Skip to main content
Home
News Center
Membership
President's Desk
About MCA
Party's Agenda
MCA Youth
Wanita MCA
Website Links
Download Zone
Contact Us
  
Sitemap | Bookmark |
Go Search

Pemberitahuan Pertanyaan bagi Soalan Lisan oleh YB Dato' Seri Ong Ka Ting di Dewan Rakyat pada 18 Ogos 2008 

 
Email to Friend
 

Soalan:

Dato’ Seri Ong Ka Ting [Kulai] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan:-

(a) statistik jumlah pelaburan langsung asing atau FDI ke Malaysia dari tahun 2000 sehingga Jun 2008; dan

(b) bagaimanakah kerajaan bercadang untuk meliberalisasikan Garis
Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing atau FIC dan Akta Penyelarasan Industri 1975 untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan.

Jawapan:

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri [Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin]:

Tuan Yang di-Pertua, sejak tahun 2000 jumlah kemasukan pelaburan asing di sektor perkilangan di negara kita telah pun meningkat berlipat ganda daripada RM19.8 bilion pada tahun 2000 sehingga RM33.4 bilion pada tahun lepas.

Pada tahun 2001, jumlah pelaburan asing di sektor perkilangan berjumlah RM16 bilion. Pada tahun 2002 ialah RM11.6 bilion, RM15.6 bilion pada tahun 2003 dan RM13.1 bilion pada tahun 2004.

Peningkatan ketara dalam pelaburan asing dicatatkan untuk tiga tahun berturut-turut bagi tahun 2005, 2006 dan 2007 iaitu RM17.9 bilion, RM20.2 bilion dan RM33.4 bilion masing-masing.

Setakat Januari sehingga Jun 2008, jumlah pelaburan asing yang diluluskan ialah sebanyak RM23.3 bilion. Pada tahun 2007 daripada jumlah pelaburan RM59.9 bilion yang diluluskan, RM33.4 bilion ataupun 55.7% adalah pelaburan asing. Pelaburan asing yang diluluskan pada tahun 2007 adalah yang tertinggi pernah direkodkan setakat ini dan mencatatkan kenaikan sebanyak 65.3% berbanding dengan RM20.2 bilion pada tahun 2006.

Menyedari kepentingan kemasukan pelaburan asing ke negara kita, kerajaan sentiasa mengambil inisiatif termasuk meliberalisasikan dasar-dasar sedia ada bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan asing. Melalui pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan yakni PERMUDAH, kerajaan sedang mengkaji semula garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing ataupun FIC.

Kajian semula garis panduan FIC adalah bertujuan untuk menyelaras fungsi dan tanggungjawab serta bidang kuasa FIC agar lebih jelas dan mesra pelabur. Syarat-syarat yang terkandung dalam garis panduan yang sedia ada sedang diperkemas dan akan diganti dengan syarat-syarat yang lebih mesra pelabur. Dalam mengkaji semula garis panduan FIC, kerajaan juga telah meminta dan mengambil maklum pandangan daripada sektor swasta.

Ini adalah bertujuan untuk memastikan agar garis panduan yang disediakan sesuai dengan suasana perniagaan sekarang dan menepati kehendak stakeholders. Kajian semula garis panduan FIC ini dijangka akan siap pada akhir tahun 2008 ini. Di bawah Akta Penyelarasan Industri 1975, sektor perkilangan telah pun diliberalisasikan dengan membenarkan 100% pegangan ekuiti asing sejak tahun 2003. Bagi memudahkan pelabur menjalankan aktiviti perkilangan di Malaysia, kerajaan juga telah pun mengambil langkah untuk memansuhkan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh sesebuah syarikat untuk mendapat lesen pengilang.

Pada masa ini, hanya empat syarat sahaja dikenakan dalam lesen perkilangan iaitu:-

(i) lokasi projek perkilangan yang terletak pada kelulusan kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar;

(ii) memaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sekiranya berlaku penjualan saham syarikat;

(iii) latihan diberikan pada warganegara Malaysia untuk menggalakkan pemindahan teknologi; dan

(iv) menjalankan projek dengan berlandaskan undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan di Malaysia.

Dato' Seri Ong Ka Ting [Kulai]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya anggap bahawa kerajaan memang berusaha ke arah untuk menepati masa, tempoh akan tibanya pada tahun 2010 supaya memenuhi perjanjian Akta Perdagangan Bebas 2010. Maka kita perlulah mengubahsuai, meliberalisasikan dasar-dasar termasuk garis panduan FIC dan juga ICA.

