Skip to main content
Home
News Center
Membership
President's Desk
About MCA
Party's Agenda
MCA Youth
Wanita MCA
Website Links
Download Zone
Contact Us
  
Sitemap | Bookmark |
Go Search

UCAPAN PENCADANG USUL MENJUNJUNG KASIH KE ATAS TITAH DIRAJA, 30 Apr 08 

 
Email to Friend
 
 

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA MAJLIS PARLIMEN KE-12

UCAPAN PENCADANG USUL MENJUNJUNG KASIH KE ATAS TITAH DIRAJA

 

~ YB DATO’ SERI ONG KA TING ~

Ahli Parlimen Kawasan Kulai

 

30 APRIL 2008

 

Tuan Yang Dipertua, dengan ini saya, Dato’ Seri Ong Ka Ting, Ahli Parlimen bagi kawasan Kulai, memohon untuk mencadangkan Usul Menjunjung Kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah kerana sudi berangkat menyampaikan Titah Ucapan di Persidangan Penggal Pertama Parlimen Kedua Belas pada hari semalam, 29 April 2008. Usul saya adalah seperti yang berikut:

 

Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, demikian bunyinya:

 

“Ampun Tuanku,

 

Patik, Yang Dipertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Tuanku semasa membuka Penggal Pertama Parlimen Yang Kedua Belas.’’

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Izinkan saya terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana telah dipilih sebagai Yang DiPertua Dewan yang mulia ini. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Timbalan-timbalan Yang Dipertua yang telah dipilih oleh Dewan.

 

mesej rakyat pada pilihan raya umum ke-12

 

Pada 8 Mac yang lalu, rakyat Malaysia berbilang kaum telah menggunakan hak mereka untuk memilih 222 Ahli-ahli yang Berhormat di Dewan yang Mulia ini. Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli-ahli yang berhormat dan berharap kita akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur ikhlas dan senantiasa menunjukkan tingkah laku yang baik seperti disaran dalam titah ucapan Tuanku.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Pada 8 Mac yang lalu, rakyat bukan sahaja telah memilih dan mengembalikan Barisan Nasional (BN) untuk terus memimpin Kerajaan Malaysia, pada masa yang sama, ramai antara mereka juga telah menyuarakan perasaan mereka melalui undi mereka. Daripada keputusan pilihan raya yang lalu ini, kita perlu prihatin dan mengambil berat tentang pelbagai mesej yang dihantar oleh rakyat kita. Mereka mahu Kerajaan menambahbaik lagi sistem pentadbiran negara dan membetulkan segala kelemahan yang wujud. Apa yang penting ialah mereka hendak sikap semua pemimpin politik dan penjawat jawatan awam di semua peringkat perlu mempunyai keterbukaan, keikhlasan, kecekapan, bersih dan berintegriti serta senantiasa bersungguh-sungguh menjaga kepentingan semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

 

Ini juga bermakna, persepsi rakyat tentang rasuah, kerenah birokrasi, diskriminasi dalam apa jua bentuk dan juga penyalahgunaan kuasa perlulah dibendung dan nampak dibetulkan. Kita mestilah bekerja keras ke arah membawa satu harapan baru kepada rakyat dan memberi gambaran bahawa Kerajaan senantiasa bersedia mendengar rintihan, suara hati rakyat dan berubah demi masa depan negara tercinta ini secara amnya dan untuk masa depan generasi akan datang, umumnya.

 

Justeru, asas-asas baru mestilah bermula dari hari ini…

 

Tuan Yang Dipertua,

 

A)            ANTI-RASUAH

 

Titah ucapan Tuanku telah menyatakan bahawa, saya petik: “Pencapaian ekonomi dan pembangunan yang dinikmati selama ini tidak akan bermakna sekiranya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan masih berlaku.’’

 

Saya mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 21 April 2008 mengenai usaha-usaha membanteras rasuah terutamanya penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MCAC), Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah.

 

Rasuah merupakan musuh nombor satu negara ketika ini. Meskipun Malaysia telah memeterai Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Rasuah pada 9 Disember 2003, dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 5 November 2003 selain memastikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) melaksanakan tanggungjawabnya, namun hasil positif yang diharap-harapkan menerusi kempen anti-rasuah masih belum menampakkan kesan yang memuaskan.

 

Selain daripada usaha tersebut, saya juga mengesyorkan agar Kerajaan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut bagi menjamin usaha memerangi rasuah dapat berjalan lancar dan berkesan. Antaranya:-

 

1)       Semua jabatan dan agensi dari peringkat Kerajaan Persekutuan hingga ke Kerajaan tempatan, menetapkan tempoh memproses semua jenis permohonan kelulusan dan diumumkan untuk pengetahuan orang awam. Sejurus diumumkan, agensi dan jabatan Kerajaan perlulah mengadakan satu prosedur yang jelas, mudah dan telus serta patuh kepada piagam kerja untuk memproses permohonan berkenaan. Sekiranya tempoh memproses itu tidak dipatuhi, maka mereka yang berkenaan mesti memberikan penjelasan yang munasabah di sebalik kelewatan itu. Langkah ini wajar bagi mengelakkan keadaan yang mana terdapat mana-mana pegawai yang sengaja melengah-lengahkan tempoh memproses permohonan dengan harapan untuk mendapat habuan, atau memberi peluang untuk orang-orang mengambil kesempatan terhadap orang ramai.

