Menurut Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan Reporters Without Borders (RSF), kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia jatuh 34 anak tangga ke kedudukan 107 berbanding 73 pada tahun lalu.

Angka ini seharusnya menjadi kebimbangan Kementerian Komunikasi di bawah pimpinan YB Fahmi Fadzil selaku menteri merangkap Jurucakap Kerajaan. Penting untuk beliau tampil menjelaskan kenapa berlakunya penurunan drastik ini seterusnya menepis persepsi awam yang menyifatkan kebebasan bersuara dan kebebasan media sudah mati.

Timbul persoalan;

Adakah Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 ini dianggap fitnah kerana tidak memihak kepada kerajaan?

Apakah langkah-langkah penyelesaian yang akan diambil bagi mengatasi perkara ini?

Jika tidak ada, di sini saya kemukakan beberapa cadangan.

1. Memberi ruang dan kebebasan secukupnya kepada pengamal media dalam menyiarkan tulisan atau bahan penerbitan mereka. Tidak perlu mengajar mereka untuk melakukan sesuatu yang hanya condong kepada satu pihak. Biarlah orang ramai yang membuat penilaian sendiri.

2. Sekiranya ada penerbitan yang salah atau fitnah, minta mereka perbetulkan dan memohon maaf secara terbuka, atau mengambil tindakan undang-undang jika perlu. Bukannya meminta mereka mengubah bahan penerbitan mengikut citarasa satu pihak.

Jika perkara ini tidak diatasi dengan baik, dikhuatiri akan tiba satu ketika, rakyat akan berhenti membaca berita kerana ia tidak lagi telus akibat terlalu menyebelahi kerajaan, sehinggakan berita yang mengkritik kerajaan akan disekat atau ditarik balik.

Ditekankan bahawa pengamal media bertanggungjawab untuk melaporkan berita yang telus dan benar kepada rakyat. Bukankah kebebasan media dan kebebasan bersuara ini juga merupakan antara janji yang diperjuangkan sebelum ini?

MIKE CHONG
TIMBALAN KETUA PEMUDA MCA
3 MEI 2024

- PENERANGAN MCA