Skip to main content
Home
News Center
Membership
President's Desk
About MCA
Party's Agenda
MCA Youth
Wanita MCA
Website Links
Download Zone
Contact Us
  
Sitemap | Bookmark |
Go Search

MCA Senator Khoo Soo Seang Mengucap Usul Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Semasa Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Kedua-belas pada 16 Februari 2009 

 
Email to Friend
 
 

Tuan Yang Dipertua. Jutaan terima kasih saya mengucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang dan ruang untuk saya menyokong usul menjunjung kasih titah Seri Paduka Banginda Yang Di Pertua Agong di dalam Dewan yang mulia ini.

 

Tuan Yang Dipertua. Seluruh dunia sedang menghadapi cabaran ekonomi yang amat kritikal. Negara kita pun tiada imuniti terhadap wabak itu. Setiap negara mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan impak gawat sambil menghidupkan pasaran dan ekonomi negara. Setakat ini kita masih tidak tahu sejauh mana kesan gawat ekonomi itu atas negara kita. Tetapi kerajaan memang sentiasa memantau dengan rapi persekitaran ekonomi global dan mengatur langkah-langkah dan program untuk mengurangkan impak negatif ke atas ekonomi negara; sambil menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk membantu rakyat jelata menghadapi cabaran sengit itu.

 

*** Pelaksanaan secara tulus dan telus

 

Tuan Yang Dipertua. Krisis ekonomi global kali ini tidak dapat diatasi oleh sesebuah negara secara tersendiri. Di peringkat antarabangsa ia perlukan usahasama semua negara, baik negara belum membangun, sedang membangun mahupun yang sudah maju. Di peringkat negara pula, semua rakyat perlu sehati sejiwa untuk menyelamatkan dan menghidupkan ekonomi negara.   Di aspek ini, keyakinan dan sokongan penuh rakyat jelata terhadap usaha kerajaan amat penting. Untuk meyakinkan rakyat jelata tentang keberkesanan program-program penyelamatan demi memperolehi sokongan padu mereka, segala tindakan kerajaan dan cara pelaksanaan mestilah tulus dan telus, mesti tidak mendatangkan keraguan dan ketidakpercayaan dari kalangan rakyat.

 

Tuan Yang Dipertua. Izin saya berikan satu dua contoh perlaksanaan yang mengajak banyak persoalan daripada kalangan rakyat:

  1. Sistem ‘out-sourcing’ pekerja asing yang disalahgunakan oleh syarikat-syarikat ‘out-sourcing’ itu. Mereka import lebih ramai pekerja asing dari yang diperlukan dan mendapat untung lumayan dari komisyen yang dibayar oleh pekerja-pekerja asing itu. Sebaliknya pekerja-pekerja asing itu dieksploitasikan. Pekerja asing yang tiada pekerjaan dan pendapatan terpaksa mencari rezeki secara haram juga. Apabila permit luput tempoh, mereka tidak kemampuan membayar tambang balik ke negara asal dan akhirnya menyumbang kepada bilangan pendatang haram dan masalah jenayah di masyarakat kita.
  2. Kenapa rebet tunai subsidi petrol perlu diuruskan oleh Pos Malaysia dan bukan secara langsung oleh Jabatan Pengangkutan Jalan. Rakyat percaya bahawa sekiranya rebet tersebut diuruskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, jumlah komisyen yang dijimat bukan sedikit.
  3. Awal tahun ini, kerajaan umumkan amnesti bagi pekerja asing yang tidak sah. Di bawah program tersebut, majikan yang rela menghantar balik pekerja asing yang tidak sah atau yang luput tempoh hanya perlu bayar penalti sebanyak RM400 seorang sahaja. Tetapi kononnya urusan tersebut sekali lagi dikontrakkan kepada syarikat-syarikat swasta yang tertentu. Saya terima aduan bahawa syarikat-syarikat yang berkenaan mengenakan caj tambahan kira-kira RM1,500 selain dari penalti RM400 itu. Di Johor Bahru, rupanya tiada pihak yang tahu siapa yang berhak berurusan tersebut dan bagaimana mengurus. Tuan Yang Dipertua, kita sukar nak yakinkan rakyat jelata bahawa sistem pelaksanaan kita telus kerana kita sendiri pun tidak faham kenapa melalui pihak ketiga. Saya percaya sekiranya kerajaan tidak mengambil langkat-langkah pembetulan, niat dan usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan pekerja asing, terutama sekali pekerja asing yang tidak sah itu, akan gagal, kerana kebanyakan majikan akan memilih untuk melepaskan pekerja-pekerja asing tidak sah itu ke ladang atau hutan. Akibatnya pekerja-pekerja asing tidak sah itu akan kembali ke masyarakat, bukan untuk bekerja, tetapi untuk melakukan jenayah sebagai cara menyara hidup. Akibatnya kedudukan keselamatan masyarakat mungkin akan sekali lagi berlampu merah. Mungkin sekali lagi kita perlu tambah bilangan anggota polis.