 

2) Pemberi maklumat adalah sumber terpenting kepada MCAC untuk memulakan penyiasatan dan membantu perjalanan penyiasatan sesuatu kes. Bagaimanapun setakat ini, tidak ada sebarang usaha yang diambil untuk melindungi kumpulan tersebut. Oleh yang demikian, satu mekanisma pemberi maklumat haruslah dimasukkan bagi melindungi golongan terbabit dan ia mesti diberi perhatian sewajarnya di bawah undang-undang negara,

 

3)       Pada tahun 2007, Malaysia telah menduduki tempat ke-43 dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI), ini telah mengakhiri trend menurun yang dialami selama lima tahun sebelum ini. Dalam perkembangan berkaitan, hukuman yang lebih berat mesti dikenakan ke atas mereka yang didapati terbabit dalam rasuah tidak kira mereka yang berjawatan tinggi atau rendah dan juga sama ada kakitangan awam atau swasta. Sudah tiba masanya, kita bertegas dan mengamalkan toleransi sifar terhadap rasuah, seperti mana yang dilakukan oleh ICAC dari Hong Kong dan CPIB dari Singapura.

 

Sejurus itu, apabila seseorang individu didapati bersalah, hukuman setimpal oleh Kerajaan yang dilihat sebagai langkah pencegahan perlu dijatuhkan. Kepada yang terlibat dan disabit kesalahan, mereka tidak akan mendapat sebarang bentuk pencen dari Kerajaan. Kesan ‘deterrent’ ini akan dapat mencegah rasuah dengan baik.

 

Saya turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan meningkatkan bilangan kakitangan anti-rasuah daripada 1,800 orang kepada 5,000 orang.

 

MCAC perlu mempunyai kuasa untuk terus mengambil tindakan perundangan secara langsung terhadap suspek-suspek yang terlibat tanpa melalui Jabatan Peguam Negara, ini akan membolehkan proses memerangi rasuah menjadi lebih efisien.

 

Usaha memerangi rasuah harus menjadi keutamaan Kerajaan pada masa ini. Kerajaan mesti mengambil pendirian dan tindakan tegas dalam memerangi rasuah, memenuhi aspirasi rakyat yang dahagakan sebuah Kerajaan yang bersih lagi sihat.

 

Ketika kita membincang mengenai usaha memerangi rasuah, adalah penting juga sekiranya langkah-langkah pencegahan yang diambil menampakkan keberkesanannya. Sering kali, kebanyakan mereka yang terlibat dalam rasuah adalah terdiri daripada mereka yang berkuasa khususnya pemimpin-pemimpin politik yang menyalahgunakan kuasa, mengkhianati kepercayaan dan menggelapkan wang rakyat untuk kepentingan peribadi. Harus diingat, masih ramai rakyat Malaysia yang merupakan petani, nelayan, buruh, pekerja kilang, penjaja, peniaga kecil, pemandu, golongan makan gaji yang berpendapatan rendah dan mereka adalah terdiri daripada pelbagai kaum, baik Melayu, India, Kadazan, Iban mahupun Cina.

 

Golongan berpendapatan rendah ini memerlukan banyak perhatian dan galakan daripada Kerajaan untuk mengatasi cabaran hidup keluarga mereka.

 

Mereka tidak tahan mendengar atau diberitahu bahawa terdapat wang ringgit bernilai berjuta-juta atau ratusan juta ringgit seolah-olah dibelanja dengan boros, mempunyai banyak kebocoran atau penyalahgunaan.

 

Untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah, satu strategi menyeluruh perlu dirangka untuk melindungi kepentingan mereka. Apa yang diharapkan mereka ialah wang rakyat yang dikutip Kerajaan menerusi cukai, dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Terdapat kes-kes tertentu yang mana individu-individu yang menghadapi masalah kewangan sedang menunggu bantuan atau pertolongan dan di satu pihak lagi pula, terdapat persepsi bahawa ada pihak yang menggelapkan wang rakyat, terus menikmati kehidupan senang-lenang.

 

Hakikat ketika ini, terdapat persepsi negatif yang menyelubungi imej Kerajaan. Dalam konteks ini, Kerajaan kadang-kala dilihat hanya mengumumkan inisiatif-inisiatif proaktif tetapi belum disusuli dengan tindakan yang benar-benar efektif. Oleh yang demikian, Kerajaan perlu ‘memadamkan’ tanggapan buruk ini dengan tindakan-tindakan konkrit dan komitmen politik yang kuat untuk meyakinkan rakyat.

 

 

B)           Penubuhan suruhanjaya kehakiman dan reformasi sistem kehakiman

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Saya mengalu-alukan Titah ucapan Tuanku yang telah menyentuh mengenai komitmen Kerajaan untuk menambahbaikkan dan memperkasakan sistem kehakiman negara. Saya ingin menyatakan sokongan terhadap agenda penambahbaikan ke atas sistem kehakiman negara seperti yang telah digariskan oleh YAB Perdana Menteri pada majlis makan malam anjuran Majlis Peguam Malaysia pada 17 April 2008 yang lalu.

 

Penubuhan sebuah Suruhanjaya Kehakiman yang bebas untuk melihat isu pelantikan dan kenaikan pangkat hakim serta peningkatan kadar gaji hakim-hakim adalah tepat pada masanya. Langkah berkenaan dilihat mampu mengembalikan keyakinan rakyat awam terhadap sistem kehakiman negara jika kita dapat membuktikan urusan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim adalah telus, objektif dan bertanggungjawab. Justeru, kita sedang bergerak seiring dengan peredaran masa, yang mana cara pelantikan hakim-hakim ini sebenarnya telah digunapakai di kebanyakan negara Komanwel.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Cadangan peranan utama untuk Suruhanjaya Kehakiman ialah  mengesyorkan calon-calon kepada YAB Perdana Menteri yang kemudiannya akan merunding dengan Majlis Raja-Raja sebelum menasihati Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong terhadap siapakah yang akan dilantik sebagai hakim ataupun dinaikkan pangkat.