Pada masa sekarang, kerap kali ada pelbagai kritikan daripada pihak swasta termasuk pelabur asing ataupun pelabur tempatan bahawa Kerajaan Pusat memang setiap kali mengadakan dialog atau mesyuarat memberi jaminan yang positif supaya dasar akan diliberalisasikan, akan diubahsuai, diambil kira pelbagai perkara yang baik dan juga munasabah.

Akan tetapi semasa pelaksanaan, terdapat agensi-agensi kerajaan sama ada di peringkat pusat atau kerajaan negeri, ataupun di peringkat PBT, mereka sentiasa menokok tambah syarat-syarat yang lain sehingga menyusahkan pelabur. Ini telah memberi gambaran yang lain daripada usaha kerajaan sebenarnya.

Bagaimanakah kerajaan boleh memantau, memastikan pelaksanaan ini betul-betul berkesan supaya tidak ada mana-mana pihak telah membuat sesuatu yang menyeleweng dan boleh meyakinkan pelabur-pelabur. 

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, setakat sekarang ini daripada laporan yang kita terima, proses untuk melaksanakan sesebuah projek itu lebih cepat daripada dahulu. Kalau dahulunya kita tahu beberapa syarat-syarat dan sekatan-sekatan dikenakan termasuk di peringkat negeri ataupun pihak berkuasa tempatan. Ini telah pun melengahkan pelaksanaan sesebuah projek ataupun menyebabkan pihak pelabur merasa agak kurang senang hati tentang langkah-langkah sebegitu.

Untuk mengatasi masalah seperti ini, kita di peringkat kementerian telah pun menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bersama Industri. Ini telah pun dilaksanakan untuk sekian lama di mana pihak kementerian dengan kerajaan negeri mengadakan beberapa peringkat mesyuarat untuk menyeragamkan peraturan. Kalau boleh mengurangkan beberapa kerenah yang dikenakan oleh pihak-pihak tertentu walaupun ia termaktub dalam peraturan undang-undang di peringkat negeri. Umpamanya yang berkaitan dengan soal alam sekitar ataupun yang berkaitan dengan soal kelulusan di peringkat pejabat tanah ataupun syarat-syarat kelulusan dan kenaan dengan syarat-syarat yang dibuatkan oleh pihak berkuasa di peringkat tempatan ataupun negeri yang kadang-kadang menjadi masalah kepada pelabur.

Inisiatif seperti ini telah pun kita mulakan dan di samping langkah sebegini, kita telah menubuhkan apa yang disebutkan tadi PEMUDAH. Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, PEMUDAH adalah sebuah badan petugas tertinggi di peringkat nasional di mana wakil-wakil daripada pihak kerajaan dan swasta duduk bersama-sama mengenal pasti apakah perkara-perkara yang biasa berbangkit yang menyebabkan kelewatan ataupun kesulitan kepada bakal pelabur dan cara ini telah kita laksanakan.

Umpama contoh yang paling mudah dalam Akta Penyelarasan Perindustrian, kita kenakan syarat di mana pemohon untuk mendapatkan lesen pengeluaran terpaksa membayar RM50 untuk mendapatkan lesen. Ini sudah pun kita hapuskan, itu tidaklah merupakan satu beban yang besar kepada kerajaan untuk mengecualikan syarat seperti itu. Jadi sebagaimana yang saya sebutkan tadi, inisiatif ini kita buat secara berterusan dan saya kira apabila peraturan FIC yang disebutkan tadi akan kita perbaiki lagi dengan langkah yang sedang kita buat, mungkin hal yang biasa kerap berbangkit ini tidak akan timbul lagi ataupun dapat kita kurangkan, Insya-Allah.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Yang Berhormat. Soalan saya bersabit dengan FDI ini. Pertamanya angka-angka yang disebutkan tadi, disebutkan dalam 2007, RM33.4 bilion dan sebutannya oleh Yang Berhormat Menteri sejauh mana yang kita ingat dalam Dewan ini sentiasa meningkat. Namun, tidak diperjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan diluluskan itu akhirnya berakhir dengan satu pelaburan yang benar-benar terlaksana atau realize dengan izin.

Itu satu persoalan yang saya ingin sebutkan dan juga sementara kita menyebutkan tentang peningkatan FDI atau pelaburan asing langsung ini meningkat, bagaimana kita dari sudut prestasi ini berbanding dengan negara-negara di Asia ini yang kebetulan mengikut beberapa laporan kita jauh daripada bersaing. Umpama disebutkan angka 2% daripada seluruh pelaburan asing yang masuk dalam Asia ini, kita hanya mencapai 2% sahaja daripada itu.