 

***Levi Berganda ke atas Pekerja Asing

 

Tuan Yang Dipertua. Di zaman kegawatan ekonomi itu, saya menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing untuk memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga negara. Namun demikian, saya tidak yakin bahawa mengenakan levi berganda bagi pekerja-pekerja asing di sektor-sektor yang tertentu adalah langkah yang paling berkesan.

 

Sesungguhnya, pendapatan pekerja asing di negara kita adalah di antara yang paling rendah berbanding dengan di negara-negara jiran kita. Maka, tanpa usaha kerajaan untuk kurangkan bilangan pekerja asing, sektor-sektor yang tertentu pun sudah menghadapi masalah untuk menggaji pekerja asing, dan kualiti dan semangat pekerja asing yang bekerja di negara kita juga amat tidak memuaskan. Kesukaran mencari pekerja yang cukup serta sikap pekerja yang negatif itu mengakibatkan kesan-kesan buruk seperti penurunan produktiviti kilang, pengeluaran yang tidak dapat menepati masa, dan kos pengeluaran yang tinggi. Tetapi para pekilang tidak ada pilihan kerana warga negara tidak mahu mengambil-alih pekerjaan buruh asing itu. Malah Pengumuman cadangan pengenaan levi berganda terhadap semua pekerja asing, kecuali sektor pembinaan, perladangan dan pembantu rumah telah mengundang  lebih suara-suara yang negatif daripada kata-kata pujian. Banyak syarikat pembuatan dan perkhidmatan telah memberikan respon yang tidak memberangsangkan dan mereka telah bercadang untuk menutup kilang pembuatan di Malaysia dan berhijrah ke Vietnam. Syarikat perkhidmatan pula akan menaikkan harga makanan dan perkhidmatan pengguna untuk menampung kos operasi.  Akibatnya warga Malaysia yang akan dilanda impak negatifnya, seperti kadar pengangguhan yang semakin meningkat dan kadar jenayah yang menakutkan.

Maka, saya mencadangkan bahawa kerajaan perlu mengadakan mesyuarat konsultasi bersama dengan persatuan dan pemilik dalam sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan bagi mencapai suatu persetujuan untuk mengenakan levi berganda terhadap pekerja asing. Secara alternatifnya juga, dasar ini harus dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan hanya dalam sektor terpilih yang mana mudah cari pekerja di kalangan rakyat Malaysia.

***Mikrokredit

Kerajaan perlu memastikan bahawa program bantuan mikrokredit dapat disalurkan kepada semua perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa mengira bangsa, yang mana konsep “Satu Malaysia” perlu diketengahkan bagi membantu semua peniaga tanpa mengira kaum. Maka, pemberian insentif dan penurunan kadar bunga pinjaman mikrokredit merupakan langkah-langkah bijak yang perlu dilaksanakan secepat mungkin oleh kerajaan.

Kadar bunga pinjaman mikro kredit oleh bank-bank komersil pada masa sekarang berada pada tahap 18% setahun, maka saya mencadangkan bahawa kerajaan melalui Bank Simpanan Nasional dapat memberikan pinjaman mikro kredit yang hanya mengenakan kadar bunga 4% setahun seperti pada tahun 2001 untuk membantu perniaga kecil dan sederhana melalui krisis ekonomi ini.