 

Dalam erti kata lain, apabila YAB Perdana Menteri merunding dengan Ketua Hakim Negara, pilihan calon yang disyorkan oleh Ketua Hakim Negara mestilah terdiri daripada calon-calon yang disyorkan oleh Suruhanjaya Kehakiman.

 

Dalam hal ini, saya ingin menambah bahawa calon-calon hakim yang disyorkan Perdana Menteri kepada Majlis Raja-Raja dan Yang Dipertuan Agong, mestilah juga datang dari calon-calon yang disyorkan oleh suruhanjaya berkenaan. Segala usaha murni untuk mereformasi sistem kehakiman negara akan menjadi sia-sia sekiranya Perdana Menteri didapati mengesyorkan calon-calon pilihannya, lain daripada yang dicadangkan oleh pihak suruhanjaya yang sebelum ini, sudah melaksanakan proses penilaian yang teliti terhadap calon-calon hakim yang dimaksudkan.

 

Saya berharap penubuhan Suruhanjaya Kehakiman ini akan turut mengambil kira perkara-perkara berikut:-

 

1)            Merangka dengan teliti satu proses penilaian terhadap calon-calon hakim bagi menangkis sebarang tohmahan kononnya mereka yang mempunyai hubungan dengan golongan tertentu akan dipertimbangkan sebagai hakim,

 

          Memansuhkan peranan Pesuruhjaya Kehakiman yang dilantik secara sementara memandangkan timbulnya kebimbangan bahawa pesuruhjaya-pesuruhjaya kehakiman ini berhutang ketaatan mereka kepada Ketua Hakim Negara, yang mempunyai kuasa memutuskan sama ada mereka akan dilantik ke jawatan penuh sebagai hakim-hakim Mahkamah Tinggi nanti.  Jika kedudukan ini masih dikekalkan, saya mencadangkan agar Suruhanjaya Kehakiman juga diberi peranan untuk melakukan pengesyoran calon-calon, dan bukan lagi mengikuti mekanisma pemilihan sedia ada seperti yang dinyatakan dalam Artikel 122 AB Perlembagaan Persekutuan. Ini akan bermakna Suruhanjaya Kehakiman kemudiannya bertindak menasihati Yang Dipertuan Agong calon manakah yang lebih layak dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman,

 

2)            Membenarkan Suruhanjaya Kehakiman mengesyorkan calon-calon hakim untuk dilantik sebagai majistret dan hakim-hakim Mahkamah Sesyen yang pada ketika ini pelantikannya dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman. Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman ini merupakan badan eksekutif kepada Peguam Negara dan Peguam Negara ada kalanya juga membicarakan kes di hadapan mereka serta Peguam Negara sendiri adalah juga ahli dalam suruhanjaya berkenaan.

 

Pendek kata, Peguam Negara boleh memutuskan isu-isu berhubung dengan prospek kenaikan pangkat hakim-hakim majistret dan hakim-hakim Mahkamah Sesyen. Terdapat kebimbangan jika mekanisma ini terus digunapakai dan tidak digantikan dengan sebuah Suruhanjaya Kehakiman yang bebas, para hakim majistret dan hakim Mahkamah Sesyen akan dituduh sebagai tidak bebas walaupun penghakiman mereka tidak menyebelahi Kerajaan dan adalah betul dari segi undang-undang.

 

Menyentuh mengenai soal persepsi, kita tidak dapat menafikan bahawa komposisi hakim yang ada sekarang, tidak mencerminkan aspek kepelbagaian kaum di negara kita. Kita juga tidak dapat menafikan bahawa hakim-hakim adalah manusia dan sebanyak mana mereka memang ingin dilihat sebagai seorang hakim yang bebas dan telus; aspek keagamaan, kaum dan juga latarbelakang budaya seseorang hakim adalah antara faktor-faktor yang boleh mempengaruhi pemikirannya yang sepatutnya bebas dan rasional sebelum ini. Oleh yang demikian, untuk memberi persepsi yang lebih positif, komposisi hakim yang mencerminkan kepelbagaian kaum memang boleh membawa kesan amat baik.

 

Saya tidak mencadangkan bahawa kuota kaum diguna dalam pelantikan hakim-hakim. Sudah tentu, pelantikan seseorang hakim perlulah berpandukan kepada merit, kebolehan, kebijaksanaan, bebas dan adil serta integriti dan ianya tidak dilihat ada kena-mengena dengan latar belakang keturunan atau gender.

 

Pada masa yang sama, kita juga perlu membetulkan sebarang tanggapan umum kononnya hakim-hakim kita tidak dapat menghakimi isu-isu sensitif dengan adil terutamanya apabila melibatkan kes agama.   Sehubungan itu, saya juga ingin mencadangkan supaya sistem perbicaraan juri diamalkan semula bagi kes-kes yang melibatkan jenayah berat.

Saya mengalu-alukan usaha Kerajaan untuk menambahbaikkan dan memperkasakan sistem kehakiman yang memberi harapan kepada rakyat dan juga negara ini.

 

C)           HAK BERAGAMA RAKYAT BUKAN ISLAM

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, kita sering mendengar dan menyaksikan isu-isu pertikaian agama yang membabitkan hak perlembagaan rakyat bukan Islam. Kes-kes kontroversi seperti  mendiang Moorthy, Gan Eng Hor, kes Lina Joy, penahanan saudari Ravathi ataupun kes untuk mendapat hak penjagaan anak kepada Shamala dan Subashini terus kedengaran.

