PETISYEN UNTUK KESETARAAN GENDER DAN HAK WANITA DI MALAYSIA

Sempena Ulang Tahun ke-30 Malaysia Menandatangani CEDAW

Kesetaraan gender di Malaysia mesti diiktiraf. Kami yang menandatangani petisyen ini percaya bahawa kesetaraan gender dianggap penting dalam usaha membina masyarakat yang adil dan progresif. Walaupun Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada tahun 1995, yang merupakan satu pencapaian penting dalam melindungi dan memperjuangkan hak wanita, namun masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Cabaran besar masih wujud dan ia memerlukan pembaharuan undang-undang dan dasar segera.

Bersempena dengan ulang tahun ke-30 Malaysia menandatangani CEDAW dan sebagai refleksi terhadap usaha yang telah dilakukan bagi melindungi serta memperkukuhkan hak wanita, maka kami juga ingin memperluaskan usaha ini kepada perlindungan kanak-kanak di Malaysia.

Walaupun sudah termaktub di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang dan melarang diskriminasi atas dasar jantina, namun para wanita dan kanak-kanak masih menghadapi halangan sistemik dalam isu kewarganegaraan, undang-undang keluarga, dan perlindungan daripada keganasan. Proses reformasi berjalan dengan perlahan walaupun kerajaan silih berganti, dan tidak kelihatan kesungguhan politik dari semua pihak untuk menangani keperluan mendesak dalam memperbaharui undang-undang yang melindungi serta memastikan hak wanita terjamin.

Perkembangan terkini di Malaysia telah menyaksikan beberapa perubahan institusi, seperti pindaan perlembagaan yang membolehkan pemberian status kewarganegaraan secara automatik kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia. Namun, perubahan ini disusuli dengan harga yang tinggi kerana ia turut melibatkan cukai regresif yang menindas golongan kanak-kanak tertentu dan isteri warga asing. Ini membuktikan bahawa reformasi yang diperlukan masih belum lengkap dan menunjukkan keperluan pindaan undang-undang yang lebih menyeluruh bagi memastikan dasar-dasar yang diperkenalkan di Malaysia selaras dengan standard hak asasi manusia antarabangsa.

Di peringkat antarabangsa, komitmen Malaysia terhadap kesetaraan gender dan hak kanak-kanak bukan hanya tertumpu kepada CEDAW. Pada tahun yang sama Malaysia menerima pakai CEDAW, negara juga telah meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC), yang mengikat Malaysia untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Selain itu juga, masih terdapat jurang dalam pelaksanaan perlindungan terhadap perkahwinan kanak-kanak serta pengiktirafan hak kanak-kanak tanpa kerakyatan. Keputusan mahkamah berhubung penukaran agama secara sepihak atau unilateral baru-baru ini turut menyerlahkan keperluan pemerkasaan undang-undang bagi mengelakkan eksploitasi hak kanak-kanak akibat tafsiran undang-undang yang bertentangan. Sejajar dengan komitmen antarabangsa ini, Malaysia mesti mengambil tindakan tegas untuk menyeragamkan undang-undang dengan prinsip serta standard hak asasi manusia peringkat global, bagi memastikan perlindungan sepenuhnya terhadap wanita dan kanak-kanak.

Sebagai ahli Wanita MCA dan masyarakat Malaysia yang komited terhadap perjuangan penting ini, kami menyeru Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan segera dan konkrit terhadap isu-isu kritikal seperti berikut:

  1. Menghapuskan Penukaran Agama Sepihak Kanak-Kanak oleh Bekas Pasangan
    • Pinda undang-undang sedia ada bagi memastikan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk penukaran agama kanak-kanak, demi melindungi hak ibu bapa serta kepentingan terbaik kanak-kanak.
    • Pada tahun 2016, kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ingin meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) dengan memperkenalkan Klausa 88A, yang menetapkan bahawa jika seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak-anak mereka akan kekal sama kecuali kedua-dua ibu bapa bersetuju dengan penukaran tersebut. Namun, di bawah tekanan PAS, Rang Undang-undang tersebut ditarik balik.
    • Tanpa pindaan terhadap Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, peraturan bahawa penukaran sepihak adalah tidak berperlembagaan hanya bergantung kepada keputusan Mahkamah Rayuan/Mahkamah Persekutuan, yang boleh diubah pada masa hadapan oleh hakim yang lebih konservatif.
    • Kenyataan rasmi MCA sebelum ini

  2. Menggubal Akta Kesetaraan Gender / Rang Undang-Undang Anti-Diskriminasi Terhadap Wanita
    • Pada tahun 2018, kerajaan mengumumkan hasrat untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kesetaraan Gender, yang kemudian dinamakan semula sebagai Rang Undang-Undang Anti-Diskriminasi Terhadap Wanita. Sehingga 1 November 2023, Rang Undang-undang ini masih dikatakan “dalam perbincangan”. Justeru, kami menuntut penjelasan mengenai status dan kandungan mengenainya.
    • Menubuhkan rangka kerja undang-undang yang komprehensif untuk melarang diskriminasi jantina dalam pendidikan, sektor awam dan swasta, serta politik bagi memastikan peluang dan perlindungan yang sama rata untuk wanita.

