Kerajaan Negeri Perak disaran memberi keutamaan kepada urus tadbir negeri dan mengukuhkan perpaduan di kalangan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Ketua Biro Penerangan MCA, Neow Choo Seong.
Berucap dan berbahas dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat Negeri Perak semalam, 28 Januari 2024, beliau mahu supaya kerajaan mengurangkan berpolitik dan utamakan pencapaian supaya Agenda Perak Sejahtera 2030 dapat dilaksanakan mengikut perancangan demi kepentingan dan kebajikan rakyat di negeri itu.
Menurutnya, Perak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber alam semula jadi, amat strategik untuk menarik pelaburan asing, sambil menambah, untuk memanfaatkan potensi ini, semua pemimpin politik harus menumpukan sepenuh perhatian terhadap agenda memperkasakan ekonomi negeri Perak dan membantu meningkatkan pendapatan rakyat.
Choo Seong menaruh harapan, akan ada lebih ramai anak Perak yang berpeluang dan berasa bangga untuk kembali menabur bakti di negeri kelahiran mereka kelak.
Tegasnya, “Ini merupakan tanggungjawab dan peranan kepimpinan Kerajaan Negeri bagi memastikan anak jati Perak khususnya golongan wanita dan anak muda berpeluang untuk menjadi penggerak atau pemangkin kepada agenda kemajuan, kelestarian dan pembangunan ekonomi negeri Perak yang kita sayangi ini.”
-Penerangan MCA
29 JAN 2024