 

Awal bulan ini, terdapat beberapa kenyataan bahawa cadangan pindaan Undang-Undang untuk memberi kesan dan melindungi penduduk Islam dan bukan Islam. Penduduk bukan Islam tidak sepatutnya tertakluk kepada sebarang bentuk perundangan syariah dan apabila berlaku sebarang pertikaian atau pertindihan kuasa antara Mahkamah Sivil dan Syariah, Mahkamah Sivil mesti diutamakan. Kerajaan perlu bersikap lebih telus dalam proses ini bagi mengelakkan berulangnya kes-kes pertikaian isu agama seperti yang disebutkan tadi.

 

Pada masa yang sama, kita memegang teguh kepada penghakiman Mahkamah Agung terhadap kes Tan Soong Moi 1994 yang mana tindakan menukar agama kepada Islam tidak menghalang seseorang mualaf daripada menunaikan obligasi perundangan dan tanggungjawab-tanggungjawab di bawah perkahwinan sivil. Sebarang perkahwinan yang dilangsungkan menerusi undang-undang sivil hanya boleh dimansuhkan mengikut undang-undang sivil.

 

Dalam kes yang mana salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, harus ditetapkan bahawa status agama anak mereka mesti ditentukan oleh kedua-dua ibu bapa secara bersama. Sekiranya timbul pertikaian mengenai status agama anak, agama anak berkenaan perlulah dikekalkan (status-quo) sehinggalah anak-anak tersebut mencapai umur majoriti iaitu 18 tahun dalam mana anak itu berhak memutuskan agama yang ingin dipeluknya.

 

Kes mahkamah Rukomony yang masih tertangguh, mendedahkan bahawa wujud pertikaian pewarisan harta untuk mereka yang telah dinamakan sebagai waris penerima sebelum individu yang memiliki harta itu memeluk Islam. Dalam keadaan sekiranya mualaf itu meninggal dunia, harta yang menjadi milik individu tersebut sebelum tarikh penukaran agama, perlu diadili mengikut Undang-undang sivil Mengenai Pewarisan.  

 

Dalam situasi-situasi membabitkan penduduk bukan Islam yang memeluk Islam disebabkan faktor perkahwinan, mualaf berkenaan perlu dibenarkan untuk kembali ke agama asal apabila perkahwinan mereka telah tamat. Sama juga keadaannya jika seorang anak yang memeluk Islam secara unilateral oleh salah seorang ibu atau bapa tanpa mendapat kebenaran daripada seorang lagi ibu atau bapa, anak tadi seharusnya dibenarkan untuk mengekalkan agama asalnya sehinggalah dia mencapai umur majoriti yang mana dia adalah bebas untuk memeluk agama pilihannya.

 

D)           ISU-ISU GENDER

 

Kerajaan perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pematuhan kepada Artikel 8 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi semua orang hak dan perlindungan sama rata dari segi undang-undang. Pada 25 April 2008, akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times (NST) menerbitkan sepucuk surat yang ditulis oleh seorang wanita warganegara Malaysia yang mana beliau meluahkan kekecewaan terhadap dasar polisi Kerajaan kita yang menafikan anaknya hak kewarganegaraan Malaysia atas sebab anaknya dilahirkan di luar negara kepada seorang wanita warganegara Malaysia. Artikel 8(2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyebut, “Tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan, agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina’’ Justeru, hak kerakyatan Malaysia mesti diberikan kepada kanak-kanak yang dilahirkan oleh semua ibu warganegara Malaysia tanpa mengira status perkahwinan atau tempat mereka dilahirkan. Menafikan hak kewarganegaraan kanak-kanak, ini adalah tidak adil dan menentang Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

 

 

E)            PENDIDIKAN

 

PENDIDIKAN BAHASA IBUNDA DAN PEMBANGUNAN SEKOLAH BANTUAN MODAL

 

Pendidikan bahasa ibunda merupakan salah satu aset yang cukup penting dalam negara kita. Kepelbagaian bahasa yang ada dalam komuniti juga menjadi satu keistimewaan negara ini.

 

Oleh yang demikian, kita perlu memastikan bahawa keupayaan para pelajar untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipertingkat bagi membolehkan rakyat berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih lancar di samping berinteraksi dalam dunia globalisasi dengan efektif.

 

Kerajaan juga wajar membantu dalam pembangunan sekolah-sekolah vernakular sama ada SJKC, SJKT, sekolah bantuan seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) atau sekolah-sekolah mubaligh (mission schools) berdasarkan kepada keperluan golongan ibu bapa dan masyarakat tempatan dan tidak menunggu sehingga bangkitnya tuntutan daripada orang awam. Kita perlu menghormati pendapat rakyat awam. Setiap rakyat di negara ini mempunyai hak mereka untuk mempelajari bahasa ibunda mereka seperti yang termaktub dalam artikel 152 Perlembagaan Persekutuan. Jadi, Kerajaan perlu meneliti keperluan bilangan sekolah-sekolah vernakular yang perlu dibina di sesetengah kawasan yang sesuai.

 

Kerajaan telah dan akan membelanjakan peruntukan sebanyak RM38 bilion untuk isu pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Jumlah peruntukan tersebut adalah antara peruntukan terbesar pernah diberikan. Kerajaan seharusnya memanfaatkan sepenuhnya dana tersebut untuk memenuhi keperluan semua sekolah. Di sini saya mencadangkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menginstitusikan (institutionalize) mekanisma pembinaan SKJC dan SJKT baru mengikut keperluan di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk kaum Cina dan India yang ramai khasnya di Lembah Kelang, Johor Selatan, Lembah Kinta dan Pulau Pinang.