  3. Membaik Pulih Daftar Pesalah Seksual
    • Memperkukuhkan penguatkuasaan, kebolehcapaian, dan ketelusan Daftar Pesalah Seksual bagi melindungi wanita dan kanak-kanak daripada pesalah berulang.
    • Menjadikan Daftar Pesalah Seksual boleh diakses oleh orang ramai melalui dalam talian secara percuma dan mudah.
    • Mewajibkan semua pesalah seksual (terhadap kanak-kanak dan wanita, serta mereka yang disabitkan kesalahan di dalam dan luar negara) untuk didaftarkan dalam Daftar Pesalah Seksual, termasuk mereka yang disabitkan sebelum 2017.
    • Menghapuskan keperluan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh mengakses Daftar Pesalah Seksual.
    • Kenyataan rasmi MCA sebelum ini

  4. Memansuhkan Pengecualian Rogol Dalam Perkahwinan (Seksyen 375A Kanun Keseksaan)
    • Mengkategorikan rogol dalam perkahwinan sebagai jenayah dan memberi perlindungan undang-undang sepenuhnya kepada semua wanita daripada keganasan seksual, tanpa mengira status perkahwinan mereka.

  5. Menghentikan Perkahwinan Kanak-Kanak
    • Menetapkan umur perkahwinan yang sah kepada 18 tahun untuk semua rakyat Malaysia tanpa pengecualian bagi melindungi kanak-kanak perempuan daripada perkahwinan paksa dan bawah umur.

  6. Penguatkuasaan Perintah Nafkah
    • Menambah baik mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan wanita yang bercerai atau berpisah menerima sokongan kewangan yang sewajarnya daripada bekas suami.
    • Meminda Akta Nafkah Isteri dan Anak (1950) untuk mewujudkan mekanisme atau agensi pusat yang membolehkan wanita menguatkuasakan Perintah Nafkah tanpa perlu mengupah peguam atau melalui mahkamah.
    • Sebagai contoh, Mahkamah Keluarga Singapura mempunyai sistem dalam talian yang mudah digunakan untuk memohon penguatkuasaan Perintah Nafkah: judiciary.gov.sg

  7. Meningkatkan Akses kepada Penjagaan Kanak-Kanak yang Berkualiti dan Mampu Milik
    • Melaksanakan dasar dan insentif untuk memperluaskan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang mampu milik bagi membolehkan wanita menyertai tenaga kerja sepenuhnya.
    • Menyediakan lebih banyak subsidi atau bantuan tunai kepada keluarga berpendapatan rendah dengan ibu bapa yang bekerja untuk membayar yuran penjagaan kanak-kanak. Ini bagi mengelakkan ibu bapa terpaksa menggunakan pusat jagaan tidak sah dan tidak berkelayakan sekaligus mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.
    • Pada masa ini, sektor swasta hanya mendapat pelepasan cukai dan pemotongan dua kali ganda bagi kos penjagaan kanak-kanak, manakala sistem subsidi kerajaan pula sukar diperoleh kerana had pendapatan yang terlalu rendah dan jumlah subsidi yang kecil.
    • Berita berkaitan: malaysia.gov.my

  8. Meningkatkan Penyertaan Wanita dalam Politik
    • Memperkenalkan langkah afirmatif, termasuk kuota, bagi memastikan bilangan wanita dalam barisan kepimpinan lebih ditingkatkan dan memegang jawatan dalam membuat keputusan.
    • Perlu dinyatakan jenis kuota dalam petisyen ini. Terdapat dua jenis kuota:
      • Undang-undang boleh mewajibkan parti-parti politik untuk mencalonkan sekurang-kurangnya peratusan tertentu wanita (contoh: undang-undang Perancis yang memerlukan 50% calon dalam pilihan raya perbandaran terdiri daripada wanita).
      • Parlimen boleh memperuntukkan peratusan tetap kerusi untuk wanita (contoh: Perlembagaan Rwanda 2003 menetapkan kuota 30% untuk wanita dalam Parlimen).]

  9. Meluluskan Rang Undang-Undang Profesionalisme Kerja Sosial
    • Mengiktiraf dan memperkasakan sektor kerja sosial serta memperkukuhkan sokongan kepada komuniti yang terpinggir, termasuk wanita yang menghadapi keganasan rumah tangga dan diskriminasi.

  10. Memperketat Undang-Undang mengenai Keganasan Berasaskan Gender

Sehubungan itu, kami mendesak Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan tegas dalam menegakkan kesetaraan gender serta meningkatkan perlindungan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah CEDAW.

Tandatangani petisyen ini untuk menuntut perubahan yang bermakna bagi wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

16,289
Tanda tangan
50,000
Sasaran
Tanda tangan
马上签署
Sign this petition