Insentif dan bantuan kerajaan pada masa kini memainkan peranan yang penting untuk semua peniaga kecil dan sederhana. Sebarang bantuan mahupun penurunan cukai syarikat untuk PKS, atau mengadakan ekspo perniagaan dan perkembangan perniagaan tentu akan dapat memberikan impak yang positif kepada perniagaan mereka.

*** Pelancongan

Tuan Yang Dipertua. Saya memuji tumpuan yang diberikan kerajaan kepada industri pelancongan, memandangkan Sektor pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan sumber pendapatan pertukaran wang asing negara. Dalam konteks itu, saya menyokong sepenuhnya usaha Kementerian Pelancongan untuk memohon status ‘the New 7 Wonders Of Nature bagi Pulau Sipadan. Saya bersempatan menyertai lawatan kerja ke pulau tersebut baru-baru ini. Saya bersetuju sepenuhnya bahawa cita-cita untuk menjadikan Pulau Sipadan ‘the New 7 Wonders of Nature’ itu bukanlah satu mimpi, ia satu impian yang boleh direalisasikan. Mudah-mudahan dengan kejayaan tersebut kelak, pulau itu menjadi lebih terkenal lagi seluruh dunia. Saya juga memuji usaha kerajaan untuk merobohkan semua ‘chelet’ di atas pulau itu dan tidak membenarkan pelancong bermalam di pulau. Usaha itu akan memastikan alam sekitar dan ‘eco-system’ pulau dan lautan sekelilingnya yang begitu indah itu dipelihara dengan baik. Sesungguhnya penyertaan pertandingan ‘the New 7 Wonders of Nature’ itu sendiri pun sudah cukup untuk menarik perhatian, tumpuan dan minat para pelancong asing terhadap Pulau Sipadan. Syabas, Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri Sabah. Kejayaan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam pengisytiharan Melaka dan Georgetown sebagai Warisan Dunia juga akan menguntungkan industri pelancongan tanahair.

 

*** Perniagaan Runcit

 

Tuan Yang Dipertua. Usaha memperkenalkan Malaysia sebagai lokasi membeli belah, mesyuarat, konvensyen dan pameran antarabangsa merupakan salah satu strategi kerajaan untuk menarik pelancong ke Malaysia. Tidak dapat dinafikan, harga dan kualiti barangan di Malaysia adalah amat ‘competitative’ berbanding dengan beberapa buah negara serantau. Maka ramai pelancong, termasuk yang dari negeri China, suka membeli-belah di Malaysia. Namun demikian, kita dapati bahawa kebanyakan Hypermarket di tanahair kita dimonopolikan oleh syarikat-syarikat besar asing seperti Giant, Jusco, Carrefour, Tesco, Ikea dan sebagainya.

 

Di zaman globorisasi itu, kita tidak dapat mengelakkan pencerobohan pasaran oleh syarikat-syarikat asing. Sebaliknya peniaga-peniaga runcit di tanahair jua harus bekerja kuat untuk bersaing dengan peniaga-peniaga asing bukan sahaja di pasaran tempatan bahkan di luar medan tanah air. Kerajaan harus memberi nasihat dan segala bantuan dan kemudahan untuk membantu peniaga-peniaga tempatan di peringkat permulaan, dengan harapan mereka akan matang dan berdikari satu hari kelak.

 

Tuan Yang Dipertua. Kempen Membeli Barangan Malaysia adalah langkah ke arah merangsangkan industri tempatan dan pertumbuhan ekonomi domestik, baik semasa kadar pertumbuhan ekonomi tinggi, lebih-lebih lagi kini apabila ekonomi menggawat. Para pekilang tempatan harus memastikan kualiti barangan yang setanding dengan barangan import dan harga yang berpatutan. Warga negara pula harus berkeyakinan terhadap barangan Malaysia dan memberi sambutan yang baik kepada kempen kerajaan tersebut. Kita tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk menghidupkan ekonomi kita, kita sendiri yang harus bersatu-padu, sehati sejiwa untuk menyelamatkan ekonomi negara dan nasib diri kita semua.