 

Untuk menunjukkan komitmen Kerajaan dalam hal ini, saya mencadangkan kos pembinaan sekolah baru yang direstui sebelum Pilihanraya Umum lalu iaitu 6 buah SJKC baru dan perpindahan 13 buah SJKC dapat ditanggung oleh Kerajaan.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Baru-baru ini, Menteri Pelajaran telah menyatakan hasratnya untuk mempertimbangkan permohonan menggunakan semula bangunan lama SJKC Damansara. Saya mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelajaran dan meminta agar permohonan untuk menggunakan semula SJKC Damansara sebagai sebuah SJKC baru wajar diluluskan dalam tempoh terdekat.

 

Selain daripada itu, pembangunan SJKC, SJKT dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) turut memerlukan perhatian dan tindakan segera dari pihak Kerajaan. Selama ini, sekolah sekolah pelbagai aliran ini diasing-asingkan secara pentadbiran oleh Kementerian Pelajaran kepada 2 kategori iaitu sekolah bantuan modal dan sekolah bantuan penuh. Perkara ini banyak menimbulkan rungutan dan rintihan dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

 

Rata-rata Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) dan PIBG sekolah bantuan modal mengadu tentang kesukaran mendapatkan peruntukan pembangunan walaupun sekolah amat memerlukan bantuan kewangan kerana keadaan bangunan yang uzur. Kadang kala, peruntukan mengurus kepada sekolah bantuan modal tidak mencukupi untuk membiayai bil utiliti dan ini menyebabkan LPS dan PIBG terpaksa mencari dana dari golongan ibubapa.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Sudah tiba masanya untuk kita memikir di luar kotak (thinking out of the box) dengan memansuhkan amalan yang membezakan layanan terhadap sekolah bantuan modal dan bantuan penuh. Pemikiran kononnya Kerajaan tidak boleh membantu sekolah bantuan modal memang ditolak oleh rakyat terutamanya dalam era di mana pucuk pimpinan negara menitikberatkan pembangunan modal insan.

 

Tiada siapa yang rugi jikalau Kementerian Pelajaran menganggap semua sekolah sama ada SK, SJKC, SJKT atau SAR, sebagai sekolah Kerajaan dan dibantu sepenuhnya dari segi pembangunan dan pengoperasian harian sekolah. Ini merupakan satu pembaharuan yang diharap-harapkan oleh rakyat.

 

Pada tahun 2007, terdapat 643,679 pelajar yang menuntut di sekolah-sekolah Cina dan 103,284 pelajar di sekolah-sekolah Tamil dan angka berkenaan membentuk 22% daripada 3.4 juta pelajar sekolah rendah di Malaysia. Sesungguhnya, bilangan pelajar yang disebutkan tadi adalah cukup signifikan. Dalam usaha untuk membina modal insan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara, adalah penting peruntukan untuk sekolah-sekolah digunakan dengan berkesan.

 

MASALAH KEKURANGAN GURU DI SJKC

 

Masalah kekurangan guru di SJKC telah berlaku sejak berpuluh-puluh tahun dan sehingga hari ini ianya masih belum diselesaikan sepenuhnya. Pada masa ini, SJKC menghadapi kekurangan 3,500 orang guru dan angka ini diramalkan akan meningkat apabila nisbah guru di sekolah rendah akan dinaikkan dari 1.5 hingga ke 1.7. Maka, adalah diharapkan Kementerian Pelajaran mesti menggunakan pendekatan baru untuk mengatasi kekurangan guru di SJKC. KPM perlu menyemak unjuran guru yang telah dilakukan dan kejituannya sentiasa dipertikaikan kerana tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku di sekolah.

 

Di sini, saya menyeru agar KPM membuat perangkaan dan unjuran yang tepat serta mengambil tindakan cepat mengatasi kekusutan ini. Kaedah pengambilan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dan guru kontrak selepas persaraan perlu dibuat dengan efisien sebagai penyelesaian jangka pendek.

 

Sebagai penyelesaian jangka panjang, KPM mesti menambah pengambilan KPLI, KDC-LPBS, PISMP untuk lepasan SPM. Kombinasi opsyen yang lebih fleksibel perlu diwujudkan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan semua IPG yang telah menutup kursus perguruan pengajian Cina hendaklah dihidupkan semula khususnya IPG di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Dasar Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik dalam Inggeris (PPSMI) yang diamalkan sejak tahun 2003 perlu dikaji secepat mungkin. Bagi peringkat sekolah menengah, nampak reaksi masyarakat agak positif untuk meneruskan PPSMI di peringkat sekolah menengah.

 

Bagi peringkat sekolah rendah pula, saya turut mengalu-alukan pengumuman bahawa keputusan sama ada meneruskan PPSMI di peringkat sekolah rendah akan ditentukan selepas UPSR pada tahun ini. Sementara itu, pada 18 April 2008, Menteri Pelajaran turut mengumumkan cadangan KPM meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah dan menengah termasuk pengenalan Kesusasteraan Inggeris.

 

Sekali lagi, saya ingin menyatakan bahawa masyarakat Cina khususnya berpendirian bahawa PPSMI di SJKC patut dimansuhkan dan dikembalikan ke sistem asal iaitu menggunakan bahasa ibunda. Ramai berpendapat bahawa penggunaan bahasa ibunda di dalam PPSMI lebih mudah difahami oleh murid-murid yang berusia dari 7 hingga 12 tahun. Pada waktu yang sama, masyarakat Cina juga bersetuju untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris sejak tahap 1 sekolah rendah.

