Dua isu hangat sejak kebelakangan ini yang menyentuh tentang sensitiviti agama dan kaum wajar dipandang serius semua pihak terutamanya pihak kerajaan. Dua isu tersebut ialah penganjuran Himpunan Proklamasi Melayu dan 'Grand Opening of Privacy Club Tun Razak'.

Negara pada ketika ini memerlukan sokongan semua pihak tanpa mengira agama dan kaum ke arah pemulihan semula negara pasca pandemik, serta berdepan ancaman krisis ekonomi global termasuk kesan-kesan akibat perang Rusia-Ukraine yang menjejaskan rakyat.

Justeru, sebarang aktiviti dan kegiatan yang mengundang perpecahan kaum serta mengganggu gugat keharmonian negara wajib dihalang sehabis baik, mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan dan hak setiap rakyat Malaysia.

Malah, konsep Malaysia Madani pada hari ini juga merupakan sebuah kerangka visi baru buat negara dengan bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum.

Oleh yang demikian, setiap rakyat Malaysia hendaklah memahami bahawa perpaduan negara wajib dipertahankan, agenda politik sempit yang memperguna isu perkauman semata-mata mahu raih sokongan perlu dihentikan dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam sebuah masyarkat majmuk serta budaya ketimuran Malaysia perlu dipelihara.

Cally Ting Zhao Song
Pengerusi Biro Perhubungan Etnik dan Hal-Ehwal Agama MCA
22 Mac 2023

- MCA Online