada Mesyuarat Agung Tahunan MCA tahun lalu. Baik semasa susah atau senang, MCA tetap berdiri teguh di belakang UMNO dan BN dalam menghadapi gelombang mendatang.
Masyarakat Cina di negara ini sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan kejayaan yang dikecapi di bawah kepimpinan kerajaan BN.
Apa yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa masyarakat Cina merupakan komuniti yang praktikal dan tahu siapa yang harus disokong apabila tiba masanya, amat tepat pada masanya dan ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap sentimen masyarakat Cina.
Dan berdasarkan kepada prinsip inilah, UMNO bersama-sama MCA dan MIC berjaya membentuk sebuah pakatan yang mampu mentadbir Malaysia selama setengah abad.
Tidak terfikirkah anda bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan perkongsian kuasa dan berjaya mengekalkan keharmonian walaupun ia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama?
Sempena sambutan Kemerdekaan negara yang ke-50 pada 31 Ogos ini, ayuh marilah kita sama-sama membuka minda kita dan merenung kembali apakah polemik sedemikian wajar mendapat tempat dalam kancah politik negara?
Bukankah lebih baik jika semua masyarakat di negara ini menggembleng tenaga dan memanfaatkan perpaduan kaum yang menjadi tonggak kekuatan negara dalam membangun dan merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 nanti?
Siow Koi Voon,
Bukit Lemon, Seremban.