 

F)            SEKOLAH-SEKOLAH MUBALIGH (Mission School)

 

Selain sekolah kebangsaan dan vernakular, kita juga perlu mengiktiraf sumbangan-sumbangan yang diberikan oleh sekolah-sekolah mubaligh kepada landskap pendidikan di Malaysia. Sekolah-sekolah mubaligh mula memberikan pendidikan kepada kanak-kanak dari setiap lapisan masyarakat dengan harapan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga pembangunan sahsiah sejak kurun ke-19 lagi.

 

Sekolah-sekolah mubaligh adalah hampir sama dengan sekolah-sekolah kebangsaan dan vernakular lain di Malaysia, membuka pintu mereka kepada para pelajar tanpa mengira batas kaum, agama mahupun keturunan. Sekolah-sekolah mubaligh turut menanamkan semangat taat setia dalam kalangan pelajar mereka kepada Yang Dipertuan Agong dan negara selain pada masa yang sama, menyemai benih kasih sayang kepada golongan yang kurang bernasib baik.

 

Ramai tokoh terkemuka negara menerima pendidikan di sekolah-sekolah mubaligh Sekolah-sekolah mubaligh merupakan model yang baik untuk usaha integrasi kaum lantas memenuhi semangat Rakyat Malaysia.

 

Daripada 226 buah sekolah-sekolah mubaligh di negara ini, 53 daripadanya sudah berusia lebih satu abad dan memerlukan bantuan kewangan. Memandangkan sekolah-sekolah mubaligh dikategorikan sebagai sekolah bantuan atau separa Kerajaan, para guru dan pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti mengutip derma. Kementerian Pelajaran wajar memperuntukkan lebih banyak bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah ini bagi membolehkan pihak pentadbiran memperbaiki dan membangunkan prasarana serta kualiti pembelajaran di sekolah-sekolah terbabit.

 

G)      EKONOMI

 

2008 merupakan tahun yang mana kajian semula suku penggal RMK-9 akan dijalankan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, tempoh ini merupakan masa untuk kita meneliti kembali, menyusun dasar-dasar yang belum mencapai sasaran dan objektif yang dikehendaki. RMK-9 ialah sebuah rancangan yang ditulis dengan penuh ketelitian dan komprehensif. Untuk itu, saya menggesa Kerajaan agar mana-mana agenda yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, seelok-eloknya sasaran itu tidak diubah.

 

Sebaliknya, kita seharusnya membuat pembaharuan radikal dan tampil dengan dasar-dasar yang lebih inovatif atau melaksanakan perubahan-perubahan bagi membolehkan janji-janji Kerajaan untuk mewujudkan ketelusan, sistem penyampaian awam dan pemerintahan yang bersih dapat ditunaikan.

 

Sektor pengeluaran yang menyumbang kira-kira 31.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bertujuan untuk mencapai purata kadar pertumbuhan ekonomi tahunan negara sebanyak 6.2% dari tahun 2005 hingga 2010. Kadar pertumbuhan sektor pengeluaran negara ketika ini telah merosot kepada 1.8%. Eksport-eksport barang pengeluaran turut menyaksikan tidak banyak perubahan dari segi pendapatannya, daripada RM451.75 bilion pada 2006 kepada RM452.48 bilion pada tahun 2007. Kerajaan mesti melihat perkembangan terbaru ini dengan penuh perhatian kerana industri-industri, vendor dan juga para pembekal sedang berhadapan dengan kesukaran untuk mengekalkan operasi perniagaan mereka di Malaysia sekiranya trend tersebut berlarutan.

 

Kita juga perlu mengiktiraf bahawa kejayaan kesemua koridor ekonomi yang dilancarkan Kerajaan baru-baru ini, adalah penting kepada industri kecil dan sederhana (IKS). Wilayah Pembangunan Iskandar yang kini telah dikenali sebagai Iskandar Malaysia merupakan salah satu inisiatif yang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM20 bilion berupa pelaburan asing secara langsung. Titah ucapan Tuanku telah menyatakan sehinggi kini sejumlah RM33 billion pelaburan akan dilaburkan dalam sektor hartanah, pelancongan dan rekreasi di Wilayah Iskandar Malaysia. Saya mengalu-alukannya. Wilayah Iskandar Malaysia merangkumi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi di selatan Johor meliputi lima kawasan utama iaitu Nusajaya, Pusat Bandar Johor Bahru, Senai-Skudai, Pembangunan Pintu Barat dan Pintu Timur. Bagaimanapun, kita bimbang pembangunan di Wilayah Iskandar Malaysia tidak melibatkan komuniti perniagaan tempatan dengan berkesan kerana kebanyakan syarikat terkemuka di Iskandar hanya tertumpu di Nusajaya.

 

Sektor peruncitan dan borong, perhotelan dan restoran pula mencatatkan pendapatan bernilai RM38.4 bilion pada 2005 dan angka tersebut dijangka mencecah RM53.4 bilion menjelang 2010. Ketika ini, terdapat lebih 550 pusat membeli-belah, lebih 300,000 unit-unit kedai dan kira-kira 90 pasar raya besar di Malaysia. Kita juga mempunyai sistem francais yang kukuh meliputi ke kawasan rantau Asia Tenggara, China dan Taiwan.  Pengagihan perdagangan pula merangkumi lebih 1,000 subsektor dalam ekonomi melibatkan makanan, pakaian, aksesori, restoran-restoran, hotel-hotel, kedai logam dan sebagainya.

