Tindakan perundangan terhadap mana-mana Ahli Parlimen susulan perbahasan atau ucapan mereka di dalam persidangan Parlimen tidak seharusnya berlaku kerana 'kekebalan' anggota Dewan Rakyat itu sudah termaktub dalam Perkara 63, Perlembagaan Malaysia selagi ia tidak berkait dengan isu hasutan.

Berdasarkan Perkara 63, seorang Ahli Parlimen boleh menyuarakan pandangan mereka di dalam dewan selagi ia tidak menyentuh tentang hak orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Raja-raja Melayu serta perkara yang tergolong kepada hasutan.

Semalam, Ahli Parlimen Ayer Hitam, yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong mendedahkan surat balas yang diterima daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berhubung dua surat guaman yang diterimanya selepas membangkitkan isu telur di dalam Dewan Rakyat.

Dalam surat balas itu menyebut, "apa-apa ucapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen dalam mesyuarat Mailis Parlimen adalah terlindung di bawah Perlembagan Persekutuan dan tiada prosiding di mana-mana mahkamah boleh diambil terhadap Ahli Parlimen berhubung apa-apa jua yang dikatakan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding Majlis Parlimen tertakluk Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan tersebut.”

Hal ini jelas menunjukkan, perkara yang dibahas di dalam Dewan Rakyat, khususnya demi kepentingan rakyat seharusnya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Jika Ahli Parlimen tidak bersuara untuk rakyat, siapa lagi yang mahu bersuara?

Adalah menjadi hak Ahli Parlimen untuk bersuara semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat kerana negara kita ini mengamalkan sistem demokrasi. Wakil rakyat menggalas amanah yang besar dan perlu jujur sebagai mekanisme penyampai suara dan kehendak rakyat.

Tidak kira blok kerajaan mahupun pembangkang, apa yang betul akan diperjuangkan dan yang salah akan diperbetulkan. Ahli Parlimen menjadi 'jambatan' diantara rakyat dan kerajaan agar masalah yang dihadapi mereka mendapat perhatian pihak kerajaan.

Usahlah menyalahgunakan sistem yang ada untuk kepentingan diri sendiri termasuk cubaan mengugut pihak lain dan usah sesekali menyekat kebebasan bersuara mana-mana Ahli Parlimen, kerana mereka adalah jurucakap rakyat yang telah diberikan mandat dalam pilihan raya.

Chan Quin Er
Pengerusi Biro Penerangan MCA
14 Mac 2023

- MCA Online