 

***Perumahan

 

Tuan Yang Dipertua.  Apabila ekonomi negara sihat pun, ada pemaju perumahan yang tidak berjaya dan ada projek perumahan yang terbengkalai. Maka sewaktu kegawatan ekonomi, tidak hairan sekiranya lebih banyak lagi projek perumahan akan terbengkalai. Malangnya apabila projek terbengkalai, yang menjadi mangsa dan yang menanggung kerugian ialah para pembeli rumah, selalunya mereka yang berpendapatan rendah. Projek rumah mewah jarang menghadapi masalah kerana kadar keuntungan yang tinggi.

Mangsa-mangsa projek terbengkalai itu sambil menanggung keruagian kewangan di luar kemampuan mereka, berhidupan dalam ketakutan kerana ditekan bank yang memberi pinjaman untuk menjelaskan pinjaman. Kalau mereka sanggup membayar balik pinjaman perumahan begitu sahaja, kemungkinan besar mereka langsung tidak memerlukan pinjaman. Apabila mereka meminta Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk membantu, kita tiada kuasa untuk berhentikan tindakan bank, bahkan pengurus bank pun tiada kuasa untuk memberi amnesti kepada para peminjam yang malang itu. Kini ekonomi negara menggawat, lebih banyak lagi projek perumahan mungkin akan terbengkalai, lebih ramai lagi pembeli rumah yang akan menjadi mangsa. Sekiranya ada pekerja yang hilang pekerjaan kerana kegawatan ekonomi dan ditekan oleh bank untuk selesaikan hutang, seperti pepatah ‘jatuh ditimpa tangga’. Saya fikir mereka akan bunuh diri. Saya merayu kepada kerajaan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan, mungkin kini tepat masanya untuk memperkenalkan konsep ‘bina dan jual’ atau mengenakan deposit yang sewajarnya agar wang deposit itu dapat digunakan untuk meringankan beban tanggungan para pembeli rumah sekiranya projek perumahan terbengkalai.

*** Pendidikan

Tuan Yang Dipertua, saya bersetuju sepenuhnya bahawa ‘modal insan yang berkualiti adalah amat penting kepada pembangunan negara’ . Berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara, banyak program ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara, telah diatur.  Di konteks ini, kita pun nampak kesan-kesan positif seperti bilangan calon PMR, SPM dan STPM yang memperolehi prestasi tinggi setiap tahun begitu ramai. Yang saya tidak faham ialah: dengan kualiti pelajaran dan prestasi peperiksaan di pringkat sekolah menengah meningkat begitu ketara, apakah sebabnya universiti-universiti tempatan rupanya makin merosot? Tidak boleh dinafikan, sebahagian pelajar-pelajar yang cemerlang itu melanjutkan pelajaran di luar negeri, tetapi tidak kurang banyak jua pelajar-pelajar cemerlang yang menuntut di universiti tempatan. Pada saya, pelajar yang dapat 5A ke atas sudah boleh dianggap amat cemerlang. Tiada sebabnya dengan sumber pelajar yang begitu baik, universiti tempatan tidak cemerlang. Saya berharap Kementerian Pelajaran  dan Kementerian Pengajian Tinggi bersama-sama meninjau sebeb-sebabnya dan mengambil langkah untuk membetulkan keadaan. Selaku bekas pendidik, kadang-kala saya kagum bagaimana pelajar-pelajar yang tertentu mendapat begitu banyak A di dalam peperiksaan-peperiksaan awam sedangkan prestasi pelajaran mereka di sekolah adalah serdahana sahaja.

 

*** Sumbangan Guru

 