 

Seiring dengan titah ucapan Tuanku bahawa pengagihan perdagangan kekal terbuka dan liberal, dasar-dasar seperti ‘Garis Panduan Penyertaan Asing dalam Sektor Perdagangan Pengedaran’ (Guidelines to Foreign Participation on Distributive Trade Service) tidak sepatutnya diamalkan kerana ia mendatangkan kesan yang negatif ke atas sektor peruncitan, borong dan pelancongan negara ini. Lebih buruk lagi, ia hanya akan mengakibatkan pelaburan-pelaburan asing menjauhi Malaysia, seterusnya memberi kesan yang amat buruk kepada ekonomi negara.

 

Kita menyambut baik keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyeragamkan proses pengeluaran sijil halal menerusi Halal Industrial Development Corporation (HDC) kerana langkah ini bermakna akan wujud keberkesanan yang lebih dalam proses pensijilan dan prosedur-prosedur lain. Ia juga menggambarkan bahawa langkah penyeragaman ini akan menjurus kepada amalan penguatkuasaan yang lebih terbuka bagi menjamin industri akan sentiasa mesra perniagaan.

 

Saya turut menyokong ucapan Tuanku bahawa pelaburan sektor swasta perlu menjadi nadi penggerak kepada ekonomi negara. Ini merupakan strategi yang kritikal bagi memastikan belanjawan defisit Kerajaan terus rendah dan dapat diurus dengan baik. Kadar pelaburan sektor swasta disasarkan akan mencecah RM340.4 bilion menjelang 2010 daripada RM215.9 bilion pada 2005 atau bersamaan 47.1% daripada 43.7% KDNK untuk tempoh yang sama. Buat masa ini, kadar pelaburan sektor swasta hanya berjumlah RM231.1 bilion yakni gagal mencapai jangkaan pertengahan suku tahun RMK-9.

 

Bagi memastikan kita berada pada landasan untuk mencapai sasaran tadi seperti yang dinyatakan dalam RMK-9, saya ingin menegaskan keperluan untuk mengadakan dasar-dasar liberal sebagai pendekatan meningkatkan kadar pelaburan swasta dalam aspek-aspek berikut:_

 

a)            Mengadakan tender terbuka dalam sistem pemerolehan Kerajaan. Dengan adanya sistem tender terbuka ini, ia akan mendedahkan kepada lebih banyak persaingan selain membantu mengurangkan kos operasi Kerajaan. Sehubungan itu, pelaksanaan sistem terbuka ini mampu membantu Kerajaan mengelakkan insiden-insiden mengaibkan seperti perlu membayar RM300 untuk pemutar skru, atau RM10,700 untuk satu set buku teknikal ataupun RM42.80 untuk satu set pasu plastik. Kerajaan mesti meneliti semula dasar ini dengan satu tujuan membantu masyarakat berbilang kaum dan menjadikan negara kita lebih kompetitif.

 

b)            Kerajaan Persekutuan haruslah mengambil langkah yang berkesan dan mengamalkan Pelan Tindakan untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian yang boleh menjana kejayaan serta menampung keperluan makanan dalam negara. Salah satu perkara penting perlu terlebih diselesaikan dalam sektor pertanian yang boleh membantu untuk mengeluar makanan yang amat diperlukan ialah menyelesaikan masalah penggunaan tanah.

 

Pada masa kini, terdapat beribu-ribu petani dan peladang yang telah bercucuk tanam beberapa puluh tahun dan bergenerasi lamanya tetapi masih tidak diberi jaminan penggunaan tanah sama ada secara sewaan jangka panjang atau jangka pendek. Saya cadangkan Kerajaan Pusat melalui Majlis Tanah Negara memutuskan dasar untuk diikuti semua Kerajaan Negeri agar para petani tersebut dibantu sehingga selesai masalah mereka.

 

Saya juga cadangkan bantuan insentif, pinjaman mudah dan geran diberi oleh Kerajaan agar sektor pertanian turut dijadikan satu sektor yang akan menyumbang besar kepada pembangunan ekonomi dan seterusnya menjamin pengeluaran makanan yang amat penting bagi negara kita.

 

Malaysia mengimport 82% atau RM19.9 bilion daripada bahan makanan setahun. Dalam RMK-9, kita berharap negara dapat mencapai paras ‘food-sufficiency’ menjelang 2010. Jika Kerajaan serius untuk mencapai sasaran tersebut, maka kita perlu bertindak segera memandangkan situasi bekalan makanan negara sudah mencapai tahap kritikal.

 

Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia kini berhadapan dengan krisis makanan dan minyak yang secara keseluruhannya telah menyumbang kepada tekanan inflasi dan harga barang yang melambung naik, mengakibatkan golongan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah semakin dihimpit kesusahan. Kita juga berkemungkinan berhadapan dengan krisis cuaca disebabkan oleh kemarau yang berpanjangan, banjir yang ekstrem, pemanasan global dan kekurangan bekalan air di seluruh dunia.

 

Selain daripada itu, tindakan ‘stockpile’(Dengan Izin) pemberian subsidi dan kawalan harga telah terbukti tidak berkesan untuk tempoh jangka panjang kerana kita perlu berhadapan dengan struktur institusi yang mengakibatkan sistem tersebut untuk tidak efektif pada awalnya. Struktur-struktur seperti Permit Yang Diluluskan atau lebih dikenali sebagai AP, monopoli tiruan dan oligopoli ditambah pula dengan kerenah birokrasi yang berlapis-lapis mesti dihapuskan agar persaingan di pasaran dapat terus berkembang. Benarkanlah harga pasaran bebas untuk menentukan permintaan dan penawaran dalam sistem.

