“Saya tidak boleh menimbang semula keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-12 nanti. Ia merupakan satu keputusan yang sukar.’’ Itulah antara kata-kata yang telah disuarakan oleh ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan pagi Isnin lalu semasa mengumumkan pendirian untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum kali ini ekoran krisis dalaman parti.
Namun tidak sampai 96 jam selepas pengumuman tersebut, ahli Parlimen Batu Gajah yang terkenal dengan gelaran ‘cili padi’ itu telah menarik balik keputusan tersebut setelah dipujuk oleh barisan kepemimpinan tertinggi parti DAP. Pada satu sidang media di bilik gerakan DAP, Po Kuan berkata, keputusan untuk tidak bertanding merupakan satu pendirian yang kurang bijak dan memandangkan begitu ramai penduduk masih menyokong kepemimpinannya, ia ternyata tidak adil buat mereka.
Sesungguhnya, tindakan Po Kuan menarik balik keputusan untuk tidak bertanding, bukanlah satu perkembangan yang mengejutkan tetapi sememangnya sudah dijangka. Keputusan ini sekali gus memperlihatkan pekung sebenar DAP yang tidak ikhlas dalam memperjuangkan agenda dan kebajikan rakyat.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa episod Po Kuan menarik balik keputusan untuk tidak bertanding pilihan raya umum, hanyalah satu sandiwara oleh DAP untuk mengalihkan pandangan masyarakat terhadap krisis dalaman parti yang dikatakan semakin meruncing.
Daripada ancaman oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh untuk tidak bertanding berikutan berlakunya rombakan besar-besaran terhadap calon yang diturunkan sehinggalah kepada hasrat Pengerusi DAP Pahang, Lip Tuck Chee untuk meletak jawatan, semuanya membuktikan perpaduan utuh kalangan ahli-ahli parti hanyalah ilusi semata-mata.
Sehubungan itu, apakah maksud di sebalik sandiwara ini? Ia jelas satu helah murahan oleh DAP untuk menguji trend dan sentimen pengundi di Batu Gajah. Apakah benar sokongan penduduk tempatan terhadap DAP merudum sehingga mereka perlu menggunakan pendekatan sedemikian?
Juga, usaha bersungguh-sungguh oleh Lim Kit Siang dan pucuk kepemimpinan tertinggi DAP lain dalam memujuk Po Kuan untuk mengubah pendiriannya, bukti bahawa parti tersebut makin ketandusan pemimpin berkaliber dan terdesak dalam meraih sokongan pengundi.
Kepada mereka yang akan keluar mengundi pada 8 Mac nanti, adakah pemimpin sebegini yang akan menjadi pilihan anda? Wajarkah kita menggadaikan masa depan negara dan cucu-cicit kita dengan memilih seorang pemimpin yang tidak berpegang kuat kepada janji awal untuk tidak bertanding? Keputusan terletak di tangan anda. Manfaatkanlah peluang keemasan ini dan memilih secara bijak.
Pemerhati Yang Kecewa, Kuala Lumpur.