Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA Selangor, Dato’ Lee Ban Seng dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat, Dr Monna Ong, bersama dengan tiga pakar ekonomi, JoanneTan, Professor Chong Shyue Chuan,  dan Dr Grace Lim, mendedahkan dalam sidang akhbar bersama bahawa Dasar Gaji Progresif yang bakal dilaksanakan secara percubaan di antara Jun dan September depan, mempunyai kepincangan dan kekurangan yang serius.

Model pengoperasian dasar tersebut amat rumit. Berbanding pelaksanaan dasar gaji minimum yang memakan masa 8 tahun dari segi persediaan, pelaksanaan dasar kali ini kelihatan tergopoh-gapah, dengan banyak perincian yang belum jelas, menyebabkan orang ramai, terutamanya majikan dan pekerja menghadapi kesukaran untuk memahaminya.

Justeru, kami meminta Kementerian Ekonomi supaya segera menjawab kemusykilan pihak pengusaha, bagi mengelakkan krisis terpendam, yang boleh menjejaskan survival dan pembangunan perusahaan.

Pertama, dalam "Kertas Putih Dasar Gaji Progresif" yang dibentang oleh Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli, ada menyebut bahawa pengagihan bayaran insentif gaji progresif akan berasaskan prinsip 'first come first serve' atau siapa cepat dia dapat.

Dikatakan kira-kira 1 juta orang pekerja akan mendapat manfaat. Tetapi ketidakseimbangan dan ketidakadilan dalam sistem ini telah menimbulkan kebimbangan yang serius malah boleh mengakibatkan ketegangan antara majikan dan pekerja serta persaingan sengit di kalangan PKS.

Di bawah model ini, sekiranya majikan gagal dalam permohonannya, ia akan menghadapi ketidakpuasan hati pekerja dan dipandang serong masyarakat umum.

Lebih serius, jika permohonan diluluskan pada tahun pertama tetapi tidak pada tahun kedua, ia akan mencetuskan lagi ketidakpuasan hati pekerja, malah boleh menyebabkan majikan menghadapi masalah. Adakah majikan ini terpaksa menanggung perbezaan bayaran insentif berkenaan?

Soalan yang tidak terjawab ini boleh bertukar menjadi igauan ngeri kepada para pengusaha. Ia bukan sekadar isu dasar, tetapi sesuatu ketidakpastian yang boleh mengancam hubungan antara syarikat dan pekerja.

Kemusykilan tersebut membawa kepada kemusykilan kedua:

Kerajaan tidak menetapkan kriteria pemilihan yang jelas. Kekurangan ketelusan ini boleh membawa kepada layanan yang tidak adil kepada pekerja. Dalam proses mendapatkan insentif, kriteria pemilihan yang tidak jelas boleh menyebabkan persaingan tidak adil di kalangan pekerja; bagi syarikat pula, ia akan membawa kepada ketidakpastian operasi. Bagaimanakah syarikat boleh merancang dan menyesuaikan diri dengan pelaksanaan dasar di bawah kriteria pemilihan yang tidak diketahui? Piawaian yang tidak jelas membawa kepada persaingan yang tidak adil di kalangan perusahaan, yang akhirnya memburukkan lagi ketidakstabilan pasaran.

Ketiga, model dasar ini memihak kepada pekerjaan berkemahiran rendah. Pekerja terpilih mestilah menjalani latihan semula kerajaan sebelum mereka boleh menikmati gaji progresif. Siapa yang akan menanggung kos ini, kerajaan, majikan atau pekerja? Kertas putih tidak memberikan penjelasan terperinci tentang isu seperti ketidakhadiran pekerja ke tempat kerja, pengangkutan dan penginapan semasa latihan. Jika dasar itu sebaliknya meningkatkan kos produksi perusahaan, ia akan membawa kepada inflasi selanjutnya. Kerajaan tidak boleh membuat keputusan terburu-buru dan harus berunding dengan pemain industri terlebih dahulu.

Keempat, lebih penting, di bawah dasar ini yang masih baharu di negara kita, kerajaan masih menghadapi kekurangan kerjasama rentas jabatan, khususnya apabila Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia yang berkait rapat dengan latihan dan bekalan tenaga kerja, tidak dijemput untuk menyertai kumpulan pemikir, dan setiap jabatan masih beroperasi dengan caranya sendiri. Hakikatnya, pelbagai pihak telah berulang kali menegaskan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi perlu berinteraksi rapat dengan komuniti perusahaan untuk merangka kursus yang memenuhi keperluan pasaran dan memastikan pelajar cukup berdaya saing selepas tamat pengajian, seterusnya meningkatkan produktiviti pasaran dengan berkesan.

Kelima, kajian kertas putih menunjukkan bahawa 60% pekerja menyokong dasar ini. Walau bagaimanapun, tiada alasan khusus diberikan untuk baki 40% pekerja yang tidak menyokongnya. 40% pekerja ini (hampir separuh) mempunyai pendapat tersendiri masing-masing, dan kekeliruan, suara dan perspektif mereka tidak boleh diabaikan.

Perkara ini juga telah menimbulkan kebimbangan jawatankuasa kami. Oleh itu, kami memohon Kementerian Ekonomi mengambil langkah-langkah bersasar dan menjalankan penyelidikan yang lebih mendalam, terutamanya memberi tumpuan kepada pekerja di pelbagai peringkat umur, bagi memastikan penggubalan dasar yang lebih realistik, supaya keputusan segera dapat dicapai. Ini adalah langkah penting dalam memastikan pelaksanaan dasar yang berjaya dan bertanggungjawab kepada komuniti pekerja yang besar.

Jawatankuasa meminta Kementerian Ekonomi untuk menjelaskan keraguan satu persatu. Jawatankuasa akan terus menyampaikan suara rakyat tepat pada masanya mengenai isu-isu berkaitan mata pencarian rakyat dan dasar ekonomi kerajaan, dan juga akan secara aktif mencadangkan strategi menang-menang untuk melindungi perusahaan dan hak asasi dan kepentingan pekerja.

Hadir dalam sidang akhbar tadi adalah, Setiausaha Jawatankuasa, Sdr. Lee Kah Hing; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA Selangor Dato' Lee Ban Seng; Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat MCA, Dr Monna Ong Siew Siew; Profesor Chong Shyue Chuan, dan Dr Grace Lim.

- Penerangan MCA