Tuan Yang Dipertua. ‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’, ‘Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan’, ‘Guru Penjana Modal Insan Gemilang’, ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’,  ‘Guru Pembina Negara Bangsa’. Itulah tema-tema Hari Guru dari tahun 2002 hingga tahun ini. Tema-tema tersebut melambangkan  dan mencerminkan sumbangan guru terhadap negara yang begitu besar. Ramai putera-puteri negara berjaya kerana guru-guru mereka. Cemerlang kerana guru-guru mereka. Masuk universiti kerana guru-guru mereka. Berjaya dalam kehidupan kerana guru-guru mereka. Tetapi bagaimana dengan anak-anak guru sendiri? Saya sering didekati guru-guru yang memohon bantuan kewangan untuk pendidikan anak-anak mereka, terutama sekali mereka yang terpaksa melanjutkan pelajaran di luar negeri kerana tidak ditawarkan kursus pilihan mereka di universiti tempatan. Sekiranya kerajaan dan negara benar-benar mengenang jasa guru dan akui sumbangan mereka terhadap negara, saya cadangkan kita berikan anak-anak keutamaan ke universiti-universiti tempatan dan menawarkan kursus pilihan mereka, dengan syarat bahawa mereka layak. Ataupun menwujudkan biasiswa khas atau pinjaman pada kadar bunga yang rendah untuk anak-anak guru. Langkah ini akan merangsangkan para pendidik, para pemangkin kegemilangan, para penjana modal insan gemilang dan para pembina negara bangsa. Saya yakin ramai individu yang berkualiti akan mohon menjadi guru, dan sekolah tidak akan kekurangan guru tahun demi tahun.

 

*** Akta Privasi

 

Tuan Yang Dipertua. Jasa YAB Dato' Seri Abdullah dalam perjuangan isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari sentiasa disanjung tinggi  bukan sahaja di dalam Malaysia, bahkan di peringkata antarabangsa. Tuan Yang Dipertua. Mungkin sudah sampai masanya Hak Privasi itu diberi pertimbangan sirius oleh Kerajaan.

 

Hak privasi itu sememangnya salah satu hak asasi manusia yang harus dinikmati setiap warga Malaysia, tanpa mengira status sosial, kaum atau agama.  Namun demikian, Perlembagaan Persekutuan negara kita tidak secara speksifik mengakui hak privasi itu, walaupun ada peruntukan bagi beberapa hak yang berkaitan, termasuklah kebebasan berhimpunan, ucapan dan pergerakan.  Hak privasi seharusnya merangkumi kesulitan data, komunikasi dan wilayah, serta privasi tubuh badan. Di dalam sistem undang-undang kita, kita ada Akta Kanun Keseksaan (Penal Code), Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Tidak boleh dinafikan, Undang-undang pencerohohan (Common Law of Trespass) dan Undang-undang Informasi Sulit (Law of Confidence) sedikit sebanyak memberi perlindungan hak privasi.

 

Tuan Yang Dipertua. Kita di Malaysia tidak ada undang-undang yang dirangka khusus untuk memberi perlindungan kepada hak privasi seseorang. Sekiranya ada kes, makhamah akan gunapakai Akta Kanun Kesesakan, Akta Iklan-Iklan Lucah (Indecent Advertisement Act 1953) dan Akta Penapisan Filem (Film Censorship Act 2002). Namunpun demikian, itu masih tidak mencukupi. Misalnya, di dalam satu kes baru-baru ini seorang lelaki yang didapati bersalah mengitip seorang perempuan di dalam tandas hanya didenda RM100 yang merupakan hukuman maksimum di bawah Akta Keslahan Kecil (Minor Offences Act 1955). Ini jelas membuktikan bahawa undang-undang yang sedia ada amat tidak mencukupi untuk menghalang seseorang dari menceroboh hak privasi orang-orang lain untuk kepentingan tertentu.

 

Malaysia adalah ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah menerima “the Universal Declaration of Human Rights”. Artikel 12 deklarasi tersebut berbunyi “No one shall be subjected to arbitrary interference with his privacy, family, home or correspondence, nor to attacks upon his honour and reputation. Everyone has the right to the protection of the law against such interference or attacks”. Oleh yang demikian, negara kita harus mempunyai penjaminan dalam bentuk undang-undang untuk menangani isu-isu biasa peribadi berkaitan dengan email, telefon bimbit, CCTV dan sebagainya.