Ketiganya kalau boleh saya panjangkan sedikit. Panel yang ditubuhkan tiga tahun yang lalu, International Advisory Panel ataupun Panel Antarabangsa Pelaburan diwujudkan tanpa kita dengar apakah cadangan-cadangan konkrit kerana terms of reference IAP ini juga termasuk dalam persoalan peningkatan FDI. Akan tetapi kita tidak pernah mendengar apakah langkah-langkah konkrit yang mereka majukan sementara tentunya penubuhan panel-panel yang merupakan high powered panel-panel ini melibatkan international consultant, tentunya memakan berjuta ringgit. Apakah hasil daripada itu kita dapat lihat FDI meningkat? Sekian, terima kasih.

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Tuan Yang di-Pertua, angka-angka yang telah pun saya sebutkan ini biasa memang setiap kali kita umumkan tentang jumlah pelaburan dalam negara kita, itulah angka dan asas yang kita guna adalah sama. Bermakna kalau ikut daripada perbandingan tahun-tahun sebelum ini memanglah meningkat walaupun dari segi pelaksanaan itu memang kadang-kadang ada shortfall tetapi umumnya jumlah yang dikatakan tidak dapat dilaksanakan adalah sejumlah yang agak kecil sahaja. Cuma tempoh masa itu kadang-kadang situasi ekonomi dunia agak berubah, ada kelewatan sedikit dan akhirnya terlaksana juga.

Kita juga bukan setakat mengambil kira tentang kelulusan tetapi the inflow, kemasukan pelabur asing ke dalam negara kita. Saya hendak menyebutkan di sini contoh sebagaimana yang saya sebutkan dalam pendekatan yang lain digunakan dari segi angka balance of payment ataupun imbangan pembayaran yakni berdasarkan kepada inflow perdagangan ke dalam negara kita ataupun pelaburan.

Jumlah itu memang begitu nyata terbukti meningkat, kalau saya boleh bacakan di sini Tuan Yang di-Pertua bagi tahun 2000 - RM6.6 bilion meningkat sampai RM12 bilion pada tahun 2002. Kemudian turun sedikit kepada RM9 bilion pada 2003, pada 2004 naik ke RM17.5 bilion, pada 2005 - RM15.02 bilion, pada 2006 - RM22.1 bilion, pada 2007 iaitu tahun lepas RM29 bilion. Bermakna dari segi inflow pun ini termasuklah bukan sahaja dari segi pembuatan sektor-sektor yang lain dalam negara kita ini.

Keduanya memanglah dari segi di kalangan negara Asean, prestasi kita boleh dikatakan baik juga boleh sebutkan di sini. Ini berdasarkan kepada angka yang telah pun dikeluarkan oleh Amtek. Ini biasa dibangkitkan oleh setengah pihak mengatakan pelaburan kita juga menurun sebenarnya tidak. Kalau dilihat sebagai sebuah negara, Malaysia dengan jumlah populasinya hanya 27 milion sahaja per kapita pelaburan bagi negara kita ialah 234.88 dolar bagi satu kapita.

Berbanding dengan negara China yang dikatakan mempunyai jumlah pelaburan yang boleh dikatakan terbesar hampir 70 bilion dia punya per kapita hanya RM52.48, ini angka yang telah dikeluarkan oleh Amtek.

Dari segi prestasi kita berbanding dengan negara-negara Asean yang lain kecualilah Singapura Malaysia merupakan mempunyai peratusan pelaburan yang tertinggi berdasarkan perkapitanya tadi. Jadi ini angka yang saya telah sebutkan, mungkin Yang Berhormat tidak setuju

tetapi faktanya ada di hadapan saya. Biasalah orang-orang pembangkang dia tidak berapa setuju dengan kerajaan punya pandangan.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Namun kenapa per kapita?

Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Ya, ini angka yang telah pun disahkan begitu bukan boleh diputarbelitkan angka yang sebenarnya. Yang ketiganya soal advisory panel, ingin menasihatkan kerajaan jadi kita tidak perlu hendak melaporkan kepada pihak orang ramai apakah pandangan-pandangan pihak panel ini tentang langkah-langkah yang telah pun dibuat oleh kerajaan? Apa inisiatif lain yang harus diambil untuk membantu supaya sektor bukan sahaja pelaburan, ekonomi dalam negara kita ini dapat ditingkatkan lagi.

Jadi ini saya fikir telah pun kita ambil kira dalam banyak keputusan-keputusan dan dasar yang telah pun dibuat kerajaan dan dalam rangka pelan-pelan pembangunan ekonomi yang sebahagiannya termasuk dalam pembangunan rancangan Malaysia yang lima tahun itu sudah pun kita ambil kira Yang Berhormat. Terima kasih.

- MCA Online -

MALAYSIAN CHINESE ASSOCIATION HEADQUARTERS
8th Floor, Wisma MCA, 163, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia. Tel: (603)-21618044 Fax: (603)-21619772
Copyright @2007 Malaysian Chinese Association. All Rights Reserved.