 

Pada masa yang sama, sistem kebajikan kita perlu dipertingkatkan keberkesanannya bagi membolehkan golongan miskin dan mereka yang memerlukan, menerima bantuan dari Kerajaan pada masa yang sepatutnya dan mencukupi. Kita perlu mensasarkan usaha ini dalam membantu golongan miskin terutamanya dalam keperluan mereka untuk mendapat perumahan asas, pakaian, nutrisi, pendidikan, latihan agar pada satu hari nanti, mereka akan mendapat pekerjaan seterusnya menyumbang dengan penuh makna kepada masyarakat. Golongan remaja yang bermasalah, ibu-ibu tunggal, kanak-kanak terbiar, golongan warga emas dan cacat anggota mesti diberikan perhatian khas oleh Kerajaan. Tidak ada siapa yang harus dipinggirkan dalam sistem ini. Kemiskinan bandar kini menjadi semakin serius ketika proses pembandaran makin giat. Sehubungan itu, program pembasmian kemiskinan berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan harus dimanfaatkan lagi dengan diberi peruntukan yang lebih agar ianya benar-benar berjaya. Golongan kemiskinan di luar Bandar sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak mesti diberi perhatian yang serius dan benar-benar membantu mereka sehingga mereka keluar daripada kemiskinan.

 

H)           KESELAMATAN DAN JENAYAH

 

Kerajaan sepatutnya bersikap lebih telus mengenai status pelaksanaan setiap daripada 125 syor-syor Suruhanjaya Polis DiRaja untuk mewujudkan sebuah pasukan polis yang lebih efisien, bertanggungjawab, telus, tidak mudah dirasuah, memiliki perkhidmatan pasukan polis professional dalam mengekang kadar jenayah, membasmi rasuah dan menegakkan hak asasi manusia. Di samping itu, pasukan polis perlu berazam dan berani untuk melaksanakan perubahan drastik termasuk mempertimbangkan semula cadangan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC).

 

Keberkesanan pasukan polis untuk memerangi jenayah harus ditingkat lagi. Perangkaan terbaru, menunjukkan kadar jenayah di negara ini telah naik sebanyak 45% sepanjang tempoh empat tahun yang lalu. Tahun lalu saja, bilangan kes jenayah yang dilaporkan mencecah 224,298 kes berbanding dengan 156,315 kes pada 2003. Indeks jenayah melepasi paras 200,000 dengan perbuatan rogol naik dua kali ganda daripada purata asalnya sebanyak empat wanita sehari pada 2003 kepada 8.5 wanita sehari tahun lalu. Perangkaan ini amat serius dan kita dapat membayangkan rakyat kini semakin bimbang dengan keselamatan mereka.

 

Buat masa ini ketika tahap keselamatan dilihat semakin meruncing, rakyat menjangkakan pihak polis akan lebih efisien dalam menangkap penjenayah-penjenayah yang berkeliaran seperti perogol, perompak dan peragut yang cuba mengancam nyawa orang ramai. Sementara itu, perbuatan rasuah dalam kalangan anggota penguatkuasa masih berleluasa.

 

Maka itu, saya juga menggesa Kerajaan untuk mempertimbangkan semula cadangan untuk menubuhkan IPCMC.

 

KESIMPULAN

 

KEADILAN SOSIAL DAN NEGARA KEBAJIKAN

 

Kita tidak mahu sebuah negara kebajikan berpandukan kepada ideologi sosialis. Apa yang kita mahukan ialah sebuah sistem yang liberal yang mana kebebasan ekonomi menjadi prinsip paling utama dalam demokrasi.

 

Rukun Negara, menerusi lima prinsip utamanya adalah berdasarkan kepada prinsip demokrasi yang mempunyai sasaran yang fokus. Ia tidak dibina berdasarkan kepada prinsip-prinsip negara kebajikan. Keadilan sosial dan hak asasi manusia mesti ditunaikan berdasarkan kepada prinsip-prinsip demokrasi yang terbuka.

 

Objektif-objektif Rukun Negara antara lain termasuk; mencapai perpaduan antara kaum, memelihara cara kehidupan yang demokratik serta mewujudkan sebuah masyarakat yang adil – di mana hasil kekayaan dan kemakmuran negara dapat dikongsi secara bersama dalam cara yang adil. Rukun Negara turut merangkumi jaminan pendekatan liberal ke arah memelihara kepelbagaian budaya masyarakat berbilang kaum dan membina sebuah masyarakat progresif yang akan memanfaatkan kemudahan sains dan teknologi.  

 

Sesungguhnya, Rukun Negara telah membentuk asas-asas dalam kenegaraan kita dan asas-asas tadi perlu disemaikan dalam diri generasi muda yang pada satu hari nanti, akan menjadi pemimpin negara ini. Rukun Negara akan terus menjadi petunjuk kepada kita untuk usaha pembinaan bangsa dan sewajarnya ia dihormati oleh semua pihak. Ia juga merupakan satu visi yang dikongsi bersama untuk perpaduan nasional. Prinsip-prinsip dalam Rukun Negara mesti dipertahankan dan diamalkan senantiasa. Kita tidak boleh mengambil mudah terhadap kestabilan politik yang dinikmati selama ini.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Saya yakin, jika rakyat Malaysia sentiasa pegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dan sentiasa bersatu-padu untuk membangun negara atas semangat keMalaysiaan dan juga berpegang kuat kepada prinsip dan semangat perlembagaan negara, kita akan dapat maju ke hadapan dan menjadikan masyarakat kita lebih progresif serta negara lebih kuat dan berdaulat.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Atas keyakinan itu, saya mohon mencadangkan.

MALAYSIAN CHINESE ASSOCIATION HEADQUARTERS
8th Floor, Wisma MCA, 163, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia. Tel: (603)-21618044 Fax: (603)-21619772
Copyright @2007 Malaysian Chinese Association. All Rights Reserved.