 

Tuan Yang Dipertua. Malaysia merupakan negara majmuk di segi kebudayaan dan agama. Kita sebagai penggubal undang-undang perlu memastikan segala konflit-konflit di antara Akta Privasi dan Undang-Undang Syariah yang mungkin wujud mestilah diatasi sebelum penggubalan Akta Privasi itu. Izin saya petik titah Seri Paduka Banginda Tuanku yang berbunyi “Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain bebas untuk diamalkan.” Maka hak-hak individu bukan umat Islam di bawah Perlembagaan Persekutuan jua harus diberi pertimbangan yang saksama serta dipelihara agar mereka tidak tertakluk kepada tindakan di bawah apa-apa bentuk undang-undang Syariah atau oleh pihak-pihak berkuasa Agama Islam.

 

*** Borneonisasi

 

Tuan Yang Dipertua. Titah Seri Paduka Baginda juga menegaskan bahwa kerajaan tidak akan sama sekali mengabaikan kaum-kaum Bumiputra di Sabah dan Sarawak. Walaupun saya bukan berasal dari Sabah atau Sarawak, secara peribadi saya menyokong konsep “Borneoisasi” di mana lebih banyak jawatan kanan dan penting di negeri Sabah dan Sarawak akan diambilalih oleh anak-anak negeri tersebut. Saya percaya dan yakin bahawa selepas begitu lama menyertai Malaysia, warga-warga negeri Sabah dan Sarawak sudah cukup layak untuk menyandang jawatan-jawatan kanan dan penting di negeri-negeri yang berkenaan. Kini kita dapati bahawa kebanyakan jawatan-jawatan kanan dan penting disandang oleh Kaum Melayu sahaja bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, bahkan di Sabah dan Sarawak. Di konteks itu, saya berpandangan bahawa sampailah masanya untuk negara kita benar-benar mencerminkan komposisi perkauman di dalam jentera pentadbiran kerajaan. Tidak dapat dinafikan bahawa bukan sahaja warga-warga negeri Sabah dan Sarawak sahaja yang merasa mereka tidak diberikan peluang dan ruang untuk menjawat jawatan yang penting, bahkan kaum-kaum bukan Melayu di Semenanjung Malaysia juga berkongsi perasaan tersebut. Orang-orang Cina, India dan lain-lain yang tidak kurang berkebolehan jarang diberikan peluang kenaikan jawatan ke jawatan-jawatan kanan kerajaan. Kerajaan telah banyak kali memberi jaminan bahawa layanan yang adil dan saksama akan diberikan kepada semua warga negara, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama. Selepas lebih 50 tahun merdeka, sudah sampailah masa untuk kita membukti bukan sahaja kepada warga Malaysia bahkan kepada seluruh dunia bahawa semua warga negara menikmati hak dan layanan yang saksama di bawah pemerintahan kerajaan semasa. Demi untuk memupuk perpaduan yang kukuh dan kuat, inilah salah satu aspek yang harus diberi perhatian sirius oleh kerajaan dan bukan setakat melepaskan batuk di tangga sahaja.

 

***  Penyerahan Kepimpinan

Tuan Yang Dipertua. Saya ucapkan tahniah kepada UMNO kerana berjaya mengadakan Perhimpunan Agung dan Pilihan Pemimpin di semua peringkat. Saya juga ucapkan syabas dan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak dan YB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin Mohd Yassin kerana terpilih menjadi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi di atas kepimpinan dan segala sumbangan kepada negara. Jasa YAB Dato' Seri Abdullah dalam perjuangan isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari. Saya yakin peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar dan agenda pembangunan negara, terutama sekali usaha merangsangkan ekonomi negara, dapat diteruskan dan dijayakan. Saya merayu kepada warga negara segenap lapisan masyarakat agar bersatu padu di belakang kerajaan yang bakal dipimpini YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak dan YB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin Mohd Yassin. Perpaduan dan stabiliti negara adalah unsur terpenting demi kejayaan sesebuah negara.

 

Maka dengan kata-kata tersebut, saya mohon menyokong usul menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong semasa perasmian mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen Kedua-belas pada 16 Februari 2009

 

-MCA online-

MALAYSIAN CHINESE ASSOCIATION HEADQUARTERS
8th Floor, Wisma MCA, 163, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia. Tel: (603)-21618044 Fax: (603)-21619772
Copyright @2007 Malaysian Chinese Association. All Rights Reserved.