Usul Anggaran Pembangunan 2007 

On November 29, 2006, in Statements & Commentaries

Dato’ Yap Pian Hon [Serdang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Pendidikan Rendah dan Menengah. Tuan Pengerusi, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kongres Pendidikan Melayu, badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan pendidikan, pakar-pakar dan penasihat-penasihat pendidikan telah mengadakan pelbagai perbincangan melalui forum, ceramah, sesi dialog, kajian dan penerbitan, laporan dan hujah-hujah yang menggesa kerajaan mengkaji semula penggunaan bahasa Inggeris sebagai kaedah pengajaran mata pelajaran matematik dan sains di sekolah rendah sedangkan UMNO Johor juga berpendapat sedemikian.

Sejak pelaksanaan dasar pendidikan ini, ia telah menjadi satu isu pendidikan yang disoalkan, dibincangkan dan dipertikaikan oleh lapisan masyarakat tentang kesan-kesan dasar ini. Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri juga memberi ulasan tentang isu pendidikan ini yang kemungkinan akan mengkaji dan menilai semula terhadap isu pendidikan ini.

Dengan demikian, pihak Kementerian Pelajaran perlu memberi penjelasan dan pendirian terhadap isu pendidikan yang penuh dengan pertikaian ini untuk segenap masyarakat memahaminya.

Tuan Pengerusi, saya minta penjelasan sama ada pihak kementerian telah menubuhkan dan melantik anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan di bawah Akta Pendidikan 1996 Seksyen 10 dan berilah senarainya. Saya bertanya bahawa sama ada pihak menteri telah mewujudkan isu pendidikan mengenai kesan pelaksanaan Dasar Pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan untuk mendapat nasihatnya di bawah Fasal 11 Akta Pendidikan 1996.

Tuan Pengerusi, masyarakat Tionghua mengambil berat terhadap isu SJK(C) Damansara asal kerana masih terdapat murid-murid sedang mendapat pendidikan di sebelah bangunan sekolah asal dan pihak pengurusan sekolah itu terus menyediakan muridnya bagi pemeriksaan yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan Fasal 19. Inilah dijadikan isu dan pertikaian pendidikan ekoran perpindahan sekolah asal dahulu. Masyarakat setempat sedang meminta pihak kementerian membenarkan menggunakan bangunan sekolah asal yang kosong pada kini dijadikan tempat pendidikan kepada murid-murid tempatan tetapi masih belum ada rumusan atau formula penyelesaiannya. Malahan Fasal 16, Fasal 27, Fasal 28 dan Fasal 29 di bawah Akta Pendidikan 1996 adanya ruang untuk menyelesaikan isu pendidikan ini dengan saksama daripada pihak kementerian.

Saya telah menerima senarai projek sekolah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan di kawasan Parlimen Serdang. Yang Berhormat Menteri Pelajaran telah melancarkan projek-projek pendidikan pada 22 Julai 2006 semasa dalam majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Putra Bangi sebagai tanda bermula pelaksanaan projek pendidikan ini. Senarai yang dicadangkan dan diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan adalah termasuk Sekolah Kebangsaan Baru di Taman Tun Perak, Cheras dan Taman Impian Ehsan, Balakong. Sekolah Menengah dicadangkan di Desa Serdang dan Kampung Sungai Ramal Luar. Saya mintalah senarai diluluskan untuk membina sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di kawasan-kawasan ini dapat dilaksanakan dengan teraturnya kerana kawasan ini mendesak dan kritikal.

Yang Berhormat Menteri juga dalam Dewan yang mulia ini pada 6 September 2004 telah mengcommitkan bahawa Kementerian Pelajaran memang berhasrat untuk menggantikan bangunan yang tidak selamat di SK(C) Serdang Baru (1) Seri Kembangan dan projek ini dijangka akan dibina pada tahun 2006 dan bermulanya Rancangan Malaysia Kesembilan dan boleh digunakan pada awal tahun 2008. Komitmen ini telah disuarakan dalam Dewan ini dan juga
dalam senarai Rancangan Malaysia Kesembilan pihak sekolah tersebut telah dipanggil untuk diberi taklimat berkaitan dengan projek ini. Saya mintalah projek ini boleh dilaksanakan sebagaimana yang dicommitkan oleh Yang Berhormat Menteri dalam Dewan ini.

Akhirnya Tuan Pengerusi dalam senarai Rancangan Malaysia Kesembilan di kawasan saya ini termasuklah pembinaan gantian bangunan atau bangunan tambahan di SJK(C) Balakong dan juga lapan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di kawasan saya. Kita haraplah tambahan bangunan di dalam sekolah-sekolah yang telah disenaraikan itu dapat diteruskan supaya untuk mengatasi kekurangan bilik darjah yang pada kini dan saya harap juga sekolah SJK(T) di Bangi Lama dan juga di Seksyen 5 Bangi perlu juga dapat peruntukkan untuk menaik taraf Sekolah SJK(T) dan kedua-dua SJK(T) ini kerana sekolah-sekolah ini walaupun di bawah sebagai bantuan modal tetapi juga melalui apa yang telah diperuntukkan bantuan modal boleh digunakan supaya kedua-dua sekolah Tamil ini dapat tindakan demi kepentingan dan beri kemudahan kepada murid-murid sekolah tersebut. Sekian terima kasih.

- MCA Online -
29 Nov 07

 

Comments are closed.